MALAYSIA
Konflik Iran-Israel: Rakyat Malaysia selamat dibawa keluar, dijangka tiba malam ini

Wisma Putra sebelum ini memaklumkan jumlah rakyat Malaysia di Iran adalah kecil dan terdiri daripada kakitangan kedutaan, pelajar dan pelancong . - Foto fail/AP
KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia yang berada di Iran dilapor telah selamat dibawa keluar dari negara tersebut, hari ini.
Sumber memaklumkan kepada Astro AWANI bahawa kesemua mereka kini dalam perjalanan pulang ke tanah air dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 1, malam ini.
Sumber tersebut menambah proses membawa pulang rakyat Malaysia ini telah dilaksanakan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Tehran dengan koordinasi bersama kedutaan-kedutaan terlibat.
Pada Sabtu, Kementerian Luar telah mengarahkan semua rakyat Malaysia yang berada di Iran untuk meninggalkan negara itu.Menterinya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata pihak Wisma Putra telah menguruskan pengangkutan darat untuk semua rakyat Malaysia menuju ke Ashgabat, Turkmenistan.
"Lantaran tiada sebarang penerbangan dibenarkan melalui Iran pada ketika ini, kita telah siapkan kenderaan untuk mereka melalui jalan darat pergi ke tempat paling dekat.
"Perjalanan sejauh 950 kilometer (km) dianggarkan 13 jam kerana perjalanan ke sana perlu merentasi banjaran dan sebagainya," katanya menerusi satu perkongsian video kepada Astro AWANI.
Wisma Putra sebelum ini memaklumkan jumlah rakyat Malaysia di Iran adalah kecil dan terdiri daripada kakitangan kedutaan, pelajar dan pelancong, dengan semua persiapan termasuk visa telah dimuktamadkan
Astro AWANI sedang mendapatkan pengesahan dan perkembangan lanjut daripada Kementerian Luar berhubung proses pemindahan rakyat Malaysia.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami