ARAU: Potensi dan kehadiran institusi pengajian tinggi (IPT) di Perlis perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua pihak berkepentingan sebagai pemangkin pembangunan sosioekonomi yang mampu memberi pulangan berimpak tinggi kepada negeri itu serta rakyatnya.
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah, kewujudan rangkaian IPT dan sekolah yang semakin berkembang di negeri berkenaan juga sewajarnya menjadi pemacu kepada pembukaan lebih banyak kedai buku fizikal bagi menyemarakkan budaya ilmu dan memperkukuh ekosistem literasi masyarakat.
Baginda bertitah demikian ketika menerima menghadap Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kanada yang baharu, John K. Samuel di Balai Menghadap Biru, Istana Arau, pada Sabtu.
Berangkat sama, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Noor Azman Abdul Rahman; Penasihat Undang-Undang Negeri Perlis, Yang Zaimey Yang Ghazali; Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Datuk Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli; serta Naib Canselor Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ), Prof. Dr. Muhamad Rozaimi Ramle.
Ttitah baginda, meskipun dunia kini bergerak pantas ke arah pendigitalan dan masyarakat semakin cenderung menggunakan medium elektronik sebagai bahan bacaan, kewujudan ekosistem pendidikan yang rancak di Perlis perlu dimanfaatkan untuk menggalakkan pertumbuhan industri buku serta pembudayaan ilmu.
Dalam pertemuan itu, Tuanku Syed Sirajuddin turut menzahirkan nasihat kepada John agar sentiasa memelihara nama baik dan imej Malaysia di persada antarabangsa, di samping memberikan khidmat terbaik demi kebajikan komuniti rakyat Malaysia di Kanada.
Sementara itu, John menyatakan komitmen untuk membantu memudah cara jaringan kerjasama strategik antara IPT di Perlis, khususnya UniMAP dan UniSIRAJ, dengan institusi pengajian tinggi di Kanada.
Menurut beliau, inisiatif tersebut akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan program jangka pendek serta mobiliti akademik dalam usaha memperluas pendedahan antarabangsa dan pertukaran kepakaran antara kedua-dua negara.
John dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kanada pada 19 Oktober lalu selepas berkhidmat sebagai Setiausaha Bahagian CLMV dan Oceania di Kementerian Luar Negeri dari 2025 hingga November 2026.
Sepanjang karier diplomatiknya, beliau pernah menyandang beberapa jawatan penting termasuk Duta Besar Malaysia ke Finland dengan pentauliahan serentak ke Latvia dan Estonia, Timbalan Ketua Perwakilan di Kedutaan Besar Malaysia di Beijing, Konsul Jeneral Malaysia di Frankfurt serta Setiausaha Kedua (Politik) di Kedutaan Besar Malaysia di Rusia.
Pertemuan tersebut turut mencerminkan hubungan baik dan ruang pertukaran pandangan antara Perlis dengan perwakilan diplomatik Malaysia dalam usaha memperkukuh hubungan serta kerjasama di peringkat antarabangsa.