KUALA LUMPUR: HAMPIR dua dekad lalu, ramai pemerhati ketenteraan antarabangsa memandang rendah keupayaan industri pertahanan China. Senjata dan peralatan yang dipamerkan ketika itu dianggap salinan asas teknologi Barat.
Namun, dalam masa yang singkat, naratif itu berubah sepenuhnya.
Arahan Presiden Xi Jinping pada 2019, yang meminta Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) mempercepatkan penyelidikan dan latihan berasaskan dron, telah melancarkan proses transformasi yang kini menjadikan Beijing sebagai antara pusat inovasi ketenteraan paling rancak di dunia.
Dalam Perutusan Tahun Baharu Kementerian Pertahanan pada 12 Januari 2026, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan bahawa Malaysia akan melancarkan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) bagi membangunkan industri pertahanan tempatan yang kukuh, berdaya saing dan mampan serta memperkukuh kedaulatan teknologi pertahanan negara.
Jika dinilai secara kasar, kenyataan sedemikian boleh dianggap sebagai menandakan satu peralihan strategik dalam pendekatan pertahanan negara yang sangat diperlukan selama ini.
Perlu difahami bahawa pembinaan industri pertahanan yang berdaya tahan menuntut akses kepada ekosistem inovasi, rantaian bekalan teknologi dan pemindahan kepakaran yang berkembang pantas.
Aspek terpenting dalam kitaran ini turut melibatkan variasi hubungan dalam memaksimumkan pertukaran teknologi.
Kesemua ini hanya akan berlaku dengan jelas dan mudah jika negara mempunyai satu dasar atau hala tuju industri pertahanan negara yang jelas.
Selain dominasi barat yang sejak sekian lama mempelopori industri ketenteraan, keseriusan China dalam industri pertahanan amat berpotensi menjadikannya sebagai rakan industri yang signifikan.
Sekiranya diperhatikan, teknologi ketenteraan China pada hari ini berkembang dengan begitu pesat dan mula menjadi antara pencabar industri pertahanan global.
Misalnya dalam perarakan ketenteraan pada 3 September 2025 sempena ulang tahun kemenangan Perang Dunia Kedua, China secara megahnya menunjukkan aset-aset canggihnya seperti deretan dron siluman GJ-11, kenderaan bawah laut tanpa pemandu bersaiz gergasi, robot darat bersenjata dan misil Dongfeng.
Kesemua pameran ini sekali gus menandakan lonjakan luar biasa republik tersebut.
Ini boleh dikatakan bahawa China tidak lagi tampil sebagai pengikut pasif, sebaliknya mula menempatkan diri sebagai kuasa yang mendefinisikan bentuk peperangan baharu berasaskan algoritma, automasi dan kelebihan kuantiti.
Perkembangan ini menunjukkan lonjakan kemampuan teknologi. Namun, ia masih berdepan persoalan sama ada inovasi tersebut benar-benar dapat diintegrasikan dalam konteks peperangan sebenar.
Namun, sedar ataupun tidak, faktor yang menjelaskan lonjakan itu ialah kesanggupan China melabur secara besar-besaran dalam penyelidikan dan pembangunan.
Menurut OECD, perbelanjaan R&D China pada 2023 meningkat sekitar 8.7 peratus, berbanding 1.7 peratus di Amerika Syarikat dan 1.6 peratus di Kesatuan Eropah.
Diukur pada pariti kuasa beli, tahap R&D China mencecah kira-kira 96 peratus daripada paras Amerika Syarikat pada tahun yang sama, menandakan jurang yang semakin mengecil.
Untuk rujukan skala, anggaran bebas meletakkan nilai mutlak China pada lingkungan 720 hingga 750 bilion dolar Amerika bagi 2023, bergantung pada kaedah PPP yang digunakan.
Bagi 2024, Biro Perangkaan Negara China melaporkan jumlah perbelanjaan R&D sebanyak 3,613 bilion yuan, meningkat 8.3 peratus setiap tahun.
Pelaburan dalam penyelidikan asas berjumlah 249.7 bilion yuan, bersamaan 6.91 peratus daripada keseluruhan. Pelaburan-pelaburan ini akhirnya menjadikan China sebagai antara kuasa besar yang bersedia dalam teknologi pelbagai domain.
Yang lebih mencabar minda global ialah kesediaan China menempatkan kecerdasan buatan secara langsung dalam “kill chain.”
Ini termasuklah, pembangunan misil jarak jauh dan hipersonik memperlihatkan obsesi Beijing untuk mengekang dominasi Amerika. Varian Dongfeng-26D digelar “Guam Killer” kerana mampu menjejaskan pangkalan utama Amerika di Pasifik.
Misil hipersonik YJ-17 dan YJ-19 pula mampu terbang pantas dengan lintasan sukar diramal, menjadikan sistem pertahanan udara tradisional kurang relevan. Digabungkan dengan dron siluman, kapal selam tanpa pemandu dan sistem satelit yang dibangunkan CASIC, jelas bahawa China sedang membina ekosistem peperangan pelbagai domain yang saling melengkapi.
Dimensi Strategik Malaysia–China
Berdasarkan segala kesungguhan dan kerancakan China dalam membangunkan industri pertahanan tempatannya, tindakan Malaysia melalui Kementerian Pertahanan (MINDEF) untuk bekerjasama dengan negara tersebut adalah sesuatu yang wajar diberikan perhatian.
Langkah ini perlu dibaca sebagai strategi realistik yang bukan sahaja berpijak pada keperluan semasa. Tetapi menjawab kedinamikan rantau ini yang semakin menjadi perhatian.
Beberapa inisiatif untuk menyokong dimensi strategik ini mesti dilonjakkan. Kita telah bermula secara baik melalui lawatan berimpak Mohamed Khaled ke Beijing pada September 2025.
Namun, ia tidak boleh berhenti setakat itu. Lawatan Menteri Pertahanan tersebut mesti dilihat sebagai pemangkin kepada lebih banyak langkah penilaian strategik, khususnya dalam menguji sejauh mana tawaran industri pertahanan China selari dengan keperluan dan kapasiti Malaysia.
Dalam hal ini, DIPN mesti diterjemahkan dengan teratur dan berkesan. Pertemuan Menteri Pertahanan dengan Pengerusi China Aerospace Science and Industry Corporation (CASIC), Chen Ximing, mesti dimanfaatkan sepenuhnya.
Selain membuka ruang kerjasama dalam bidang roket, pertahanan udara, satelit dan teknologi angkasa lepas, ini adalah satu petunjuk keseriusan inovasi industri pertahanan negara.
Ini kerana, CASIC ialah pemain utama dalam ekosistem misil dan teknologi ruang angkasa China dan akses ke ruang ini memberi Malaysia pilihan tambahan yang selama ini didominasi blok Barat.
Pertemuan delegasi MINDEF dengan syarikat yang sinonim dengan kenderaan perisai dan artileri China North Industries Group Corporation (NORINCO) melihat membawa hasil yang jelas.
Ia layak dijadikan rujukan bagi menjawab persoalan persoalan yang lebih substantif seperti sejauh manakah Malaysia mampu menilai kebolehlaksanaan pemindahan teknologi dan pengeluaran bersama agar manfaatnya tidak terhad pada pembelian aset sahaja.
Malah, lawatan Mohamed Khaled ke China Precision Machinery Import-Export Corporation (CPMIEC) adalah suatu langkah strategik yang berpotensi membuka ruang kerjasama dalam bidang misil yang kini dianggap sebagai elemen kritikal dalam keseimbangan kuasa serantau.
Apa yang sedang diusahakan ini boleh dilihat dari tiga rasional utama. Pertama, Malaysia perlu mengimbangi pergantungan agar tidak terikat pada blok tunggal. Diversifikasi rakan strategik menjadi syarat asas dalam dunia multipolar.
Kedua, teknologi yang ditawarkan China lebih bersesuaian dengan keperluan negara, terutama dalam aspek pengawasan domain maritim, rondaan sempadan dan misi udara jarak dekat.
Kos yang lebih rendah serta kemudahan penggunaan menjadikannya pilihan praktikal berbanding aset Barat yang lebih mahal.
Ketiga, pemindahan teknologi mampu memberi limpahan kepada industri tempatan. Universiti, syarikat teknologi dan pusat penyelidikan dapat membina kapasiti sendiri, menjadikan kerjasama pertahanan pelaburan jangka panjang yang memperkukuh daya tahan industri.
Arah ini sejajar dengan kajian separuh penggal Kertas Putih Pertahanan yang menekankan kemandirian melalui Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) serta peranan STRIDE sebagai pemacu penyelidikan dan pembangunan agar teknologi yang diperoleh benar-benar diserap ke dalam ekosistem nasional.
Namun, perlu diakui bahawa pada akhirnya, keberhasilan tetap bergantung pada disiplin pelaksanaan. Setiap kerjasama wajar diikat pada penanda aras pulangan strategik yang terukur seperti modul pemindahan teknologi, latihan tenaga pakar, pembangunan pembekal tempatan dan jaminan sokongan kitar hayat.
Tanpa prasyarat ini, manfaat cenderung mengecil kepada transaksi aset tanpa memberi lonjakan yang diperlukan kepada industri pertahanan tempatan.
** Shah Mohd Akmal Abdul Halim ialah pensyarah di Jabatan Sains Sosial dan Kemanusiaan, Kolej Pendidikan Berterusan (CCEd), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.