Ramai penganalisis dan kalangan akademia termasuk saya melihat, pada masa senada bahawa lawatan Perdana Menteri ke Thailand adalah salah satu usaha srategik pembangunan dan keamanan serantau. Strategik kerana, usaha lawatan rasmi Perdana Menteri ke Thailand ini sudah tentu membawa sekali hasrat misi pembangunan serantau membabitkan aktiviti ekonomi politik serta keamanan serantau yang mesti diterajui oleh kepimpinan ASEAN yang berwawasan.
Dalam hal ini, kita tentunya bersetuju bahawa, Thailand sebagai negara jiran pernah berjasa pada Malaysia apabila membantu menjadi pemudahcara mengikhtiarkan perlucutan senjata Parti Komunis Malaya pada tahun 1987.
Sikap prihatin dan keluhuran kerajaan Thai menawarkan kawasan penempatan kepada bekas ahli Parti Komunis Malaya (PKM) seperti Bangchulabhorn di Sukhirin Thailand membantu terus memadamkan pertelingkahan bersenjata dengan PKM yang telah berlaku selama berdekad-dekad.
Hasil daripada usaha itu, wilayah utara Malaysia mendapat hasil pembangunan ekonomi hasil dari keamanan yang dicipta.
Saya ingin menarik perhatian kepada peristiwa baru-baru ini, tetapi tetap relevan dengan sudut lawatan Perdana Menteri ke Bangkok bermula pada Khamis.
Saya bersama beberapa rakan dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA) berpeluang ke selatan Thailand, menjejak kaki ke wilayah Narathiwat dan Patani. Dalam misi ukhuwah selama tiga hari itu, kami singgah di Bangchulaborn Sukhirin. Kalau ada yang tidak tahu, Bangchulaborn Sukhirin ialah perkampungan yang terletak dalam wilayah Narathiwat dengan dihuni beberapa orang rakyat Malaysia. Ia turut terjejas dengan putaran keganasan tanpa henti di selatan negara itu sejak lebih sedekad lalu. Antara yang sama jumpa di perkampungan ini, Abdullah CD dan beberapa penduduk kampung yang lain, kesemuanya masih fasih bertutur dalam bahasa Melayu, loghat Siam.
Hasil pemerhatian daripada lawatan kami itu, dapat diperhatikan dengan jelas keamanan dan kemakmuran yang semakin mengukuh di selatan Thai.
Dan, tanpa mahu menafikan, agak tidak keterlaluan dikatakan, kelihatan mereka di Thailand lebih ke hadapan berbanding kita di Malaysia, dalam aktiviti keterjaminan makanan seperti aktiviti pertanian. Malah, infrastruktur serta kebersihan juga lebih menyerlah jika dibandingkan dengan sebahagian negeri di utara semenanjung Malaysia.
Dalam soal keselamatan pula, di sebalik amaran keselamatan di dalam media rentetan berlakunya dua serangan bom di HatYai dan Songkhla akhir tahun lalu rakyat Malaysia masih lagi menjadi pelawat utama ke tiga wilayah selatan, yang masih bergolak itu. Laporan Deep South Watch menyebut, sudah hampir 7,000 nyawa melayang - dari yang beragama Islam dan juga Buddha, akibat persengketaan di selatan Thai sejak tahun 2004.
Di sebalik itu, rakyat Malaysia, majoritinya dari utara dan timur, berduyun-duyun ke selatan Thai - Danok, HatYai, Songkhla, Narathiwat, Yala dan Pattani, sama ada berkereta atau, menaiki bas dan tidak kurang juga yang mengunakan sistem perjalanan keretapi untuk terus dari HatYai ke Bangkok.
Pada lapis ini, saya melihat, ia satu petanda yang baik - ada petanda keamanan yang semakin menyinar di bumi selatan Thailand, jiran Malaysia paling dekat, hanya di seberang perbatasan. Tidak hairanlah industri pelancongan mereka sangat baik dengan begitu banyak produk serta tempat pelancongan yang menarik serta dijaga rapi.
Pada tahun 2022 sahaja pihak berkuasa Pelancongan Thailand di Malaysia menganggarkan lebih sejuta pelawat dari Malaysia melawat selatan Thailand sejak pintu sempadan dibuka pada tahun yang lalu, apabila sekatan perjalanan akibat COVID-19 dilonggarkan.
Hal ini, mungkin berpunca pelbagai faktor antaranya soal sosio-budaya masyarakat setempat selatan Thai yang anat rapat dengan penduduk Malaysia khususnya di negeri utara Semenanjung Malaysia Perlis Kedah dan Pulau Pinang serta di sebelah pantai Timur iaitu di Kelantan.
Jumlah penduduk beragama Islam di selatan Thai yang masih menggunakan bahasa melayu di wilayah Satun, Yala, Narathiwat, Songkhla dan Patani memudahkan interaksi sosial dan pilihan terhadap menu makanan halal.
Ada beberapa faktor lain yang saya lihat boleh kita contohi dalam sikap masyarakat Thai terhadap kebersihan. Sikap masyarakat terhadap kebersihan saya kira lebih baik dari kita.
Sebagai contoh tandas tandas awam amat bersih bersih tidak berbau. Tambahan lagi dengan faktor pengukuhan ringgit dan juga tawaran infrastruktur pelancongan serta pilihan makanan yang begitu dekat dengan selera masyarakat Malaysia dengan harga yang murah.
Infrastruktur seperti jalan raya berkembar lurus dengan penyelenggaraan yang baik oleh kerajaan Thailand di selatan negara itu amat memudahkan pengangkutan dan keselamatan jalanraya untuk tujuan aktiviti sosial, perniagaan dan pembangunan.
Bagi mengisi kerjasama serantau Malaysia inisiatif lawatan Perdana Menteri ini bakal menyemarakkan lagi aktiviti pembangunan ekonomi di selatan Thai dan juga bahagian utara dan timur Semenanjung Malaysia.
Sudah banyak sebenarnya aktiviti perniagaan diusahakan oleh perniagaan Malaysia di selatan Thai. Antaranya usaha syarikat Uniti.Asia Sdn Berhad yang mengadakan usahasama dengan perniagaan di wilayah Patani seperti Projek ASEAN Mall, Wakaf Mall dengan Jaringan Koperasi Islam Thailand Yayasan Madinatussalam yang turut disokong oleh bank-bank Malaysia.
Saya berpendapat sekiranya negeri utara mengambil peluang dari pembangunan selatan Thai banyak yg boleh negara ini dimanfaatkan bersama.
Isu keselamatan dan keamanan di selatan Thai perlu diberi perspektif yang baik dan perdamaian menyeluruh perlu disegerakan di mana ia secara tidak langsung akan mudah dipadamkan sekiranya aktiviti ekonomi berkembang baik antara dua negara.
Rakyat di selatan Thai dan utara semenanjung Malaysia terutama empat negeri Perlis, Kedah, Perak dan Pulau Pinang di bawah Koridor Ekonomi Utara NCER. Ini pasti boleh melonjakkan aktiviti dagangan Malaysia-Thailand di mana pada tahun 2022, Thailand adalah rakan dagangan ketujuh terbesar Malaysia di peringkat global dan ketiga terbesar dalam kalangan negara ASEAN dengan jumlah dagangan AS$27.75 bilion (RM122.03 bilion), meningkat 17.9 peratus berbanding dicatat pada 2021.
Tidak ketinggalan, negeri Kelantan dan Terengganu melalui sempadan di Rantau Panjang dan Takbai juga bakal menerima manfaat limpahan pembangunan ekonomi dan perniagaan melimpah ke sebelah timur Semenanjung Malaysia.
Lebih penting kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri serta seluruh rakyat Malaysia dan selatan Thai mestilah bergerak seiring turut serta menyokong usaha Perdana Menteri Malaysia dan Thailand mengadakan perancangan pembangunan demi kemajuan rakyat melalui hubungan sosial dan ekonomi yang kukuh yang secara tidak langsung mengikis rasa takut dan bimbang atas stigma faktor keselamatan di selatan Thailand.
Inilah juga intipati lawatan Anwar, julung kali diadakan atas kapasiti sebagai Perdana Menteri , ke Thailand di mana harapan tinggi diletakkan ia akan membuahkan hasil sebagaimana diharapkan.
Warga Thailand, lebih khusus di selatan negara itu, percaya ketokohan dan kepimpinan Perdana Menteri Malaysia ke-10 yang disenangi kalangan majoriti mereka, berupaya memberi kesan baik kepada umat Islam di rantau ini.
Jalannya sudah ada dan terbentang luas, hanya menunggu pelaksanaannya, diharapkan jangan sampai terpadam ditenggelamkan isu-isu tidak sepatutnya.
* Penulis ialah Pensyarah Jabatan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM).
**Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
**Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.