KUALA LUMPUR: Kompetensi guru pelatih merupakan elemen penting dan strategik dalam latihan perguruan sebelum mereka bergelar guru sebenar di sekolah ditetapkan.

Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia (Kementerian Pendidikan Malaysia) Rosli Yacob memaklumkan untuk menjamin kualiti berterusan, pendidikan dan latihan perguruan diperuntukkan bagi guru pelatih untuk menguasai pembelajaran pedagogi secara teori dan amali.

“Di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPG), sebuah program Bina Insan Guru (BIG) dijalankan sebelum masing-masing bertugas di sekolah ditetapkan, kita sentiasa menekankan kepada elemen bukan sahaja pengetahuan malah kemahiran yang juga merangkumi aspek kerohanian, kesejahteraan diri dan jasmani.

“Penting untuk mereka melibatkan diri dengan program mendekati komuniti atau masyarakat. Sebagai guru, kita tak boleh asingkan diri dengan masyarakat kerana mereka mengharapkan bantuan dari para guru mendidik anak-anak mereka.

“Menerusi program BIG, bakal guru diberi latihan secukupnya sebagai persiapan bagaimana untuk berdepan sekiranya berlaku masalah di sekolah nanti. Yang paling utama, penting untuk membina kesejahteraan bakal guru terutama melibatkan emosi,” katanya kepada Astro AWANI.

Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Rangin, Kuantan, Puan Hanita Kassim.

Sementara itu, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Rangin, Kuantan, Hanita Kassim memaklumkan, bagi mendepani cabaran mengajar ketika ini, semua pihak perlu berganding bahu memahami peranan masing-masing dalam mendidik murid secara seimbang.

“Sebagai seorang pengetua, saya akan pastikan, para guru lebih bersedia sebelum menerima kehadiran pelajar dalam bilik darjah.

“Atas sebab itu juga, saya selalu ingatkan para guru untuk mewujudkan suasana yang bebas dari tekanan sekali gus memberi keseronokan kepada dua pihak, guru dan pelajar.

“Contohnya usaha kecil meletakkan penapis air di pantri, memastikan kemudahan sentiasa berada dalam keadaan baik mungkin dapat memberi sedikit senyuman di hati mereka,” katanya.

Terdahulu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan 10 prakarsa dalam usaha memperkasakan lagi aspek kebajikan golongan pendidik di negara ini termasuk menjaga kebajikan guru dengan penambahbaikan Standard Guru Malaysia 2.0 selain memperkukuh kerjasama bersama rakan strategik dengan menyediakan peluang merehatkan minda melalui Program Cuti-cuti Cikgu Mampu Milik.