PROSES timbang tara adalah penyelesaian pertikaian alternatif secara sukarela di mana pihak yang berkepentingan menyelesaikan pertikaian melalui penimbang tara.

Proses timbang tara digunakan secara meluas dan merupakan sebahagian penting dalam sistem keadilan masyarakat kita pada hari ini.

Ia adalah pendekatan yang cenderung digunakan bagi penyelesaian pertikaian alternatif kerana ia menawarkan privasi kepada semua pihak dan dianggap efektif dari segi kos, berkesan dari segi masa, dan fleksibel.

Untuk mana-mana kes yang melalui proses timbang tara ini, perlu ada klausa timbang tara dalam perjanjian asal.

Keputusan anugerah timbang tara adalah mengikat dan boleh dikuatkuasakan di mana-mana mahkamah selagi ianya selaras dengan undang-undang.

Penimbang tara, sama seperti hakim, mempunyai kuasa untuk mengeluarkan perintah pada satu-satu kes timbang tara.

Bagaimanapun, berbeza dengan hakim yang tidak boleh dilantik oleh pihak-pihak yang terlibat, penimbang tara pula boleh dilantik oleh pihak-pihak yang terlibat dalam timbang tara.

Dalam hal ini, mekanisme pengawasan adalah penting untuk memastikan penimbang tara berpegang kepada standard etika yang ketat bagi mengelakkan sebarang kes penimbang tara 'berat sebelah’ atau prasangka.

Walaupun penimbang tara bukanlah sebahagian daripada sistem kehakiman, ia bukanlah konsep asing di Malaysia kerana Malaysia adalah tuan rumah kepada Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia atau Asian International Arbitration Centre (AIAC), pusat global untuk penyelesaian pertikaian alternatif sejak empat dekad yang lalu.

Kes Sulu, di mana lapan individu mendakwa sebagai waris Sultan Sulu yang telah meninggal dunia membuat tuntutan AS$15 bilion terhadap Malaysia, tidak mempunyai klausa timbang tara kerana tiada apa-apa perjanjian antara Kerajaan Malaysia dan lapan pihak yang membuat tuntutan tersebut.

Keputusan anugerah akhir yang didakwa dihasilkan daripada penimbang tara telah dikeluarkan secara tidak sah oleh seorang penimbang tara Sepanyol, Dr Gonzalo Stampa, kepada lapan pihak yang membuat tuntutan tersebut walaupun pelantikannya sebagai penimbang tara telah dibatalkan terlebih dahulu oleh Mahkamah Sepanyol.

Kes ini telah menimbulkan kebimbangan tentang tingkah laku etika, integriti, profesionalisme dan amalan baik (best practice) oleh golongan penimbang tara, yang merupakan asas kepada proses timbang tara itu sendiri.

Asas-asas kualiti ini memberi pengaruh kepada pilihan yang dibuat oleh pihak-pihak yang terlibat dalam memilih penimbang tara untuk menyelesaikan pertikaian mereka.

Pihak yang bertindak sebagai penimbang tara dikehendaki memikul tanggungjawab yang serius terhadap orang awam, serta kepada pihak-pihak yang terlibat, termasuklah menunaikan tanggungjawab untuk sentiasa mematuhi etika, kerana jika sebaliknya, ia boleh menyebabkan kredibiliti seluruh sistem timbang tara terjejas.

Pada kes Sulu, tiada elemen profesionalisme dan tingkah laku beretika di mana proses timbang tara itu tidak dipersetujui kedua-dua pihak yang terlibat (dalam kes ini, lapan penuntut dan Kerajaan Malaysia) dan perintah award telah dikeluarkan secara tidak sah di mana penimbang tara itu sudah dibatalkan perlantikannya oleh Mahkamah Sepanyol, sekali gus tidak mempunyai kuasa untuk mengendalikan kes berkenaan.

Kes Sulu juga mencerminkan bagaimana proses timbang tara boleh disalahgunakan untuk mengancam negara-negara berdaulat dalam ketiadaan mekanisme pengawasan dan kegagalan penimbang tara untuk mematuhi standard etika dan profesional yang tegas.

Satu kod etika yang tegas bagi penimbang tara akan dapat menghapuskan mana-mana penimbang tara palsu yang berupaya sehingga melumpuhkan sebuah negara berdaulat.

Tiada negara berdaulat sepatutnya terperangkap oleh konspirator disebabkan oleh kegagalan penimbang tara yang gagal mematuhi standard etika yang ketat.

Proses timbang tara pada hari ini terdedah kepada penyalahgunaan. Proses timbang tara itu sendiri boleh dipindahkan.

Sebelum keputusan di Sepanyol diperolehi, penimbang tara dalam kes Sulu ini memindahkan kes timbang tara ke Paris.

Penuntut kemudian berusaha untuk mendapatkan pengiktirafan dan penguatkuasaan dari perintah itu di negara seperti Belanda dan Luxembourg.

Kita boleh dapat buat kesimpulan, pihak yang membuat tuntutan boleh memindahkan proses ini ke negara-negara (yang mempunyai keanggotaan dalam Konvesyen New York 1958) mengikut pilihan mereka hingga dapat mencapai satu keputusan yang menguntungkan mereka.

Mereka berupaya menggunakan taktik ini kerana menerima pembiayaan yang tinggi daripada dana litigasi dan pelabur yang menyokong usaha mereka, dengan harapan jika penuntut berjaya dalam proses timbang tara ini, mereka akan mendapat laba sebagai komisen dari perintah award itu.

Usaha mereka ini boleh berterusan. Bagi Malaysia, setiap ringgit dan sen serta sumber yang digunakan bagi mempertahankan kedaulatan negara datang dari duit rakyat.

Pada perspektif Malaysia, ini bukanlah pertikaian komersil tetapi satu tuntutan timbang tara palsu dan Malaysia akan terus mempertahankan kedaulatan negara ini.

Sementara Malaysia terus mempertahankan kedaulatan negara, usaha sedang dilakukan secara seiring untuk lebih memahami kes Sulu ini dan bagaimana proses timbang tara boleh diperbaiki lagi untuk mengelak disalahgunakan.

Antara usaha ini adalah Kolokium Timbang Tara Antarabangsa 2023 yang akan berlangsung pada 4 Julai 2023 di Sabah.

Kolokium ini, yang juga diadakan di Kuala Lumpur pada 9 Mei 2023, telah berjaya menghimpunkan ahli akademik, peguam, ahli sejarah, dan komuniti timbang tara antarabangsa dan berfungsi sebagai platform untuk mendorong perbincangan tentang kes Sulu.

Kolokium ini akan diadakan di United Kingdom pada akhir tahun ini.

Saya berharap komuniti penimbang tara antarabangsa akan mengambil tindakan berkesan dan secara kolektif bagi mengekalkan kesucian proses serta amalan timbang tara.

Mana-mana negara, sama ada kaya atau miskin, TIDAK seharusnya menjadi mangsa kepada timbang tara yang tidak berasas atau terperangkap melalui penyalahgunaan proses undang-undang, seperti dalam kes Sulu, yang dari awal lagi merupakan penyalahgunaan yang sistematik terhadap proses timbang tara.

Sebagai ahli undang-undang dan bekas peguam, saya menyokong usaha pengukuhan sistem timbang tara global dan menggesa pengawalan pembiayaan litigasi terutamanya dari sudut ketelusan dan pendedahan mengenai dana diperolehi.

Kerajaan Malaysia akan terus melaksanakan segala usaha bagi menamatkan tuntutan timbang tara Sulu yang turut menggunakan negara-negara lain bagi menguatkuasakan perintah award yang tidak sahih kerana kos pengendalian bagi perintah palsu ini akan memberi impak kewangan kepada Kerajaan Malaysia dan wang rakyat.


* Datuk Seri Azalina Othman Said ialah  Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi).

* Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis berdasarkan bidang tugasnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.