PERHIMPUNAN kecil yang dilaporkan melibatkan beberapa warga Gaza di hadapan pejabat Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai pertikaian antara penerima bantuan dengan sebuah pertubuhan bukan kerajaan.
Maklumat lengkap mengenai tuntutan mereka masih perlu diperoleh. MAHAR juga berhak memberikan penjelasan penuh sebelum sebarang tuduhan dibuat. Namun, hakikat bahawa warga Gaza merasakan mereka perlu hadir di hadapan pejabat sebuah NGO untuk menyatakan keresahan sudah cukup untuk menimbulkan persoalan lebih besar.
Mengapakah NGO menjadi tempat terakhir yang perlu diketuk apabila timbul persoalan tentang kebajikan, penempatan, dokumentasi dan masa depan mereka?
Persoalan ini tidak hanya berkaitan MAHAR. Ia menyentuh keseluruhan hubungan kerja antara kerajaan dengan NGO kemanusiaan di Malaysia.
Hari ini, banyak NGO mempunyai hubungan yang baik dengan kementerian, kerajaan negeri, agensi awam dan pemimpin politik. Mereka terlibat dalam misi bersama, pengurusan bantuan, kutipan dana, majlis penyerahan sumbangan dan kempen solidariti.
Dalam konteks warga Palestin yang dibawa ke Malaysia untuk mendapatkan rawatan, Kementerian Pertahanan pernah menyerahkan urusan kebajikan pascarawatan 128 warga Palestin, termasuk pesakit dan ahli keluarga mereka, kepada Ops Ihsan. Ini menunjukkan pengurusan mereka sejak awal merupakan tanggungjawab bersama antara kerajaan, institusi kesihatan dan gabungan NGO.
Hubungan yang rapat ini sepatutnya menghasilkan sistem pengurusan yang lebih tersusun. Namun, hubungan di peringkat kepimpinan tidak semestinya diterjemahkan kepada kejelasan tanggungjawab di peringkat penerima bantuan.
Di sinilah masalah bermula.
NGO boleh membantu menyediakan tempat tinggal, makanan, pengangkutan, penterjemahan dan keperluan harian. Namun, NGO tidak mempunyai kuasa menentukan status imigresen, hak bekerja, akses pendidikan formal, tempoh keberadaan di Malaysia atau hala tuju jangka panjang seseorang warga asing.
Semua ini merupakan bidang kuasa negara.
Apabila pembahagian tanggungjawab tidak diterangkan, penerima bantuan hanya mengenali organisasi yang paling banyak berurusan dengan mereka. NGO akhirnya menjadi wajah kepada keseluruhan sistem.
Apabila bantuan lambat, NGO dicari. Apabila dokumen tidak selesai, NGO dipersoalkan. Apabila timbul masalah pendidikan, rawatan atau tempat tinggal, pejabat NGO menjadi tempat aduan.
Keadaan ini tidak adil kepada penerima bantuan. Ia juga meletakkan NGO dalam kedudukan yang melebihi kuasanya.
Namun, NGO tidak boleh sekadar menjawab bahawa sesuatu perkara berada di luar bidang kuasa mereka. Apabila sesebuah organisasi menerima amanah sebagai penghubung utama kepada sesuatu komuniti, organisasi itu turut bertanggungjawab menyediakan saluran rujukan yang jelas.
Tidak mempunyai kuasa membuat keputusan bukan alasan untuk gagal menguruskan komunikasi.
Hubungan baik dengan kerajaan sepatutnya digunakan untuk membina sistem rujukan antara agensi, bukannya hanya memudahkan majlis pelancaran, kunjungan hormat, kempen kutipan dana atau sesi fotografi bersama pemimpin.
Apa yang berlaku kepada warga Gaza juga bukan masalah baharu. Malaysia sudah lama berhadapan dengan kekaburan yang sama dalam pengurusan Rohingya dan komuniti pelarian lain.
Pada akhir Februari 2026, lebih 215,000 pelarian dan pencari suaka berdaftar dengan UNHCR di Malaysia. Lebih 126,000 daripada mereka merupakan Rohingya. Selebihnya terdiri daripada pelbagai komuniti dari Myanmar serta pelarian dan pencari suaka dari negara seperti Pakistan, Yaman, Somalia, Afghanistan, Syria, Sri Lanka, Palestin dan Iraq.
Selama bertahun-tahun, sebahagian besar keperluan harian komuniti ini diuruskan melalui NGO, badan agama, pusat pembelajaran komuniti dan sukarelawan.
Apabila anak-anak pelarian tidak dapat memasuki sekolah awam, NGO membuka pusat pembelajaran. Apabila mereka tidak mampu mendapatkan rawatan, badan kebajikan mengumpulkan dana. Apabila sebuah keluarga kehilangan tempat tinggal, sukarelawan mencari rumah sewa.
Usaha ini penting. Namun, bantuan masyarakat sivil tidak boleh terus menggantikan dasar negara.
Pengalaman Rohingya memperlihatkan akibatnya dengan jelas. Mereka tidak mempunyai akses biasa kepada pendidikan awam dan peluang pekerjaan yang sah. Apabila mereka bekerja dalam sektor tidak formal, mereka dituduh melanggar undang-undang. Apabila anak-anak mereka tidak bersekolah, mereka pula dipersalahkan kerana tidak mementingkan pendidikan.
Kita membiarkan mereka hidup dalam ketidakteraturan, kemudian memarahi mereka kerana hidup dalam keadaan yang tidak teratur.
Perhimpunan lebih 100 warga Rohingya di luar pejabat UNHCR di Kuala Lumpur pada 27 Julai 2026 sekali lagi memperlihatkan masalah yang sama. Mereka dilaporkan datang selepas berhadapan masalah tempat tinggal di Pulau Pinang. Sebahagian daripada mereka mempunyai dokumen UNHCR yang sah, tetapi tetap tidak mempunyai saluran jelas untuk mendapatkan perlindungan dan penyelesaian.
Mereka akhirnya berkumpul di hadapan pejabat sebuah organisasi antarabangsa kerana tidak mengetahui pintu kerajaan yang boleh diketuk.
Dalam kes warga Gaza, pejabat NGO pula menjadi tempat mereka membawa tuntutan.
Dua kejadian ini berbeza dari segi latar belakang, tetapi memperlihatkan kelemahan struktur yang sama: penerima perlindungan tidak mengetahui pihak yang benar-benar bertanggungjawab terhadap kehidupan mereka.
Kerajaan sedang melaksanakan Dokumen Pendaftaran Pelarian sebagai sebahagian daripada usaha mengambil alih dan menyusun proses pendaftaran. Pada 23 Julai 2026, kerajaan turut meminta UNHCR menghentikan sementara pendaftaran baharu supaya sistem nasional tersebut dapat dilaksanakan.
Langkah ini mungkin dapat memberikan kerajaan kawalan lebih jelas terhadap data dan identiti pelarian. Namun, pendaftaran sahaja tidak akan menyelesaikan masalah sekiranya tidak diikuti kerangka perlindungan, pendidikan, pekerjaan, kesihatan, penempatan dan mekanisme aduan.
Dokumen bukan dasar yang lengkap.
Kerajaan tidak boleh sekadar mengetahui siapa yang berada di Malaysia. Kerajaan juga perlu menentukan bagaimana mereka akan diuruskan sementara berada di negara ini.
Bagi warga Palestin yang dibawa ke Malaysia, kerajaan mesti menjelaskan kedudukan mereka. Adakah mereka pesakit, tetamu kerajaan, penerima perlindungan sementara atau pencari suaka? Berapa lama mereka boleh berada di sini? Adakah mereka dibenarkan bekerja? Bagaimana pendidikan anak-anak akan diuruskan? Siapakah yang menanggung tempat tinggal selepas bantuan awal berakhir?
Soalan seperti ini tidak boleh diselesaikan melalui perbualan WhatsApp antara pegawai NGO dengan pegawai kerajaan. Ia memerlukan keputusan rasmi.
Setiap keluarga yang berada di bawah program kerajaan dan NGO perlu mempunyai fail pengurusan kes yang jelas. Mereka perlu mengetahui bantuan yang akan diterima, tempoh bantuan tersebut, pegawai yang boleh dihubungi dan agensi yang bertanggungjawab terhadap setiap urusan.
Mekanisme aduan bebas juga mesti diwujudkan. Penerima bantuan tidak sepatutnya perlu bergantung kepada hubungan peribadi dengan pegawai NGO atau mengadakan perhimpunan di hadapan pejabat untuk memperoleh jawapan.
Agensi media dan penerangan kerajaan turut perlu dimanfaatkan. Kerajaan mempunyai televisyen, radio, agensi berita dan jaringan komunikasi awam. NGO pula mempunyai media sosial, penterjemah dan hubungan langsung dengan komuniti pelarian.
Malangnya, saluran ini lebih banyak digunakan untuk memperlihatkan bantuan sedang disampaikan daripada menerangkan bagaimana bantuan tersebut diuruskan.
Kita pandai menghasilkan video penyerahan kotak makanan, tetapi lemah menjelaskan pembahagian tanggungjawab.
Kita mahu memperlihatkan penerima bantuan sedang tersenyum, tetapi kurang bersedia apabila penerima yang sama mahu menyatakan ketidakpuasan hati.
Media tidak boleh hanya digunakan untuk mengumpulkan dana dan mengukuhkan imej organisasi. Media juga mesti digunakan untuk menerangkan batas bantuan, proses dokumentasi, tempoh menunggu dan saluran aduan.
MAHAR perlu diberikan ruang untuk menjelaskan perkara yang berlaku. Sekiranya tuntutan warga Gaza berada di luar bidang kuasanya, perkara itu perlu diterangkan secara terbuka dan dalam bahasa yang difahami oleh mereka.
Namun, kerajaan juga tidak boleh membiarkan NGO menjawab sendirian.
Sekiranya isu yang dibangkitkan melibatkan imigresen, pendidikan, rawatan, penempatan atau masa depan warga Gaza, agensi kerajaan berkaitan mesti tampil memberikan jawapan.
Kerja kemanusiaan boleh dilaksanakan bersama masyarakat sivil. Fungsi negara pula tidak boleh diswastakan kepada masyarakat sivil.
Matlamat kritikan ini bukan untuk menjatuhkan MAHAR atau mana-mana NGO. Ia juga bukan alasan untuk merendahkan warga Gaza, Rohingya atau komuniti pelarian lain.
Apa yang perlu diperbetulkan ialah sistem yang menjadikan NGO sebagai pelaksana bantuan, pengurus kehidupan, jurucakap kerajaan dan tempat terakhir penerima bantuan membawa segala tuntutan.
Hubungan rapat antara kerajaan dengan NGO tidak membawa makna sekiranya hubungan itu hanya kelihatan di atas pentas.
Ia mesti diterjemahkan kepada dasar, pembahagian tugas, komunikasi awam, saluran rujukan dan mekanisme pertanggungjawaban.
Apabila penerima bantuan terpaksa berkumpul di hadapan pejabat NGO atau UNHCR untuk didengari, kita tidak seharusnya hanya bertanya mengapa mereka berhimpun.
Kita perlu bertanya mengapa sistem yang dibina atas nama membantu mereka gagal menyediakan pintu lain untuk diketuk.
*Artikel ini tulisan Muhammad Syahmi Afiq Mohd Shukari merupakan penulis dan pemerhati isu Palestin serta Asia Barat yang memberi tumpuan kepada aspek kemanusiaan, geopolitik dan sejarah. Beliau telah menghasilkan lebih 50 artikel analitikal, selain merupakan penulis buku Zionisme: Daripada Idea Menjadi Kuasa dan penulis bersama Baitul Maqdis: Jalan Menuju Pembebasan.
**Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis, dan/atau berdasarkan pemerhatian bidang yang dijalaninya, serta tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.