Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan 60 individu sudah dijangkiti COVID-19 dalam kluster Pedas, iaitu melibatkan warga pekerja sebuah kilang di mukim itu di Negeri Sembilan, yang dikesan sejak 2 Mei lalu.

Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster itu mula dikesan apabila seorang kakitangan kilang didapati tidak sihat dan mula mengalami gejala demam, batuk, selesema, sesak nafas dan sakit kepala pada 5 April.

Mangsa mendapatkan rawatan dan ujian pengesanan saringan COVID-19 di klinik kesihatan berhampiran lima hari selepas itu. Bagaimanapun dia disahkan positif pada 12 April.

"Mereka terdiri daripada pekerja kilang dan ahli keluarga masing-masing. Daripada jumlah keseluruhan ini, 60 kes didapati positif, 286 kes negatif dan 440 orang masih menunggu keputusan. Kes-kes positif kluster ini membabitkan tujuh warganegara Malaysia dan 53 bukan warganegara," katanya pada sidang media di Putrajaya pada Jumaat.

Daripada jumlah bukan warganegara yang dijangkiti, 25 kes merupakan warga Nepal, Bangladesh (18), Indonesia (8) dan Myanmar (2).

Bagaimanapun ujarnya, punca jangkitan masih dalam siasatan. Noor Hisham, turut menasihatkan agar warga pekerja yang mengalami sebarang gejala untuk mendapatkan rawatan secepat mungkin.