KEADAAN yang tidak selamat (unsafe condition) adalah faktor utama yang menyebabkan berlakunya sesuatu kemalangan selain dari perlakuan yang tidak selamat (unsafe act).

Peralatan, kemudahan dan infrastruktur sekolah yang rosak, uzur dan tidak selenggara mewujudkan keadaan yang tidak selamat seterusnya meningkatkan risiko kemalangan terutamanya dalam kalangan pelajar.

Akibatnya, rentetan kejadian kemalangan di sekolah sering dilaporkan berlaku sehingga menyebabkan kecederaan dalam kalangan pelajar dan guru, bahkan turut melibatkan kehilangan nyawa.

Sebagai contoh, beberapa pelajar SMK Melor, Ketereh, Kelantan cedera selepas tangki airnya pecah dan menimpa laluan pejalan kaki di sekolah berkenaan pada 9 Ogos yang lalu.

Kempen kesedaran KKP di sekolah mampu memberi pendedahan kepentingan keselamatan dan kesihatan dalam kalangan pelajar dan guru. - Foto Mohd Soffian Osman

Kemudian, pada 18 Oktober yang lalu seorang pelajar perempuan darjah dua di sebuah sekolah di Selama, Perak patah jari dan beberapa pelajar lain turut tercedera selepas terkena kipas siling yang terjatuh dalam bilik darjah mereka.

Belum pun reda kes kemalangan pelajar ditimpa kipas, terkini tragedi menyayat hati yang berlaku semalam di Kota Kinabalu yang mengorbankan nyawa seorang pelajar lelaki berusia 11 tahun dari SK Lok Yuk akibat ditimpa tiang gol sewaktu aktiviti sukan sekolah.

Sekali pun kes ini berlaku di padang awam (bukan padang sekolah) namun pihak sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) & Kementerian Pendidikan Malaysia tidak seharusnya lepas tangan dari bertanggungjawab kerana ianya terjadi ketika aktiviti sukan tahunan sekolah sedang berlangsung.

Kejadian kemalangan maut akibat dihempap tiang gol di sekolah ini bukanlah kejadian kali pertama sepertinya.

Tahu atau tidak, kejadian serupa pernah berlaku pada 7 Mac 2000 di sebuah sekolah menengah di Kuantan, Pahang melibatkan seorang pelajar tingkatan dua yang maut selepas dihempap tiang gol ketika bermain di padang sekolah.

Rentetan dari kejadian tersebut, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia telah mengeluarkan Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 9/2000 bertarikh 30 Mac 2000 berkaitan ‘Panduan Keselamatan Diri Pelajar Semasa Pengajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan serta Kegiatan Kokurikulum dan Sukan Di Dalam dan Di Luar Kawasan Sekolah’ bertujuan memperingatkan kepada semua Pengetua dan Guru Besar atas tanggungjawab mereka untuk memastikan keselamatan diri pelajar terjamin semasa berada di sekolah.

Kempen kesedaran KKP di sekolah mampu memberi pendedahan kepentingan keselamatan dan kesihatan dalam kalangan pelajar dan guru.

Bagi maksud tersebut, KPM telah mengarahkan agar pihak sekolah mengambil tindakan proaktif dalam mewujudkan dan mengamalkan langkah-langkah keselamatan bagi mengelak atau mengawal sebarang kemungkinan berlakunya kemalangan dalm kalangan pelajar ketika menjalani aktiviti di sekolah, sama ada aktiviti-aktiviti pembelajaran, pendidikan jasmani, kegiatan kokurikulum atau sukan.

Namun menyedihkan apabila kemalangan serupa (pelajar maut dihempap tiang gol) tetap terus berlaku sekalipun selepas pekeliling tersebut telah dikeluarkan.

Berikut disenaraikan beberapa kes kemalangan yang berkaitan :Maka wujud persoalan, apakah arahan yang termaktub dalam pekeliling tersebut (jika ianya masih digunakan) telah dilaksanakan sebaiknya oleh mereka yang terlibat?

Oleh itu, bagi mengatasi segera kes-kes kemalangan yang membelenggu institusi pendidikan rendah dan menengah negara, berikut dicadangkan beberapa langkah drastik yang wajar dilaksanakan oleh KPM dengan serta merta, iaitu :
  1. Melakukan audit Keselamatan & Kesihatan (KKP) di semua sekolah di seluruh negara secara berkala bagi mengenal pasti sebarang keadaan yang tidak selamat yang boleh mengundang risiko keselamatan (safety) dan kesihatan kepada pelajar, guru dan kakitangan di sekolah,
  2. Menubuhkan sebuah jawatankuasa atau pasukan task force di peringkat daerah dan negeri yang terdiri dari semua agensi yang mempunyai sumber dan kepakaran berkaitan KKP (Jabatan Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan - JKKP, Jabatan Kesihatan, Jabatan Bomba & Penyelamat- JBPM, Jabatan Kerja Raya - JKR, Tenaga Nasional Berhad - TNB, pengamal KKP, dan lain-lain) bagi memberi nasihat kepada PPD dan JPN berkaitan kaedah kawalan risiko serta langkah-langkah penambahbaikan yang wajar diambil bagi memastikan keadaan sekolah yang selamat dan kondusif,
  3. Mewujudkan satu jawatankuasa atau pasukan task force KKP di peringkat kementerian bagi membangunkan senarai semak audit KKP yang standard untuk digunakan di semua sekolah,
  4. Menyemak semula dasar KKP dan perlaksanaannya, seterusnya mengambil langkah-langkah penambahbaikan yang perlu bagi memastikan pematuhan KKP yang lebih berkesan di peringkat kementerian, negeri, daerah dan sekolah,
  5. Melaksanakan tindakan pembetulan yang dicadangkan, setakat yang praktik, dengan kadar segera,
  6. Sentiasa melakukan semakan prestasi dan langkah penambahbaikan yang berterusan dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan KKP pada tahap yang tinggi,
  7. Berkerjasama dengan pihak JKKP bagi mewujudkan jawatan Penyelaras KKP (OSH Coordinator) di setiap sekolah,
  8. Berkerjasama dengan JKKP, NIOSH, pengamal KKP dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dalam melaksanakan Program Sekolah Selamat atau dikenali sebagai ‘OSH in School’ di semua sekolah.

Kesediaan KPM dalam menilai cadangan-cadangan yang diutarakan ini mampu merealisasikan elemen ‘SELAMAT’ yang terdapat dalam konsep Sekolahku Sejahtera seperti yang diimpikan oleh Menteri Pendidikan.



* Ts Mohd Soffian Osman merupakan Teknologis Profesional yang juga Perunding Keselamatan & Kesihatan Awam di Safety Management Academy.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.