Skip to main content

Malaysia

[KOLUMNIS] ICJ bakal putuskan nasib Rohingya: Apa ertinya kepada Malaysia?

81741840362_TBICJjpg.jpg
Pada Januari 2020, ICJ mengeluarkan langkah-langkah sementara (provisional measures) yang mengarahkan Myanmar mengambil semua langkah dalam kuasanya bagi melindungi masyarakat Rohingya sementara menunggu keputusan muktamad. - Gambar fail
Advertisement

KRISIS Rohingya sering dibincangkan dari sudut kemasukan pelarian ke Malaysia. Namun, hakikatnya akar permasalahan krisis ini bermula di Myanmar. 

Selagi punca utama di negara asal tidak diselesaikan, Malaysia dan negara-negara jiran akan terus berdepan dengan gelombang pelarian yang mencari perlindungan.

Dalam konteks ini, kes The Gambia lwn Myanmar di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (International Court of Justice, ICJ) merupakan prosiding signifikan bagi menentukan sama ada Myanmar telah melanggar obligasinya di bawah Konvensyen mengenai Pencegahan dan Penghukuman Jenayah Genosid 1948 (Konvensyen Genosid) terhadap etnik Rohingya.

Pada November 2019, The Gambia memulakan prosiding terhadap Myanmar dengan mendakwa negara itu gagal mencegah dan menghukum perbuatan yang didakwa melanggar obligasinya di bawah Konvensyen Genosid terhadap masyarakat Rohingya.

Pada Januari 2020, ICJ mengeluarkan langkah-langkah sementara (provisional measures) yang mengarahkan Myanmar mengambil semua langkah dalam kuasanya bagi melindungi masyarakat Rohingya sementara menunggu keputusan muktamad.

Mahkamah ketika itu tidak memutuskan bahawa genosid telah berlaku. Sebaliknya, ICJ berpendapat bahawa hak-hak Rohingya di bawah Konvensyen Genosid wajar dilindungi sementara prosiding diteruskan.

Sehingga kini, sebelas negara telah dibenarkan campur tangan di bawah Artikel 63 Statut ICJ bagi mengemukakan pandangan mengenai tafsiran Konvensyen Genosid. Negara-negara tersebut ialah Belgium, Kanada, Republik Demokratik Congo, Denmark, Perancis, Jerman, Ireland, Maldives, Belanda, Slovenia dan United Kingdom.

Negara-negara tersebut bukan pihak yang membawa tuntutan terhadap Myanmar. Sebaliknya, mereka membantu mahkamah mentafsir skop obligasi negara-negara pihak kepada Konvensyen Genosid. Pendengaran mengenai merit kes telah berlangsung pada Januari 2026 dan keputusan muktamad kini dinantikan.

Penulis bersama pasukan guaman CENTHRA turut mengadakan perbincangan dengan Mr Arsalan Suleman, seorang peguam antarabangsa yang merupakan anggota pasukan peguam mewakili The Gambia dalam prosiding ICJ bagi kes tersebut. Menurut beliau, pendengaran kes telah selesai secara merit, mahkamah kini sedang meneliti semua hujahan dikemukakan oleh pihak-pihak sebelum membuat keputusan.

Walaupun ICJ masih belum mengumumkan tarikh rasmi penghakiman, beliau memaklumkan bahawa keputusan mengenai merit kes dijangka disampaikan menjelang penghujung tahun ini, tertakluk kepada jadual serta urusan mahkamah.

Sekiranya ICJ memutuskan bahawa Myanmar telah melanggar obligasinya di bawah Konvensyen Genosid, penghakiman tersebut dijangka menjadi antara keputusan paling signifikan dalam perkembangan undang-undang antarabangsa berkaitan perlindungan kumpulan yang didakwa menjadi mangsa genosid.

ICJ tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan Malaysia menerima atau menempatkan pelarian Rohingya. Sebaliknya, sekiranya mahkamah memutuskan bahawa Myanmar telah melanggar obligasinya di bawah Konvensyen Genosid, implikasi utamanya ialah peningkatan tekanan undang-undang dan diplomatik terhadap Myanmar untuk mematuhi kewajipan antarabangsa.

Perkembangan terbaru di Pulau Pinang yang menyaksikan ratusan Rohingya dipindahkan susulan pertikaian dengan penduduk tempatan menunjukkan bahawa Malaysia kini turut menanggung implikasi kegagalan penyelesaian konflik di Myanmar.

Dalam masa yang sama, sentimen masyarakat terhadap komuniti Rohingya semakin ketara. Kebimbangan mengenai persaingan pekerjaan, penggunaan kemudahan awam, keselamatan serta kesan sosial telah mencetuskan pelbagai reaksi, termasuk kempen di media sosial yang menggesa kerajaan menghantar pulang Rohingya ke Myanmar. Isu ini turut dipengaruhi oleh tingkah laku segelintir anggota komuniti Rohingya yang telah mencetuskan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Kebimbangan sedemikian wajar difahami kerana setiap negara berhak menentukan dasar imigresennya sendiri serta melindungi kepentingan rakyatnya. Namun persoalan yang lebih besar ialah sama ada Rohingya pada hari ini benar-benar mempunyai sebuah negara yang selamat untuk mereka pulang.

Ramai pelarian Rohingya di Malaysia bukan berhijrah semata-mata untuk mencari peluang ekonomi atau menggantikan pekerjaan rakyat tempatan. Sebaliknya, mereka meninggalkan Myanmar selepas bertahun-tahun berdepan penafian kewarganegaraan, sekatan kebebasan bergerak, akses yang terhad kepada pendidikan dan penjagaan kesihatan serta diskriminasi sistemik yang telah lama dikenal pasti oleh pelbagai badan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai antara faktor yang menyumbang kepada penganiayaan terhadap komuniti tersebut.

Dalam konteks ini, isu Rohingya bukan sekadar persoalan Imigresen Malaysia. Ia turut mencerminkan kegagalan penyelesaian politik dan perlindungan hak asasi manusia di negara asal mereka. Keadaan menjadi semakin rumit apabila Myanmar masih berada di bawah pemerintahan junta tentera selepas rampasan kuasa pada Februari 2021. Konflik bersenjata antara junta dan pelbagai kumpulan penentang terus berlarutan, manakala keadaan kemanusiaan di banyak kawasan semakin meruncing.

Dalam keadaan sedemikian, kepulangan Rohingya secara sukarela masih sukar direalisasikan. Selain faktor keselamatan, isu asas seperti pengiktirafan kewarganegaraan, kebebasan bergerak, akses kepada pendidikan, penjagaan kesihatan dan peluang pekerjaan masih belum diselesaikan.

Apa yang lebih penting ialah memastikan Myanmar mengambil langkah-langkah konkrit bagi membolehkan masyarakat Rohingya pulang ke tanah air mereka secara sukarela dan selamat.

Krisis Rohingya bukan lagi isu domestik Myanmar semata-mata. Malaysia, Indonesia, Thailand dan Bangladesh terus menanggung implikasi kemanusiaan akibat perpindahan penduduk secara besar-besaran.

Justeru, ASEAN perlu mengalihkan tumpuan daripada sekadar mengurus kesan kemasukan pelarian kepada usaha menangani punca sebenar krisis tersebut. Organisasi serantau itu perlu memainkan peranan yang lebih berkesan dalam menggesa Myanmar mematuhi obligasi antarabangsanya, melaksanakan pembaharuan yang diperlukan serta mewujudkan keadaan yang membolehkan Rohingya kembali ke tanah air mereka dengan selamat dan bermaruah.

Perdebatan mengenai Rohingya di Malaysia sering tertumpu kepada persoalan penempatan dan beban yang ditanggung negara. Namun, selagi Myanmar gagal menyelesaikan masalah di dalam negaranya sendiri, negara-negara jiran akan terus berhadapan dengan kesan limpahan krisis tersebut.

Kes The Gambia lwn Myanmar bukan sekadar satu prosiding undang-undang terhadap sebuah negara. Ia merupakan ujian terhadap komitmen masyarakat antarabangsa untuk memastikan sesebuah negara tidak terlepas daripada tanggungjawab apabila hak asasi sesuatu komuniti dinafikan.

Keputusan ICJ mungkin tidak serta-merta mengurangkan jumlah pelarian Rohingya di Malaysia. Namun, sekiranya ia menjadi pemangkin kepada perubahan dasar di Myanmar, termasuk pengiktirafan kewarganegaraan, perlindungan undang-undang serta pemulihan hak-hak asas Rohingya, maka akan wujud harapan sebenar agar mereka dapat pulang ke tanah air sendiri.

Pada akhirnya, penyelesaian sebenar kepada krisis Rohingya bukanlah dengan memindahkan mereka dari satu negara ke negara lain. Penyelesaian yang berkekalan hanya akan tercapai apabila Myanmar bersedia mengiktiraf Rohingya sebagai sebahagian daripada rakyatnya, menjamin hak-hak mereka sebagai warganegara serta menyediakan persekitaran yang selamat untuk mereka hidup dengan aman dan bermaruah.

Selagi perkara tersebut tidak direalisasikan, krisis Rohingya akan terus menjadi cabaran bukan sahaja kepada Myanmar, malah kepada seluruh rantau Asia Tenggara dan masyarakat antarabangsa.


* Dir Kheizwan Kamaruddin adalah peguambela dan peguamcara di Mahkamah Tinggi Malaya beramal di Tetuan Manjit Singh Sachdev, Mohammad Radzi & Partners dan merupakan aktivis hak asasi di Pusat Penyelidikan Dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA)

** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.


 

Must Watch Video

Advertisement