MALAYSIA
Produk gegelung besi dari tiga negara didapati diimport pada harga lambakan - MITI

MITI dalam satu kenyataan berkata penentuan awal berkenaan penyiasatan duti anti-lambakan dibuat sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 23 dalam Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1993.
KUALA LUMPUR: Kerajaan mendapati terdapat bukti yang mencukupi bahawa produk gegelung atau kepingan besi bergalvani atau gegelung atau kepingan keluli bergalvani berasal dari China, Korea Selatan dan Vietnam, diimport pada harga lambakan.
Ringkasan AI
- Kerajaan mengenakan duti antilambakan sementara antara 3.86% hingga 57.90% ke atas import produk besi dan keluli bergalvani dari China, Korea Selatan dan Vietnam mulai 7 Julai 2025, susulan bukti harga lambakan yang menjejaskan industri tempatan.
- Penyiasatan bermula pada 6 Februari 2025 berdasarkan petisyen oleh CSC Steel Sdn Bhd, yang mendakwa import pada harga lebih rendah dari pasaran domestik negara asal menyebabkan kemudaratan material kepada pengeluar tempatan.
- Pihak berkepentingan boleh mengemukakan ulasan terhadap laporan penentuan awal selewat-lewatnya 14 Julai 2025 melalui sistem TRIMA di pautan https://traderemedies.miti.gov.my/.
"Pengenaan duti antilambakan sementara akan berkuat kuasa bagi tempoh tidak melebihi 120 hari, mulai 7 Julai 2025 dan penentuan muktamad akan dibuat pada atau sebelum 3 November 2025," kata kementerian itu.
Menurut MITI, kerajaan memulakan penyiasatan duti antilambakan terhadap import produk tersebut pada 6 Februari lalu dan susulan penentuan awal ini, penyiasatan seharusnya diteruskan.
Siasatan yang turut dilakukan di bawah Peraturan Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1994 berdasarkan petisyen yang difailkan oleh CSC Steel Sdn Bhd.
Pempetisyen (CSC Steel) mewakili industri tempatan yang mengeluarkan produk serupa, mendakwa dagangan subjek berasal dari China, Korea Selatan dan Vietnam yang diimport ke Malaysia pada harga lebih rendah daripada harga dijual di pasaran domestik negara-negara tersebut telah menyebabkan kemudaratan material kepada industri tempatan di Malaysia.
Bagaimanapun, MITI menegaskan mana-mana pihak berkepentingan sama ada pengimport, pengeluar atau pengeksport asing dan persatuan yang berkaitan dengan penyiasatan dialu-alukan untuk memberi ulasan atau pandangan terhadap laporan penentuan awal kepada kementerian.
Ulasan atau pandangan boleh dikemukakan selewat-lewatnya pada 14 Julai, 2025.
"Pihak berkepentingan boleh mendapatkan laporan Penentuan Awal versi tidak sulit dari sistem Trade Remedies Investigation Management (TRIMA) melalui pautan https://traderemedies.miti.gov.my/," kata MITI.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami