KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi jaminan bekalan barangan keperluan menjelang Aidilfitri mencukupi meskipun dunia berdepan ketidaktentuan susulan konflik di Asia Barat.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata orang ramai tidak perlu melakukan pembelian panik kerana kerajaan telah membuat pemantauan awal bersama agensi berkaitan serta pemain industri.
Advertisement
Menurut beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah mengarahkan setiap kementerian mengambil tindakan berdasarkan bidang kuasa masing-masing serta menyediakan unjuran dan pelan kontigensi.
“Perdana Menteri telah memberikan arahan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu minggu lepas agar setiap kementerian bertindak berdasarkan bidang kuasa masing-masing.
“Pertama, melaksanakan pemantauan segera. Kedua, menyediakan unjuran dalam jangka masa segera, sederhana dan panjang,” katanya dalam sidang media pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) di ibu negara pada Selasa.
Pada masa sama, Armizan menegaskan KPDN akan terus memantau bekalan di pasaran bagi memastikan tiada gangguan sepanjang musim perayaan.
“Jangan khuatir dan tidak perlu ada pembelian panik untuk perayaan ini. Bekalan dalam negara adalah mencukupi. Kita telah membuat persiapan awal bersama Kementerian Pertanian serta pemborong, pengeluar dan peruncit,” katanya lagi.
Beliau menambah, bekalan yang disediakan bukan sahaja bagi menampung keperluan pada hari pertama Aidilfitri, malah mengambil kira tempoh sambutan yang lazimnya berlanjutan sehingga sebulan melalui penganjuran rumah terbuka.