Skip to main content

Malaysia

[KOLUMNIS] Polisi ‘daftar dulu, bayar kemudian’ bantu bakal mahasiswa kurang mampu

Sumber: UMT
Universiti Malaysia Terengganu menterjemahkan dasar menyantuni mahasiswa secara praktikal melalui pelbagai inisiatif kebajikan yang dirangka secara menyeluruh bagi memastikan tiada mahasiswanya yang tercicir daripada pendidikan akibat kekangan sosioekonomi. 
Advertisement

PENDIDIKAN tinggi merupakan pemangkin utama mobiliti sosial dan pembangunan modal insan negara. 

Bagi sebahagian besar keluarga di Malaysia, kejayaan seorang anak melangkah ke menara gading bukan sekadar pencapaian akademik, malah menjadi titik perubahan yang mampu mengangkat taraf kehidupan seluruh keluarga. 

Atas sebab itu, akses kepada pendidikan tinggi tidak boleh terhad kepada mereka yang berkemampuan semata-mata, sebaliknya perlu dibuka seluas-luasnya kepada setiap anak Malaysia yang berkelayakan.

Namun begitu, menjelang sesi kemasukan baharu ke institusi pendidikan tinggi, kegusaran yang hebat sering kali melanda para ibu bapa, terutamanya daripada golongan B40 dan miskin tegar. 

Surat tawaran universiti yang berada di tangan anak mereka melambangkan dua emosi yang bertentangan. 

Di satu sudut, ia adalah kunci emas untuk mengubah takdir keluarga, tetapi di sudut yang lain, ia datang bersama bayang-bayang ketakutan tentang bagaimana mahu menyediakan wang ringgit yang besar bagi menjelaskan yuran pendaftaran pada hari pertama. 

Ketakutan inilah yang sering kali menjadi tembok tidak kelihatan sehingga memaksa sesetengah anak muda yang cemerlang mengambil keputusan menyedihkan; menolak atau menangguhkan hasrat melanjutkan pengajian semata-mata kerana kekangan kewangan.

Realiti 'poket kosong' ini tidak seharusnya dibiarkan membunuh impian anak bangsa. 

Pintu universiti sepatutnya menjadi ruang yang menyemai harapan, bukannya tempat yang meminggirkan mereka yang kurang bernasib baik. 

Kekuatan sebenar sesebuah universiti bukan sahaja terletak pada kecemerlangan akademik atau kehebatan penyelidikannya, tetapi pada keupayaannya memastikan tiada mahasiswa yang terpinggir daripada peluang pendidikan hanya kerana kekangan kewangan. 

Universiti yang benar-benar cemerlang ialah institusi yang membuka ruang, menyemai harapan, dan mengiringi setiap mahasiswa sehingga berjaya menggenggam segulung ijazah. 

Membuka pintu universiti hanyalah permulaan, namun memastikan mahasiswa terus kekal dalam sistem pendidikan sehingga bergraduasi merupakan tanggungjawab yang jauh lebih besar.

Menyedari hakikat tersebut, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus memperkukuh komitmen bagi memastikan tiada pelajar yang tercicir daripada pendidikan tinggi hanya kerana kekangan kewangan. 

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berulang kali menegaskan, kesejahteraan mahasiswa merupakan antara keutamaan kementerian dalam membangunkan ekosistem pendidikan tinggi negara. 

Selaras dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035, akses kepada pendidikan tinggi perlu disokong oleh ekosistem kebajikan yang inklusif, mampan dan menyeluruh agar mahasiswa dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pembelajaran serta pembangunan potensi diri. 

Komitmen tersebut diterjemahkan melalui pelbagai inisiatif nasional seperti Bantuan Awal Pendidikan Yayasan Perkasa Siswa, pelaksanaan Dapur Siswa MADANI yang dibiayai menerusi peruntukan RM41 juta oleh Kerajaan MADANI bagi memperkukuh agenda keterjaminan makanan mahasiswa.

Tidak ketinggalan Program MySiswa Job on Campus (MyJOC) yang menerima peruntukan RM20 juta bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan sambilan kepada mahasiswa di kampus.

Dalam konteks ini, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menterjemahkan dasar tersebut secara praktikal melalui pelbagai inisiatif kebajikan yang dirangka secara menyeluruh bagi memastikan tiada mahasiswanya yang tercicir daripada pendidikan akibat kekangan sosioekonomi. 

Bagi memudahkan proses kemasukan ke universiti, UMT mengambil pendekatan progresif dengan membenarkan mahasiswa baharu menjelaskan yuran pengajian secara berperingkat mengikut syarat yang ditetapkan.

Pendekatan ini memberikan ruang kepada ibu bapa dan pelajar untuk mengurus komitmen kewangan dengan lebih teratur tanpa menjejaskan peluang mereka untuk mendaftar dan memulakan pengajian.

Selain menerima Bantuan Awal Pendidikan Yayasan Perkasa Siswa yang diselaraskan oleh KPT, mahasiswa baharu di UMT yang memerlukan turut menerima Bingkas Kasih HEPA, iaitu bantuan awal yuran pengajian yang disediakan oleh universiti bagi meringankan beban kewangan ketika memulakan kehidupan sebagai mahasiswa. 

UMT turut melaksanakan Program Pembangunan Siswa Sulung, khusus kepada anak pertama daripada keluarga B40 yang berjaya melanjutkan pengajian ke universiti. 

Program ini menawarkan pengecualian yuran pengajian sepanjang tempoh pengajian sebagai usaha membuka lebih banyak peluang kepada golongan berpendapatan rendah menikmati pendidikan tinggi. 

Sejak diperkenalkan, program ini telah menunjukkan impak yang positif apabila kira-kira 10 peratus penerimanya berjaya menamatkan pengajian dengan Ijazah Kelas Pertama, sekali gus membuktikan bahawa bantuan yang bersasar mampu menjadi pemangkin kepada kecemerlangan akademik.

Komitmen UMT terhadap kebajikan mahasiswa diteruskan melalui penyediaan Dana Siswa sebagai bantuan sara hidup kepada mahasiswa yang layak. 

Pada masa sama, universiti dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) menyediakan Baucar Makanan Dapo MAIDAM@UMT yang menawarkan bantuan makanan bernilai RM10 sehari kepada mahasiswa yang layak di kafetaria terpilih sepanjang tempoh pengajian. 

Selaras dengan inisiatif KPT, UMT turut melaksanakan Dapur Siswa MADANI melalui Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) bagi memastikan mahasiswa sentiasa mempunyai akses kepada makanan yang berkualiti dan berpatutan, selain memperkenalkan Menu Kasih Siswa sebagai langkah mengawal harga makanan di kampus.

Bagi mahasiswa yang berdepan situasi luar jangka, UMT menyediakan pelbagai bentuk bantuan kecemasan yang merangkumi sokongan kewangan dan kebajikan agar mereka dapat meneruskan pengajian dengan lebih tenang. 

Universiti juga melaksanakan Program MySiswa Job on Campus (MyJOC) yang memberikan peluang kepada mahasiswa untuk menjana pendapatan sekitar RM500 hingga RM700 sebulan sambil memperoleh pengalaman kerja, membentuk nilai profesionalisme, serta meningkatkan kebolehpasaran sebelum melangkah ke alam pekerjaan. 

Peranan UMT tidak terhad kepada penyediaan bantuan dalaman sahaja, malah universiti turut bertindak sebagai pemudah cara dengan mengenal pasti mahasiswa yang layak untuk disalurkan kepada pelbagai agensi penaja seperti Yayasan Pelajaran MARA (YPM), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM), yayasan negeri, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan korporat, serta institusi kebajikan yang menawarkan biasiswa dan bantuan pendidikan.

Pendekatan ini memastikan mahasiswa memperoleh akses kepada pelbagai sumber pembiayaan tanpa bergantung pada satu saluran sahaja.

Pendekatan menyeluruh yang dilaksanakan oleh UMT ini amat selaras dengan Pelan Strategik UMT 2023–2027 yang meletakkan kesejahteraan mahasiswa sebagai antara keutamaan universiti dalam melahirkan graduan yang holistik, berdaya tahan dan berdaya saing. 

Justeru, menjelang sesi kemasukan baharu ke institusi pendidikan tinggi pada September dan Oktober nanti, saya ingin menyeru kepada para ibu bapa, penjaga dan bakal mahasiswa agar tidak menjadikan kekangan kewangan sebagai alasan untuk menangguhkan atau membatalkan hasrat melanjutkan pengajian. 

Hari ini, pelbagai bentuk bantuan telah disediakan oleh KPT, universiti awam, yayasan negeri, agensi kerajaan, badan korporat serta institusi kebajikan bagi memastikan setiap anak Malaysia yang berkelayakan mempunyai peluang yang adil untuk menyambung pengajian.

Penulis juga ingin menggalakkan bakal mahasiswa supaya sentiasa mendapatkan maklumat daripada saluran rasmi universiti dan berhubung dengan pihak HEPA sekiranya menghadapi sebarang kesulitan berkaitan kewangan atau kebajikan.

Jangan beranggapan bahawa masalah tersebut perlu dipikul bersendirian kerana setiap universiti mempunyai mekanisme bantuan yang boleh dimanfaatkan. 

Keberanian untuk tampil mendapatkan bantuan merupakan langkah pertama ke arah kejayaan. 

Sesungguhnya, kebajikan mahasiswa bukan sekadar soal bantuan kewangan tetapi merupakan pelaburan strategik dalam membina modal insan negara. 

Marilah kita bersama-sama memastikan tiada impian yang terhenti di pintu universiti hanya kerana kekangan kewangan, kerana pendidikan tinggi ialah hak, peluang dan harapan yang perlu dipelihara.


  • Fadli Mamat ialah Timbalan Pendaftar Kanan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
  • Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

Must Watch Video

Advertisement