SAYA mendapat makluman perkhabaran kematian mendiang Ketua Perangkawan pertama Malaysia iaitu Datuk Ramesh Chander melalui laporan media.

Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, mendiang yang meninggal pada selasa (14 November 2023) di usia 88 tahun menyandang jawatan sebagai Ketua Perangkawan Malaysia selama 11 tahun, bermula 1 Jan 1966 hingga 31 Dis 1977.

Saya secara peribadi tidak pernah berpeluang bersemuka dengan mendiang.

Tetapi usaha dan hasil kerja mendiang bersama dengan Professor Graham Pyatt dan Professor Jeffrey Round dalam membangunkan data social accounting matrix (SAM) di Malaysia amat signifikan kepada Malaysia dan kerjaya akademik saya.

Laporan Improving the Macroeconomic Database: a SAM for Malaysia 1970 merupakan dokumen penerbitan SAM pertama di Malaysia dan tergolong dalam antara penerbitan yang terawal di dunia.

Menariknya, data SAM ini dibangunkan dengan menggunakan jadual input-output wilayah yang pertama di Malaysia yang memperinci aliran input-output untuk Malaysia timur dan barat.

Hasil laporan tersebut juga telah diterbitkan dalam jurnal Review of Income and Wealth, di mana mendiang menjadi penulis utama makalah tersebut.

Laporan tersebut menjadi rujukan utama saya dan pasukan dalam membangunkan data SAM pada tahun 2005 untuk kegunaan Unit Perancang Ekonomi (kini dikenali sebagai Kementerian Ekonomi).

Analisis daripada data ini digunakan sebagai input kepada pembuatan dasar Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9, 2006-2010).

Tidak terhenti di situ, saya terus menambahbaik teknik penganggaran dan susunan SAM serta permodelan dalam kajian PhD saya dari 2006 sehingga 2010.

Pada Persidangan Persatuan Input-Output Antarabangsa yang berlangsung di Alexendria, Amerika Syarikat, saya berpeluang bersemuka dan berbicara dengan Graham Pyatt.

Semasa pertemuan tersebut, beliau turut memaklumkan kepada saya berkenaan dengan mendiang Datuk Ramesh Chander yang pada ketika itu telah menetap di sana.

Graham Pyatt, Jeffrey Round dan Eric Thorbecke merupakan tiga nama besar dalam dunia pembangunan dan permodelan SAM.

Graham Pyatt telah meninggal dunia pada tahun awal tahun ini pada usia 86 tahun dan kini yang tinggal hanya Jeffrey Round dan Eric Thorbecke.

Tiga nama besar ini merupakan penyambung kepada hasil kerja awal Sir Richard Stone berkaitan perakaunan sosial dalam konteks Sistem Perakaunan Negara (SNA).

Akhir kata saya dan seluruh ahli Persatuan Ekonomi Input-Output Malaysia menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mendiang dan berharap mereka terus tabah serta bersabar dengan kehilangan mendiang.

Sesungguhnya, hasil kerja mendiang bersama Graham Pyatt dan Jeffrey Round telah menyediakan kerangka asas kepada pembangunan data SAM di Malaysia.

Data SAM 2005 terbitan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dibina berasaskan kerangka tersebut.

Terima kasih di atas sumbangan kepada Malaysia.



* Dr Mohd Yusof Saari merupakan Presiden Persatuan Ekonomi Input-Output Malaysia. Beliau kini menjawat jawatan sebagai Ketua Ekonomi Buruh di Kementerian Sumber Manusia dan Emiratisasi, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

** ** Artikel ini adalah daripada pandangan peribadi berdasarkan bidang kerjaya penulis, dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.