Skip to main content

Malaysia

SPRM seru tindakan segera atasi sisa plastik dan e-waste

71769788066_tbSPRMAzamBaki.jpg
Isu kemasukan sisa plastik dan sisa elektronik (e-waste) ke negara ini memerlukan tindakan segera serta penyelarasan menyeluruh antara agensi penguat kuasa, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki. - Gambar fail/BERNAMA

PUTRAJAYA: Isu kemasukan sisa plastik dan sisa elektronik (e-waste) ke negara ini memerlukan tindakan segera serta penyelarasan menyeluruh antara agensi penguat kuasa, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.

Beliau berkata ketika ini siasatan dan pelupusan membabitkan lebih 800 kontena e-waste sedang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS), Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Advertisement

Mengambil contoh di Pelabuhan Klang, beliau berkata AKPS berperanan sebagai penyelaras, manakala JKDM, PDRM dan JAS akan hadir ke lokasi sekiranya terdapat maklumat atau aduan.

"Bagi laluan darat pula, PDRM akan menggabungkan mana-mana agensi berkaitan untuk tindakan lanjut.

"Kita juga sedang meneliti cadangan moratorium dan pandangan mengenainya akan dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Tatakelola (JTK) Nasional yang akan dipengerusikan Perdana Menteri," katanya dalam kenyataan selepas Mesyuarat JTK Peringkat Nasional hari ini.

Sementara itu, Komander Kawalan dan Perlindungan Sempadan AKPS Pelabuhan Klang Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal berkata pihaknya mengambil pendekatan tegas dengan menahan kontena yang disyaki mengandungi e-waste sehingga pengesahan dibuat oleh JAS.

Beliau berkata setiap penahanan direkodkan secara sistematik dan pelepasan hanya dibuat melalui mesyuarat kes. JKDM pula akan menyenaraikan kontena dalam senarai induk bagi tujuan pengasingan sama ada telah diperiksa atau sebaliknya.

"JAS juga diwajibkan hadir semasa pembukaan kontena, manakala AKPS sedang membangunkan kaedah risikan untuk mengenal pasti kontena berisiko tinggi. Sekiranya melanggar undang-undang, kontena berkenaan akan ditolak keluar," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar yang mempengerusikan jawatankuasa tersebut berkata komitmen tinggi SPRM membanteras salah laku dan rasuah termasuk membabitkan perolehan kerajaan, penguatkuasaan serta perjanjian mega antarabangsa menjadi teras usaha memelihara integriti tatakelola negara.

Beliau berkata komitmen berterusan SPRM mendedahkan pelbagai modus operandi rasuah wajar dihargai dan dijadikan peringatan kepada semua pihak, khususnya penjawat awam.

"Saya berharap segala operasi dan tindakan penguatkuasaan ini menjadi peringatan dan pengajaran agar semua pihak sentiasa mematuhi undang-undang, menjunjung nilai integriti dan melaksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab," katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan atas pendekatan proaktif SPRM selain mengucapkan tahniah atas pelancaran tagline baharu agensi itu, "Berani dan Radikal Perangi Rasuah", yang menurutnya mencerminkan iltizam serta kesungguhan dalam memerangi rasuah demi kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat.

-- BERNAMA
 

Must Watch Video