KENYATAAN media oleh Perikatan Nasional yang menggesa agar Malaysia memantau perkembangan geopolitik dan melindungi kepentingan strategik negara mencerminkan satu kebimbangan yang wajar dalam konteks persaingan kuasa besar masa kini. Laluan strategik seperti Selat Melaka sememangnya mempunyai kepentingan yang tinggi dalam perdagangan global dan keselamatan serantau.
Namun begitu, dalam menilai kedudukan Selat Melaka, adalah penting untuk perbahasan ini sentiasa berpijak pada kerangka undang-undang antarabangsa yang jelas serta berasaskan fakta sejarah yang tepat.
Advertisement
Selat Melaka tertakluk kepada peruntukan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS 1982) sebagai selat yang digunakan untuk pelayaran antarabangsa. Di bawah rejim transit passage seperti yang diperuntukkan dalam Bahagian III UNCLOS, semua kapal dan pesawat mempunyai hak laluan berterusan yang tidak boleh digantung. Prinsip ini menjadi asas kepada kestabilan laluan maritim global dan tidak boleh diketepikan oleh mana-mana negara secara unilateral. Dalam masa yang sama, kedaulatan ke atas Selat Melaka kekal di tangan Malaysia, Indonesia dan Singapura sebagai negara pesisir. Negara-negara ini berhak menguatkuasakan undangundang domestik, menjaga keselamatan perairan serta melindungi alam sekitar marin, selagi mana tindakan tersebut tidak menjejaskan hak laluan transit yang dijamin oleh undang-undang antarabangsa.
Kerangka ini memperlihatkan satu keseimbangan yang matang antara kedaulatan negara dan kepentingan komuniti antarabangsa. Selat Melaka bukan ruang tanpa undang-undang, tetapi satu laluan yang diurus berdasarkan prinsip perundangan yang jelas dan dihormati.
Dari sudut sejarah pula, tidak terdapat sebarang rekod sejak zaman Kesultanan Melaka sehingga ke hari ini yang menunjukkan bahawa Selat Melaka pernah ditutup secara rasmi kepada pelayaran antarabangsa. Walaupun laluan ini pernah terganggu akibat konflik bersenjata, termasuk perang serantau seperti Perang Tiga Segi antara Aceh, Johor dan Portugal pada abad ke-16, serta konflik antara Kedah dan Siam pada awal abad ke-19, termasuk juga gangguan semasa Perang Dunia Kedua, keadaan tersebut bersifat sementara dan berpunca daripada faktor keselamatan akibat peperangan. Ia bukanlah penutupan secara undang-undang oleh negara pesisir.
Semasa Perang Dunia Kedua, Selat Melaka berada dalam zon operasi ketenteraan, khususnya selepas pendudukan Jepun di Tanah Melayu dan Singapura pada tahun 1942. Aktiviti perkapalan komersial antarabangsa terganggu dengan ketara akibat risiko serangan dan peperangan, namun tiada pengisytiharan penutupan rasmi dibuat dari sudut undang-undang antarabangsa.
Keadaan ini menunjukkan bahawa keterbukaan Selat Melaka bukan sahaja berpaksikan undang-undang moden, tetapi juga selari dengan amalan sejarah yang telah lama wujud di rantau ini. Selat ini tidak pernah menjadi instrumen tekanan politik oleh negara pesisir, sebaliknya kekal sebagai laluan perdagangan terbuka yang menghubungkan pelbagai tamadun dan ekonomi dunia sejak berabad-abad lamanya.
Selain itu, Malaysia, Indonesia dan Singapura mempunyai hubungan baik dan pragmatik dengan Amerika Syarikat serta komuniti antarabangsa secara keseluruhannya. Dalam keadaan ini, tidak timbul sebarang keperluan untuk mana-mana kuasa luar mencampuri urusan Selat Melaka. Pendekatan ini juga selari dengan semangat ZOPFAN yang menekankan Asia Tenggara sebagai zon aman, bebas dan berkecuali daripada persaingan kuasa besar.
Dalam konteks ini, walaupun Malaysia dan Indonesia (kecuali Singapura) tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel, keadaan tersebut tidak mengubah kedudukan undangundang antarabangsa di Selat Melaka. Ia juga tidak menjadi asas untuk menggesa penglibatan kuasa luar, termasuk Amerika Syarikat, dalam pengurusan selat tersebut. Sebarang penglibatan sedemikian perlu dilihat dalam kerangka undang-undang antarabangsa dan prinsip tidak campur tangan, agar tidak menjejaskan kestabilan serantau. Perdagangan di selat ini terus berjalan secara bebas dan lancar, selaras dengan prinsip dalam UNCLOS serta norma undang-undang antarabangsa kebiasaan yang dihormati secara meluas.
Dalam masa yang sama, keperluan untuk sentiasa berwaspada terhadap perkembangan geopolitik tidak boleh dinafikan. Namun, pendekatan tersebut perlu disandarkan kepada realiti perundangan dan amalan yang telah terbukti berfungsi, agar tidak menimbulkan persepsi yang boleh menjejaskan keyakinan terhadap kestabilan Selat Melaka sebagai laluan perdagangan global.
Secara keseluruhannya, Selat Melaka beroperasi dalam satu sistem yang stabil, berasaskan undang-undang dan kerjasama serantau yang matang. Perbandingan dengan Selat Hormuz tidak mencerminkan perbezaan asas dari segi sejarah, amalan dan kerangka perundangan yang mengawal kedua-dua laluan tersebut.
Selat Melaka bukan Hormuz.
* Prof Madya Dr Mohd Hazmi Mohd Rusli ialah Koordinator, Unit Undang-Undang Antarabangsa (ILU), Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia dan Penyelidik Bersekutu, Asian Institute of International Affairs and Diplomacy (AIIAD), Universiti Utara Malaysia
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.