SEMENANJUNG Melayu adalah tanah asal orang-orang Melayu yang telah membangunkan pelbagai kesultanan yang berselerakan dari utara ke selatan.

Kerajaan Kedah Tua telah wujud sejak tahun 630 Masihi, diikuti kerajaan-kerajaan Melayu yang lain. Kesultanan Melaka memiliki pengaruh yang sangat luar biasa walaupun runtuh pada tahun 1511.

Waris kesinambungan kedaulatan Melaka diteruskan apabila kesultanan Perak yang ditubuhkan pada tahun 1528 kekal berdaulat sehingga hari ini.

Perak dianugerahkan kekayaan alam yang melimpah ruah, yang telah menarik minat kuasa-kuasa lain untuk menguasainya.

Sebagai contoh, Siam telah beberapa kali cuba menguasai Perak tetapi tidak berjaya.

Belanda juga cuba untuk menguasai kekayaan Perak tetapi tidak kesampaian.

Sejarah kesultanan Perak akhirnya mengambil jalan yang berbeza dengan kedatangan British ke Tanah Melayu.

Pihak British telahpun berjaya mendapatkan Pulau Pinang dari Kesultanan Kedah melalui tipu helah pada tahun 1791 dan seterusnya Seberang Prai pada tahun 1800.

Koloni Belanda di Melaka ditukarkan dengan jajahan Inggeris di Bengkulu pada tahun 1824 dan Singapura diserahkan kepada British oleh Kesultanan Johor pada tahun yang sama.

Cita-cita British untuk menguasai Semenanjung Melayu tidak terhenti di situ. Sekitar tahun 1874, kedudukan politik di Perak terumbang-ambing dek perebutan takhta di antara Raja Ismail dan Raja Abdullah.

Raja Ismail telah dilantik sebagai Sultan Perak pada tahun 1871 menimbulkan ketidakpuasan hati Raja Abdullah.

Titik tolak daripada pertabalan ini, Raja Abdullah mengambil keputusan menandatangani Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1874 – detik bermulanya kemasukan pengaruh British ke atas negeri-negeri Melayu di Semenanjung.

Dengan mempersetujui syarat-syarat dalam Perjanjian Pangkor yang antaranya British mengiktiraf Sultan Abdullah sebagai Sultan Perak, British dibenarkan mencampuri urusan pentadbiran Perak menerusi sistem residen yang bertanggungjawab menasihati sultan dalam semua urusan pemerintahan kecuali hal-hal yang berkaitan dengan agama Islam dan adat-adat Melayu.

Pemerintahan Sultan Abdullah ini tidak bertahan lama apabila baginda didapati berkomplot dalam pembunuhan Residen British pertama di Perak, J.W.W. Birch dan dibuang negeri ke Seychelles pada tahun 1876.

Sangat menyedihkan bahawa seorang Raja Melayu diperlakukan sebegitu di dalam sebuah kerajaan yang ditadbir oleh Baginda sendiri.

Maruah baginda dilecehkan sebegitu sahaja apabila dibuang negeri oleh sebuah kuasa asing yang baru bertapak di Perak.

Pemerintahan baginda cuma bertahan dua tahun tetapi telah menyebabkan bumi pertiwi tergadai kepada British sehinggalah Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.

Perjanjian Pangkor memberi kesan yang sangat mendalam kepada sejarah negara kerana akhirnya seluruh negeri-negeri Melayu di Semenanjung tunduk kepada sistem Residen British kecuali Kesultanan Johor yang kekal merdeka.

Namun, akhirnya Johor terpaksa menerima Penasihat British pada tahun 1914.

Tanggal 20 Januari 1874 bukanlah suatu tarikh yang patut rakyat Malaysia rayakan tetapi sekurang-kurangnya diingati sebagai pedoman agar kedaulatan negara tidak tergadai lagi.

Sejak menjadi negara berdaulat pada tahun 1957, pemerintah dan rakyat Malaysia telah berjaya membina sebuah negara yang maju, progresif dan makmur.

Malaysia pada hari ini adalah salah satu negara yang memiliki ekonomi paling berdaya saing pada tangga ke-27 daripada lebih 190 negara pada tahun 2023.

Malaysia juga adalah salah sebuah negara paling aman di dunia menurut Indeks Keamanan Global di tempat ke 18 pada tahun 2022.

Selain itu, Kuala Lumpur muncul sebagai salah sebuah bandaraya paling dikunjungi di dunia pada tahun 2023 oleh majalah Travelness. Ini adalah tanda bahawa Malaysia bukanlah calang-calang negara.

Namun, disebalik kejayaan-kejayaan yang dikecapi, para menteri yang bertanggungjawab mentadbir Malaysia terutamanya harus berhati-hati agar tragedi tergadainya negara seperti yang berlaku dalam Perjanjian Pangkor 1874 tidak terulang.

Pertimbangan yang berat perlu dilakukan dengan mengguna pakai nasihat pakar-pakar dalam negara seperti para peguam, konsultan, akademik dan lain-lainnya, lebih-lebih lagi perjanjian-perjanjian antarabangsa yang boleh mengancam kedaulatan negara, kepentingan rakyat dan masa depan ekonomi negara.

Pakar-pakar rujuk ini perlulah dilantik dalam kalangan cendekiawan dalam bidang yang telah diiktiraf kepakaran mereka di dalam dan luar negara dan bukannya dipilih atas lantikan politik caca merba.

Dalam menegakkan hak kedaulatan di Laut China Selatan, Malaysia perlu bertegas dengan tuntutan yang bertindih dengan negara-negara lain terutama sekali China.

Pentadbir negara, para menteri terutamanya, perlu berhati-hati dalam membuat sebarang kenyataan bagi menjaga kepentingan negara.

Kenyataan oleh bekas menteri pada tahun 2019 yang mengatakan Malaysia ‘berjiran’ dengan China adalah sangat bahaya kerana Malaysia tidak mengiktiraf sembilan garis putus yang dituntut China di Laut China Selatan.

Lagi pula, janganlah kerana kepentingan sesetengah pemimpin politik, masa depan negara digadaikan.

Amat menyedihkan pertukaran pucuk pimpinan yang berlaku berkali-kali sejak Pilihan Raya Umum 2018 telah menyebabkan banyak projek infrarakyat terkesan seperti projek keretapi laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR) yang dimansuhkan, projek LRT 3 Shah Alam yang diturunkan taraf dan projek MRT 3 Lembah Klang yang telah dibatalkan sejak 2018.

Projek HSR yang dirancang berpangkalan di Bandar Malaysia, Sungai Besi, Kuala Lumpur adalah projek yang sepatutnya membawa limpahan ekonomi kepada Malaysia.

Mobiliti mudah di antara dua kota besar Asia Tenggara iaitu Kuala Lumpur dan Singapura sudah pastinya memberikan manfaat kepada negara terutamanya dalam bidang perniagaan dan pelancongan.

Akibat daripada pembatalan projek HSR, kerajaan Malaysia sekarang perlu membayar ganti rugi kepada Singapura mengakibatkan juga maruah negara tercalar.

Hak rakyat untuk mendapatkan kemudahan yang moden dan canggih bagi memakmurkan negara juga tidak kesampaian.

Terdapat seruan bagi menghidupkan semula projek ini dari pelbagai pihak. Menghidupkan semula projek HSR memerlukan dana yang besar bukan sekadar air liur semata.

Kos pembinaan kini sudahpun meningkat dan boleh menyebabkan kewangan negara terbeban. Hutang negara juga telah meningkat berbanding keadaan sebelum PRU 2018.

Persoalannya sekarang - kenapa projek ini dibatalkan oleh pentadbiran terdahulu sekiranya ia bakal memberi keuntungan kepada negara?

Bandar Malaysia yang sepatutnya menjadi kemegahan negara kini terbiar sepi di Sungai Besi.

Para pemimpin negara wajib mentadbir negara dengan jujur, komited dan mengelakkan amalan rasuah yang boleh merencatkan pembangunan negara.

Malaysia sepatutnya sudahpun mencapai taraf negara berpendapatan tinggi pada tahun 2020 lalu tetapi kini taraf tersebut sayang sekali, kini, hanya dijangkakan boleh dicapai pada tahun 2028.

Malaysia telah berdekad lamanya merdeka. Pihak British sudah lama angkat kaki dan rakyat Malaysia yang kini menentukan hala tuju negara.

Para pemimpin Malaysia perlu mengambil iktibar daripada tragedi Perjanjian Pangkor yang telah menyebabkan negara tergadai dan maruah bangsa dilecehkan. 20 Januari 2024 yang akan datang genap menandakan 150 tahun Perjanjian Pangkor dimaterai.

Adakah para pemimpin Malaysia sanggup membenarkan kepentingan negara tergadai lagi?


* Dr. Mohd Hazmi Mohd Rusli adalah profesor madya di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia dan felo penyelidik di Asian Institute of International Affairs and Diplomacy (AIIAD), Universiti Utara Malaysia.

** Artikel ini adalah daripada pandangan peribadi berdasarkan bidang kerjaya penulis, dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.