KECERDASAN buatan (AI) bukan lagi sekadar teknologi baharu yang boleh dipilih atau diketepikan oleh syarikat, sebaliknya sudah menjadi persoalan strategik yang boleh menentukan siapa yang mampu bertahan dan siapa yang bakal tercicir dalam persaingan perniagaan.
Walaupun semakin banyak syarikat Malaysia menggunakan AI, persoalan lebih besar kini ialah sama ada teknologi berkenaan digunakan secara strategik atau sekadar untuk memudahkan tugasan seharian.
Kajian terbaharu menunjukkan 38 peratus perniagaan di Malaysia kini menggunakan sekurang-kurangnya satu alat AI secara konsisten, meningkat daripada 27 peratus pada 2025.
Bagaimanapun, 67 peratus pengguna AI masih menggunakannya pada tahap asas, manakala hanya 19 peratus mempunyai strategi formal untuk mengembangkan penggunaan AI merentasi pelbagai fungsi syarikat.
Angka ini memberikan satu isyarat penting kepada dunia perniagaan.
Kita mungkin sudah memasuki era AI adoption, tetapi belum semestinya memasuki era AI strategy.
Dalam pengurusan strategik, memiliki teknologi bukanlah kelebihan daya saing jika teknologi yang sama boleh dimiliki oleh semua pesaing.
Apa yang lebih penting ialah bagaimana syarikat menggabungkan AI dengan sumber manusia, data, proses kerja, inovasi dan model perniagaan bagi menghasilkan nilai yang sukar ditiru oleh pesaing.
Oleh itu, persoalan kepada CEO dan pemimpin sesebuah syarikat tidak sepatutnya lagi berbunyi, “Adakah kita menggunakan AI?”
Sebaliknya, persoalan yang lebih kritikal ialah:
“Apakah kelebihan daya saing yang kita bina melalui AI?”
AI bukan sekadar alat produktiviti
Kesilapan terbesar sesebuah syarikat ialah melihat AI hanya sebagai alat untuk menjimatkan masa.
AI memang mampu membantu menghasilkan laporan, kandungan pemasaran, analisis data dan pelbagai tugasan rutin dengan lebih pantas.
Namun, jika semua pesaing mempunyai akses kepada teknologi yang sama, kelebihan tersebut tidak akan bertahan lama dan berdaya saing.
Sebaliknya, syarikat yang menggunakan AI untuk memahami tingkah laku pelanggan, meramal permintaan, mempercepat pembangunan produk, mengoptimumkan operasi dan memperbaiki proses pembuatan keputusan akan mempunyai peluang yang lebih besar untuk membina kelebihan strategik.
Ini bermakna AI perlu bergerak daripada “tool” kepada “capability”.
Daripada perspektif pengurusan strategik, transformasi inilah yang akan membezakan syarikat yang sekadar mengikut trend dengan syarikat yang benar-benar mencipta masa depan.
Jangan jadikan AI projek IT Department
Satu lagi cabaran ialah kecenderungan syarikat menyerahkan agenda AI sepenuhnya kepada jabatan teknologi maklumat.
Pendekatan ini tidak lagi memadai.
AI mempunyai implikasi terhadap strategi korporat, sumber manusia, pemasaran, kewangan, operasi, risiko dan tadbir urus.
CEO perlu menentukan di mana AI boleh mencipta nilai. Pengurusan sumber manusia pula perlu memastikan pekerja mempunyai kemahiran yang relevan seiring dengan peningkatan penggunaan AI.
Lembaga pengarah perlu memahami risiko dan tadbir urus AI, manakala pengurus operasi perlu mengenal pasti proses yang boleh diubah.
Dalam erti kata lain, strategi AI perlu menjadi strategi bisnes strategy, bukan sekadar strategi IT.
Jangan hanya memikirkan untuk menggantikan pekerja
Perbincangan mengenai AI juga terlalu banyak tertumpu kepada persoalan sama ada pekerja akan kehilangan pekerjaan.
Persoalan yang lebih penting ialah bagaimana pekerjaan akan berubah.
Syarikat yang berpandangan jauh tidak semestinya menggunakan AI untuk menggantikan pekerja, tetapi untuk meningkatkan kemampuan pekerja.
Pekerja yang mampu menggunakan AI dengan baik berpotensi menjadi lebih produktif, kreatif dan pantas membuat keputusan.
Maka, cabaran sebenar sumber manusia ialah membangunkan AI-ready workforce, bukan sekadar mengurangkan jumlah pekerja.
Syarikat yang hanya mengejar pengurangan kos mungkin memperolehi keuntungan jangka pendek, tetapi syarikat yang membangunkan manusia bersama AI mempunyai peluang yang lebih besar untuk membina keupayaan jangka panjang.
Siapa yang akan tercicir?
Persaingan masa depan mungkin bukan lagi antara syarikat yang menggunakan AI dengan syarikat yang tidak menggunakannya.
Sebaliknya, persaingan akan berlaku antara syarikat yang menggunakan AI secara biasa dengan syarikat yang menjadikan AI sebagai sebahagian daripada strategi teras mereka.
Inilah yang perlu diberi perhatian khusus oleh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Malaysia.
Bagi syarikat besar, pelaburan dalam teknologi dan bakat mungkin lebih mudah dilakukan.
Bagi PMKS, pendekatan yang lebih strategik diperlukan.
Mereka tidak semestinya perlu membina sistem AI yang mahal. Sebaliknya, mereka perlu mengenal pasti satu atau dua masalah perniagaan paling kritikal dan menentukan bagaimana AI boleh menyelesaikan masalah tersebut dengan kos yang munasabah.
Strategi AI tidak semestinya bermula dengan teknologi yang mahal. Ia bermula dengan masalah perniagaan yang betul.
Malaysia perlu bergerak daripada pengguna kepada pencipta nilai
Malaysia kini mempunyai peluang besar untuk memanfaatkan AI bagi meningkatkan produktiviti dan daya saing ekonomi.
Namun, kejayaan agenda AI negara tidak boleh hanya diukur berdasarkan jumlah syarikat yang menggunakan AI.
Ukuran yang lebih bermakna ialah berapa banyak syarikat yang berjaya meningkatkan produktiviti, meningkatkan hasil, mencipta produk baharu, membuka pasaran baharu dan menghasilkan pekerjaan bernilai tinggi melalui AI.
Ini memerlukan perubahan cara pemimpin melihat teknologi.
AI bukan strategi. AI ialah enabler kepada strategi.
Strategi sebenar ialah bagaimana syarikat memilih untuk menggunakan AI bagi mencipta nilai yang lebih tinggi daripada pesaing.
Dalam keadaan persaingan global yang semakin sengit, syarikat yang lambat berubah mungkin kehilangan pelanggan, bakat dan pasaran.
Mereka mungkin masih mempunyai produk yang baik dan pekerja yang berpengalaman, tetapi jika pesaing mampu membuat keputusan lebih pantas, memahami pelanggan dengan lebih tepat dan beroperasi pada kos lebih rendah, kelebihan tradisional itu boleh hilang.
Akhirnya, ancaman terbesar bukanlah AI menggantikan manusia.
Ancaman yang lebih besar ialah syarikat yang menggunakan AI dengan lebih strategik menggantikan syarikat yang gagal berubah.
Justeru, setiap pemimpin perniagaan perlu mula bertanya tiga soalan mudah:
1. Apa yang perlu kita ubah?
2. Di mana AI boleh mencipta nilai terbesar?
3. Dan apakah kelebihan yang boleh kita bina yang pesaing sukar tiru?
Jawapan kepada tiga persoalan itu mungkin menentukan bukan sahaja masa depan AI dalam sesebuah syarikat, tetapi juga masa depan syarikat itu sendiri.
* Prof. Madya Yusmani Mohd Yusoff ialah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan, Universiti Utara Malaysia (UUM).
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.