BARU-BARU ini menjadi perdebatan hangat di kalangan pemain industri apabila pihak Radio Televisyen Malaysia RTM menjadikan salah satu syarat kepada pembentangan cadangan (pitching) kandungan program televisyen kepada RTM oleh penerbit adalah sijil notifikasi hak cipta daripada Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

Sijil notifikasi hak cipta MyIPO adalah satu pemberitahuan sukarela mengenai hak cipta (copyright) sesuatu karya itu kepada MyIPO bagi membuktikan hak cipta kandungan tersebut dimiliki oleh pengkarya dan juga  pun pemegang hak cipta komersial terhadap karya tersebut.

Apa yang cuba dilaksanakan Kementerian Komunikasi Digital (KKD) dan juga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Sara Hidup (KPDN) adalah langkah baik demi pembangunan industri kandungan kreatif dalam memastikan harta intelek melalui hak cipta ini dilindungi dan tidak diekploitasi agar tidak timbul di kemudian hari sebarang masalah tentang pemilikan hak pengkarya serta hak komersial kandungan kreatif.

Kerajaan Perpaduan melalui KKD dan KPDN cuba melaksanakan satu sistem di mana pengkarya dan penerbit membuat pemberitahuan dan pendaftaran tentang hak milik karya mereka agar pemilikan hak cipta direkod secara teratur sebelum sebarang aktiviti pengkomersialan secara persendirian atau bersama penerbit itu dilaksanakan.

Pengarang terutama golongan pengkarya dan juga industri seharusnya berterima kasih kepada kerajaan atas inisiatif ini memastikan semua karya dilindungi sebelum pengkomersialan.

Kita telah mendengar terlalu kerap di dalam media pengkarya seperti penulis, pengarah seperti Allayarham Tan Sri P Ramlee sendiri berhadapan masalah apabila karya mereka dikaut keuntungan secara berat sebelah oleh penerbit dan syarikat yang mempunyai hak komersial ke atas filem dan ciptaan mereka.

Akibatnya, pemain industri kreatif seperti P Ramlee tidak dapat mewariskan hasil titik peluh hasil idea kreatif dalam bentuk harta yang bernilai mereka kepada ahli keluarga dan generasi mereka.

Mereka hanya kaya dalam limpahan lampu di pentas glamor tetapi akhirnya hidup susah dan melarat di akhir usia.

Zaman dahulu mungkin kesedaran atau literasi pemain industri kreatif kita terhadap perlindungan hak cipta agak terbatas. Tiada saluran maklumat serta kefahaman mendalam tentang isu ini.

Mereka tidak menyedari tentang kewujudan Konvensyen Antarabangsa seperti Bern Convention 1886 yang diperkenalkan di Switzerland dan diratifikasi oleh kerajaan Malaysia pada Jun 28, 1990 melalui Konvensyen Berne untuk Perlindungan Karya dan Kerja kerja Artistik (Berne Convention for the Protection of Literary and Artistic Works)

Konvensyen ini memberikan perlindungan kepada perkarya selama 50 tahun hak cipta sebagai pengarang (author right).

Manakala kepada hak komersial (commercial right) kepada penerbit untuk memperdagangkan karya tersebut dalam tempoh tertentu mengikut perundingan dan juga kontrak persetujuan kedua belah pihak.

Menurut konvensyen antrabangsa, hak pengkarya sebagai penghasil dan pencipta idea tidak boleh dipadam atau dipinda tanpa mendapat kebenaran dan persetujuan mereka.

Setiap kandungan idea dalam bentuk nama, logo, watak yang dicipta juga boleh didaftarkan sebagai harta intelek yang dilindungi di bawah Akta Hak cipta .

Kesedaran hak cipta ini perlu selanjut diperkukuhkan kepada pemain industri kandungan kreatif termasuk individu dan syarikat agar berunding dan bersetuju sedari awal lagi tentang hak pengkarya dan juga hak komersil penerbit tentang pembahagian royalti serta komisyen (comissioning).

Apa yang perlu difahami oleh setiap pengkarya bahawa walaupun dia telah menyerahkan hak hak komersil karya tersebut kepada syarikat hak pengkarya (author right) tetap kekal selama 50 tahun di mana nama beliau sebagai pengkarya asal tidak boleh dipadamkan oleh penerbit sekiranya karya tersebut dikembangkan kepada penerbitan berikutnya.

Langkah kerajaan menyusun dengan sistem teratur mengikut konvensyen antarabangsa melalui agensi MyIPO bukan tujuan menyusahkan, tetapi, demi mengangkat dan melindungi karya karya kreatif ini dari diekploitasi secara tidak adil oleh mana mana pihak.

Cuma lebih kemas lagi kerajaan perlu bersama sama memastikan setiap agensi kerajaan seperti stesen televisyen swasta dan kerajaan serta penerbit memastikan juga bukan sekadar hak hak pengkarya itu dihormati malah diagihkan keuntungannya melalui royalti dan juga sistem komisyen yang adil dan saksama tanpa merugikan sesiapa.

Sudah tiba masanya stesen televisyen kerajaan dan swasta untuk berunding dari semasa ke semasa dengan pemain industri kreatif tempatan termasuk persatuan penerbit, persatuan artis pekerja kandungan kreatif terma terma yang lebih bersifat menang menang kepada setiap pemain industri.

Di negara negara maju seperti di Hollywood (Amerika Syarikat) dan Eropah, mereka sentiasa mengadakan perbincangan semula terma (negotitiation) tentang perkongsian dan pembahagian royalti dan komisyen kepada pihak terlibat dalam hasil usahama kandungan kreatif filem dan video.

Tambahan lagi dengan kewujudan saluran saluran lain kepada pengkarya serta penerbit industry kreatif untuk menyiarkan kandungan kreatif mereka seprti di YouTube dan juga Netflix yang menjadi salah satu sumber pendapatan dari hasil kreatif mereka.

Usaha ini tidak mungkin dapat dilaksanakan tanpa intervensi dan polisi dan agensi kerajaan seperti MyIPO dan juga Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) sebagai agensi bertanggungjawab terhadap pembangunan industri kandungan kreatif di KPDN serta KKD

Dalam era digital, kerajaan perlu memperkukuhkan kecerdasan buatan (artificial intelligence) dan juga analisa big data  yang boleh mengesan setiap hak royalti dan komisyen semua pihak yang mempunyai hak terhadap karya tersebut dengan cepat pantas dan dipercayai integriti maklumatnya.

Untuk melaksanakan ini, langkah kerajaan harus dipuji oleh pemain industri melalui agensi-agensi yang terlibat untuk meningkatkan keupayaan ilmu pengetahuan literasi pemain industri kreatif dalam membuat pemberitahuan (notifikasi) tentang hak milik karya mereka.

Perlu diperhalusi lagi tentang kos pemberitahuan sukarela tersebut tidak membebankan pengguna serta pemain industri kreatif. 

Bayaran RM200 melalui warta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna oleh kerajaan yang terdahulu mungkin akan membebankan pengguna.

Kos terhadap individu pengkarya dan penerbit dala memberi notifikasi kepada MyIPO pada peringkat pemberitahuan boleh dikurangkan demi menggalakkan mereka mendaftar hak cipta mereka dengan MyIPO.

Kos bayaran notifikasi ini mungkin boleh dinaikkan lagi setelah karya tersebut menerima surat setuju terima dan persetujuan setelah ia hendak dikomersialkan.

Dalam usaha untuk memajukan industri kandungan kreatif negara adalah perlu asas asas perlindungan hak cipta serta polisi kerajaan terhadap harta intelek ini diperkukuhkan dari semasa ke semasa.

Industri kreatif semua pemain industri daripada individu pengkarya, persatuan, penerbit, stesen televisyen, pemamir serta pembuat dasar daripada agensi kerajaan perlu dari masa ke semasa merundingkan terma terma seperti royalti, komisyen dan juga pelesenan (licensing) bersesuaian dengan faktor ekonomi semasa seperti peningkatan kos sara hidup.

Ini demi untuk memperkasakan pembangunan industri kandungan kreatif negara agar setanding dengan maju dan dapat meningkatkan pendapatan, ekonomi serta sara hidup rantaian industri kandungan kreatif negara

Justeru semua pihak termasuk pemain industri mesti turut memberi sokongan terhadap inisiatif kerajaan untuk menjaga hak dan memperkasa pendapatan tinggi mereka demi pembangunan ekonomi dan sara hidup pemain industri kreatif itu sendiri.



* Ts Megat Al Imran Yasin ialah Pensyarah Kanan Jabatan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia. Beliau merupakan mantan Timbalan Ketua Pengarah Finas.

** Artikel ini adalah daripada pandangan peribadi berdasarkan bidang kerjaya penulis, dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.