MALAYSIA
[KOLUMNIS] Hak pengguna mengetahui harga ubat wajar diperkasa
![[KOLUMNIS] Hak pengguna mengetahui harga ubat wajar diperkasa [KOLUMNIS] Hak pengguna mengetahui harga ubat wajar diperkasa](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-05/71747307098_HargaUbat.jpg)
Hak untuk mengetahui harga adalah sebahagian daripada hak asasi pengguna yang termaktub dalam prinsip perlindungan pengguna. - Gambar fail/Bernama
USAHA kerajaan mewajibkan semua fasiliti kesihatan swasta, termasuk klinik dan farmasi, memaparkan harga ubat serta menyediakan preskripsi dan bil terperinci kepada pesakit mulai 1 Ogos merupakan langkah tepat untuk memperkasakan hak pengguna dalam sektor kesihatan.
Langkah ini membolehkan pesakit membuat perbandingan harga sebelum mendapatkan rawatan atau membeli ubat. Ini sekali gus memberi kuasa kepada pengguna untuk membuat pilihan lebih bijak dan mengelakkan caj tersembunyi yang sering membebankan.
Menurut Presiden Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia (MACFEA), Profesor Dr Ahmad Hariza Hashim, ketelusan harga dalam perkhidmatan kesihatan adalah satu prinsip asas dalam perlindungan pengguna. “Apabila harga ubat dipaparkan secara jelas, pengguna dapat membuat perbandingan dan memilih pilihan rawatan atau pembelian ubat yang sesuai dengan kemampuan mereka. Ini bukan sahaja melindungi hak pengguna, tetapi juga mendorong persaingan sihat di kalangan penyedia perkhidmatan kesihatan,” jelas beliau.
Beliau menambah bahawa paparan harga dan pemberian preskripsi terperinci membolehkan pengguna mendapatkan ubat dari sumber alternatif yang sah pada harga lebih berpatutan, tanpa menjejaskan kualiti rawatan. “Ketelusan harga adalah amalan yang telah lama diamalkan di negara maju, dan Malaysia perlu bergerak ke arah itu untuk memastikan sistem kesihatan kita lebih adil dan inklusif,” katanya.Dari sudut ekonomi, pelaksanaan dasar ini dijangka dapat menstabilkan harga ubat di pasaran kerana pengguna akan cenderung memilih fasiliti yang menawarkan nilai terbaik untuk wang mereka. Pendedahan harga secara terbuka juga akan menggalakkan penyedia perkhidmatan untuk mengekalkan harga munasabah bagi menarik pelanggan.
Hak untuk mengetahui harga adalah sebahagian daripada hak asasi pengguna yang termaktub dalam prinsip perlindungan pengguna. Dengan adanya maklumat harga yang telus, rakyat dapat merancang kewangan kesihatan mereka dengan lebih baik, mengelakkan hutang perubatan, serta memastikan rawatan kesihatan kekal mampu milik untuk semua lapisan masyarakat.
Langkah ini wajar dipuji sebagai satu bentuk reformasi kesihatan yang progresif, dan diharapkan ia dapat dilaksanakan dengan pemantauan yang rapi agar matlamat meningkatkan kuasa tawar-menawar pengguna benar-benar tercapai.
* Profesor Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali merupakan Exco Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia (MACFEA).
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami