KUALA LUMPUR: SECARA lazimnya hidup adalah tentang pilihan, jika mahu berjaya harus belajar bersungguh-sungguh, kalau nak senang bekerjalah dengan keras, kalau sakit dapatkan rawatan dan kalau mahu ubah nasib diri rebutlah peluang pendidikan yang tersedia.
Semuanya kedengaran cukup adil kerana sekolah, universiti, hospital dan pekerjaan telah ada, tetapi di sebalik segala pilihan yang kelihatan terbuka itu ada satu soalan yang jarang kita tanyakan, adakah ia bermaksud kita benar-benar mampu memilih?
Bayangkan dua anak muda mendapat tawaran latihan industri tanpa gaji selama enam bulan di Kuala Lumpur, seorang datang daripada keluarga berada yang mampu membayar sewa bilik, makan dan pengangkutan sehingga pengalaman itu akhirnya membawanya kepada pekerjaan lebih baik, manakala seorang lagi datang daripada keluarga yang hidup cukup-cukup makan dan perlu menghantar wang kepada ibu bapanya setiap bulan, maka walaupun kedua-duanya diberikan peluang yang sama di atas kertas, hanya seorang yang benar-benar mempunyai kemampuan untuk memilih peluang tersebut.
Di sinilah perbincangan tentang keadilan sering tersasar kerana kita terlalu biasa menganggap keadilan sudah tercapai apabila pintu dibuka kepada semua, sedangkan kita jarang bertanya siapa sebenarnya mempunyai kasut, tambang, masa dan bekalan untuk sampai ke pintu itu.
Kapital membeli pilihan
Bercakap soal kekayaan maka rumah besar, kereta mewah atau percutian mahal adalah perkara yang sering dibayangkan. Sedangkan fungsi kapital jauh lebih penting ialah ia membeli pilihan, kerana orang yang memiliknya (kapital) boleh meninggalkan pekerjaan yang menindas, menunggu peluang kerja lebih baik, mendapatkan rawatan lebih cepat, mengambil risiko membuka perniagaan atau menanggung kegagalan tanpa seluruh kehidupannya runtuh.
Seorang pekerja yang mempunyai simpanan RM100,000 boleh berkata kepada majikannya, “kalau begini caranya saya berhenti”, tetapi pekerja yang mempunyai RM200 dalam akaun mungkin terpaksa menelan penghinaan yang sama kerana sewa rumah perlu dibayar minggu depan dan susu anak tidak menerima bayaran dalam bentuk prinsip.
Kedua-duanya bebas berhenti kerja di sisi undang-undang, tetapi sesiapa yang mengatakan kedua-duanya mempunyai kebebasan yang sama sebenarnya sedang menyamakan hak untuk memilih dengan kemampuan untuk memilih.
Kapital mempunyai kelebihan yang luar biasa kerana ia mampu membeli pendidikan yang melahirkan kemahiran dan penguasaan bahasa, membuka jaringan sosial yang membawa kepada peluang pekerjaan, menghasilkan pendapatan untuk memperoleh aset, sebelum aset itu kembali menjana kekayaan baharu.
Kelebihan itu akhirnya membentuk satu kitaran, apabila apa yang bermula sebagai kelebihan daripada latar keluarga berupaya diwariskan dan berkembang daripada satu generasi kepada generasi berikutnya.
Ini bukan bermaksud anak miskin ditakdirkan gagal atau anak kaya pasti berjaya kerana manusia tetap mempunyai ikhtiar, disiplin dan bakat, tetapi kalau latar keluarga langsung tidak penting tentunya kita tidak akan melihat fenomena mobiliti sosial sebagai persoalan dasar negara.
Semua boleh belajar, tetapi bolehkah semua memilih pendidikan yang sama?
Kita boleh berkata akses pendidikan diberikan kepada semua kerana seorang anak di keluarga miskin dan seorang anak jutawan sama-sama mempunyai hak untuk bersekolah, malah secara teorinya kedua-duanya boleh bercita-cita memasuki universiti terbaik dunia, tetapi sebelum mereka pun mengisi borang permohonan, seorang mungkin sudah mempunyai bilik sendiri, komputer, kelas tambahan, penguasaan bahasa Inggeris, aktiviti kokurikulum, ibu bapa berpendidikan dan kemampuan berpindah ke mana sahaja peluang membawanya, sementara seorang lagi mungkin belajar di meja makan selepas adik-adiknya tidur dan perlu bekerja sebaik tamat sekolah.
Harvard tidak mempunyai papan tanda yang berbunyi “anak miskin dilarang masuk”, begitu juga universiti terbaik tempatan tidak menutup pintunya berdasarkan baki akaun bank ibu bapa, tetapi keadilan tidak boleh diukur hanya dengan melihat sama ada seseorang dibenarkan berdiri di garisan permulaan kerana persoalan yang lebih besar ialah berapa jauh di belakang atau di hadapan garisan sebenar kehidupan mereka telah bermula.
Malaysia sebenarnya telah mencatat mobiliti mutlak yang besar apabila generasi hari ini secara umumnya lebih berpendidikan, lebih sihat dan menikmati kehidupan yang lebih selesa berbanding generasi ibu bapa mereka.
Namun, laporan Bank Dunia A Fresh Take on Reducing Inequality and Enhancing Mobility in Malaysia mendapati mobiliti relatif masih rendah apabila lebih separuh daripada mereka yang dilahirkan dalam kelompok 20 peratus termiskin cenderung kekal di kelompok terbawah apabila dewasa.
Maknanya, sesebuah negara boleh menjadi semakin maju dan kehidupan rakyat secara keseluruhannya semakin baik, tetapi itu tidak semestinya menjadikan tangga sosial lebih mudah didaki oleh mereka yang bermula dari bawah.
Semua boleh pergi hospital, tetapi hospital mana?
Logik sama berlaku dalam kesihatan kerana kita boleh berkata setiap rakyat mempunyai akses kepada rawatan apabila hospital kerajaan tersedia, tetapi seorang yang mempunyai wang atau perlindungan perubatan boleh mendapatkan pilihan rawatan swasta sementara seorang lagi bergantung sepenuhnya kepada kapasiti sistem awam, maka persoalan keadilan bukan sama ada semua orang mesti mendapat bilik mewah di Gleneagles tetapi sama ada orang yang tidak mempunyai wang masih boleh mendapatkan rawatan berkualiti, selamat dan tepat pada masanya.
Kalau jawapannya ya, kewujudan hospital swasta mahal tidak semestinya satu ketidakadilan kerana orang kaya bebas membeli keselesaan tambahan, tetapi kalau kekurangan kapital menyebabkan seseorang mempunyai pilihan rawatan lebih sempit, menunggu terlalu lama atau akhirnya menanggung risiko kesihatan lebih besar, wang ketika itu tidak lagi sekadar membeli keselesaan tetapi membeli keluasan pilihan terhadap kehidupan.
Ini bukan kebimbangan teori semata-mata kerana Bank Negara Malaysia (BNM) sendiri mengakui bahawa kos lebih tinggi untuk mendapatkan rawatan swasta boleh “mengehadkan pilihan orang ramai” serta meningkatkan ketidaksamaan dalam penyampaian perkhidmatan dan hasil kesihatan.
Dalam erti kata lain, wang bukan sekadar membeli bilik hospital yang lebih selesa atau layanan yang lebih eksklusif, tetapi pada tahap tertentu turut menentukan berapa banyak pilihan yang tersedia apabila seseorang berdepan perkara paling asas dalam kehidupan - kesihatannya sendiri.
Anehnya, kita lebih mudah marah kepada manusia yang lebih miskin
Apabila rumah semakin mahal, hospital sesak, pekerjaan tidak menjanjikan masa depan dan kehidupan terasa seperti sebuah pertandingan mendapatkan sumber yang terhad, manusia mahu mengetahui siapa yang mengambil bahagiannya, lalu apabila terlihat seorang Rohingya berniaga di tepi jalan atau pekerja asing memenuhi sesuatu kawasan, sangat mudah untuk mengatakan “mereka mengambil hak kita” kerana mereka mempunyai wajah yang boleh dilihat sedangkan struktur ekonomi tidak.
Ini tidak bermaksud pelarian atau pendatang tidak boleh melakukan kesalahan, kalau berniaga melanggar undang-undang maka penguatkuasaan perlu dibuat dan kalau melakukan jenayah maka pelakunya perlu dihukum, tetapi sebelum mendakwa sebuah komuniti sedang mengambil alih ekonomi kita ibarat penjajahan migrasi Zionis Yahudi terhadap Palestin, tanyalah terlebih dahulu berapa banyak tanah yang mereka miliki, berapa banyak institusi yang mereka kawal, berapa banyak kapital yang mereka mempunyai akses kepadanya dan sejauh mana mereka mampu menentukan peraturan permainan ekonomi negara.
Realitinya pelarian di Malaysia masih tidak mempunyai akses sah kepada pekerjaan formal dan laporan UNHCR bagi 2025 mencatatkan kadar pengangguran sekitar 31 peratus dalam kalangan pelarian yang dikaji berbanding sekitar tiga peratus pada peringkat nasional, keadaan yang mendorong ramai daripada mereka bergantung kepada sektor tidak formal.
Kita lihat penjaja Rohingya di pasar tetapi gagal melihat struktur pemilikan tanah ketika memandu pulang, tidak nampak siapa mempunyai akses kepada kredit murah, siapa mampu membeli beberapa hartanah ketika orang lain sedang mengumpul deposit rumah pertama, bagaimana kekayaan diwariskan daripada satu generasi kepada generasi berikutnya atau bagaimana modal boleh membeli aset yang kemudiannya menghasilkan lebih banyak modal kerana semua kuasa itu berada dalam geran tanah, pegangan saham, kontrak, hutang dan penyata kewangan.
Maka masyarakat jauh lebih mudah bergaduh dengan manusia yang berada satu atau dua anak tangga di bawah mereka daripada bertanya siapa sebenarnya membina tangga tersebut, siapa menentukan jarak antara setiap anak tangga dan mengapa sesetengah manusia dilahirkan sudah berada beberapa tingkat lebih tinggi.
Di sinilah agamawan perlu masuk lebih jauh
Kita sudah lama mendengar orang miskin disuruh bersabar, anak muda disuruh bekerja keras, pasangan yang bergelut disuruh memperbaiki rumah tangga dan orang kaya digalakkan bersedekah, semuanya nasihat yang baik tetapi agama yang mahu berbicara tentang keadilan tidak boleh berhenti pada akhlak individu apabila masalah yang sama berulang pada begitu ramai manusia.
Kalau seorang pekerja bergaji kecil tidak mempunyai wang pada hujung bulan, kita boleh bertanya sama ada dia boros, tetapi kalau ratusan ribu pekerja mengalami tekanan yang hampir sama maka kita juga perlu mempunyai keberanian untuk bertanya sama ada masalahnya masih sekadar kegagalan peribadi atau sudah melibatkan gaji, kos perumahan, pengangkutan, penjagaan anak, produktiviti dan pembahagian hasil ekonomi.
Kalau ribuan keluarga memerlukan bantuan untuk memenuhi keperluan asas, persoalannya bukan sekadar berapa banyak zakat atau bantuan perlu diberikan tetapi mengapa begitu ramai manusia yang bekerja masih memerlukannya kerana terdapat perbezaan besar antara membantu mangsa sesuatu struktur dengan meneliti struktur yang terus menghasilkan mangsa.
Al-Quran sendiri menyebut dalam Surah al-Hashr ayat 7 supaya harta tidak hanya beredar dalam kalangan orang kaya, maka aneh kalau agama begitu lantang membincangkan bagaimana seorang individu membelanjakan RM100 tetapi kurang berminat membincangkan bagaimana berbilion ringgit kekayaan, aset dan peluang beredar dalam sebuah masyarakat.
Agamawan tidak perlu menjadi ahli ekonomi, ahli sosiologi atau saintis politik untuk membincangkan perkara ini, tetapi sebagaimana seorang faqih perlu mendengar doktor sebelum menentukan hukum terhadap persoalan perubatan yang kompleks, agamawan yang mahu menerangkan kemiskinan dan keruntuhan sosial juga perlu mempunyai kerendahan epistemik untuk mendengar mereka yang mengkaji kelas, kapital, mobiliti sosial, psikologi dan struktur ekonomi.
Adakah semua ini bermaksud orang kaya bersalah?
Tidak, kerana di sinilah kritik terhadap kapitalisme juga boleh menjadi malas apabila semua masalah masyarakat akhirnya disumbat ke dalam satu kotak bernama kapital dan semua orang kaya dianggap penindas.
Kapital diperlukan untuk membuka kilang, membina hospital, menghasilkan teknologi, mengembangkan syarikat dan mencipta pekerjaan, malah dua orang yang menerima peluang sama juga boleh berakhir di tempat berlainan kerana disiplin, keputusan, bakat dan nasib yang berbeza, maka ketidaksamaan outcome tidak dengan sendirinya membuktikan ketidakadilan.
Begitu juga hospital kerajaan yang sesak tidak semestinya membuktikan kerakusan kapital kerana masalah itu mungkin turut berpunca daripada kekurangan doktor dan pakar, peningkatan permintaan, populasi yang semakin berusia, produktiviti, pembiayaan atau kelemahan pentadbiran, justeru analisis struktur yang baik tidak boleh menggantikan satu kambing hitam bernama pendatang dengan kambing hitam baharu bernama orang kaya.
Persoalannya bukan sama ada kekayaan harus dihapuskan tetapi berapa banyak kuasa terhadap kehidupan manusia lain yang patut boleh dibeli oleh kekayaan.
Mungkin inilah cara meredakan politik identiti
Apabila hospital, rumah, pendidikan dan pekerjaan dirasakan seperti barang rebutan, politik mudah berubah menjadi pertandingan menentukan siapa layak mendapat lebih berdasarkan bangsa, agama, kewarganegaraan atau asal-usul kerana manusia yang takut kehilangan keperluan asas jauh lebih mudah diyakinkan bahawa kesusahannya berpunca daripada kelompok lain yang mendapat bahagiannya.
Tetapi bayangkan sebuah negara yang mempunyai lantai sosial cukup kukuh sehingga sekolah kerajaan cukup baik untuk dipilih kelas menengah, hospital awam cukup baik sehingga rakyat tidak menganggap rawatan swasta sebagai satu-satunya jalan kepada ketenangan, pengangkutan awam membolehkan seseorang bekerja tanpa diwajibkan memiliki kereta dan kehilangan pekerjaan tidak terus menjatuhkan sebuah keluarga ke dalam kemiskinan, selepas lantai itu tersedia bantuan tambahan boleh diberikan berdasarkan siapa yang benar-benar mempunyai keperluan lebih besar.
Politik identiti tidak akan hilang kerana identiti, sejarah dan diskriminasi memang mempunyai realiti tersendiri, tetapi sekurang-kurangnya kita mengurangkan keadaan material yang membuat rakyat sentiasa takut bahawa kemajuan seorang jiran bermaksud kehilangan sesuatu daripada dirinya.
Apakah sebenarnya ukuran sebuah masyarakat yang adil?
Kalau saya lahir dalam keluarga jutawan dan anda lahir dalam keluarga miskin, negara tidak perlu memastikan kita akhirnya mempunyai pendapatan, rumah atau kereta yang sama kerana itu bukan keadilan tetapi penyeragaman kehidupan.
Namun sebuah negara yang berani menggelarkan dirinya adil sepatutnya sanggup menjawab satu ujian yang jauh lebih sukar iaitu kalau kita hanya mengetahui pendapatan, pendidikan dan kekayaan ibu bapa seorang bayi yang lahir hari ini, sejauh mana kita sudah boleh meramalkan pendidikan, kesihatan, pekerjaan dan kedudukan ekonominya apabila berumur 30 tahun nanti?
Kalau jawapannya “sangat jauh”, maka kita mempunyai masalah yang tidak boleh diselesaikan dengan slogan bahawa semua orang sudah diberikan peluang, malah Bank Dunia sendiri mengingatkan bahawa peluang di Malaysia mula berbeza sejak awal kehidupan dan mengesyorkan intervensi awal, pendidikan berkualiti, perlindungan sosial, pelaburan kesihatan serta dasar yang menangani ketidaksamaan wilayah untuk meningkatkan mobiliti.
Keadilan akhirnya bukan bermaksud memastikan anak orang miskin dan anak jutawan berakhir di tempat yang sama, tetapi memastikan sebab anak orang miskin tidak sampai ke tempat yang diingininya bukan semata-mata kerana dia dilahirkan miskin.
Kerana mungkin selama ini kita salah memahami kemiskinan apabila menganggap masalah terbesar orang tanpa kapital ialah mereka tidak mampu membeli sebanyak orang kaya, sedangkan masalah yang lebih besar ialah mereka tidak mampu memilih sebanyak orang kaya.
Dan mungkin soalan paling jujur yang boleh kita tanyakan kepada sebuah negara bukan lagi “adakah peluang sudah diberikan kepada semua?”, tetapi berapa banyak nasib seorang manusia masih boleh diramalkan hanya dengan mengetahui siapa dan apakah status kewangan ibu bapanya?
* Penulis ialah wartawan Astro AWANI yang melihat dunia melalui lensa kamera ketika berada di lapangan, dengan tekad untuk terus belajar daripada setiap insan yang mengisi kehidupan ini.
** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan bidangnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.