MALAYSIA
Konflik Israel-Iran: Malaysia tegas pertahan Iran, walaupun ada negara Islam lain tidak berani - PM Anwar

Tidak banyak negara Islam yang berani menyatakan pendirian secara terbuka kerana Iran sedang menerima tekanan hebat daripada negara-negara Barat yang menyokong Israel, khususnya Amerika Syarikat, kata Perdana Menteri Anwar.
KUALA LUMPUR: Malaysia mengambil pendirian bahawa Iran berhak menyerang kembali rejim Zionis Israel, biarpun ada kemungkinan ia tidak disenangi negara-negara Barat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau sendiri mengambil inisiatif untuk menghubungi Presiden Iran, Masoud Pezeshkian untuk menyatakan sokongan Malaysia pada bulan lepas, selepas negara itu diserang Israel.
Tegasnya lagi, tidak banyak negara Islam yang berani menyatakan pendirian secara terbuka kerana Iran sedang menerima tekanan hebat daripada negara-negara Barat yang menyokong Israel, khususnya Amerika Syarikat (AS).
“Dan saya tekankan sebentar tadi termasuk bicara dengan presiden Iran, yang seramainya tak ramai termasuk negara-negara negara islam yang berani bicara, kerana kontroversi dan tekanan iran hadapi dari negara barat, termasuk AS.“Tapi kita terpaksa lakukan kerana iran dizalimi dalam kes ini, dan Iran bagi kita berhak serang balas terhadap kezaliman Israel. J
"adi Israel satu satu negara pengganas dalam dunia nampak terus melakukan jenayah, genosid tanpa disekat dunia, kerana didukung beberapa negara barat termasuk AS,” tegasnya lagi ketika menjawab soalan tambahan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) sewaktu sidang Dewan Rakyat, di sini, pada Selasa.
Mohd Sany ingin mengetahui pendirian kerajaan terhadap sikap negara-negara besar, khususnya di dunia Arab yang seolah-olah ‘berpeluk tubuh’ melihat kekejaman Israel di Asia Barat.
Menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq, Perdana Menteri berkata, kerajaan mengambil maklum tentang risiko yang bakal dihadapi kerana terlalu lantang, khususnya dalam keadaan Malaysia masih berunding dengan Amerika Syarikat berkenaan isu tarif.
Biarpun kerajaan masih berharap agar rundingan dapat menghasilkan keputusan yang baik untuk negara, namun Anwar berkata, Malaysia sama sekali tidak akan bertolak ansur terhadap kekejaman yang dilakukan oleh rejim Zionis.
“Kita harap dapat (rundingan) diselesaikan dengan baik … tetapi apa pun kesan, apa pun rungutan atau bantahan mereka, isu Palestin dan Gaza, hubungan dengan Iran tidak akan mengubah (pendirian) kita sebagai negara yang tegas,” katanya lagi.
Sebelum ini Perdana Menteri berkata, Malaysia masih mempunyai ruang untuk rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) berhubung tarif 25 peratus yang dikenakan kepada negara ini.
Beliau berkata, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio dalam pertemuan mereka sewaktu sidang Menteri-menteri Luar ASEAN di Kuala Lumpur awal bulan ini, memaklumkan bahawa surat berkenaan penetapan tarif import 25 peratus kepada Malaysia adalah surat umum dan masih ada ruang untuk rundingan.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami