KONFLIK kerja-keluarga menjadi salah satu sumber stress dalam masyarakat moden dewasa ini.

Dengan pengertian yang mudah, konflik kerja-keluarga merujuk kepada cabaran untuk memenuhi tanggungjawab dalam kerjaya dan keluarga dalam sesuatu masa.

Konflik ini berlaku terutamanya disebabkan oleh perubahan struktur demografi di tempat kerja dan corak institusi kekeluargaan.

Jika diperincikan lagi, penglibatan wanita secara aktif dalam tenaga kerja merupakan salah satu faktor penyumbang kepada timbulnya isu ini.

Selain dari itu, peningkatan bilangan keluarga yang terdiri dari ibu atau bapa tunggal serta keperluan kepada penjagaan golongan warga tua merupakan faktor-faktor yang boleh menimbulkan konflik kerja-keluarga.

Tuntutan dan intensiti kerja yang semakin meningkat, mungkin menyebabkan individu mempunyai tenaga dan waktu yang terbatas untuk menguruskan hal ehwal keluarga.

Ditambah pula dengan faktor persekitaran organisasi di tempat kerja yang tidak banyak berubah bagi memenuhi keperluan pekerja dalam menangani isu ini.

Konflik kerja-keluarga bermula dari hipotesis kekurangan ‘scarcity hypothesis’ yang menganggap penglibatan dalam pelbagai peranan akan menghadkan sumber tenaga dan masa yang ada, yang seterusnya jika ianya berlarutan dan tidak ditangani dengan bijak akan menyebabkan gejala ketegangan seperti kebimbangan dan mood yang negatif.

Banyak penyelidikan menunjukkan bahawa konflik memberi kesan buruk kepada individu, keluarga, dan organisasi.

Salah satu fokus penting dalam kajian konflik kerja-keluarga ialah melibatkan aspek kesihatan mental dan penyakit fizikal.

Secara keseluruhannya, kajian-kajian empirikal telah menunjukkan beberapa bukti yang konsisten tentang implikasi negatif konflik kerja-keluarga kepada penyakit fizikal dan kesihatan mental.

Jika dilihat dari aspek perubahan fisiologi, stres seperti konflik kerja-kerjaya memberikan kesan sistemik terhadap seluruh badan.

Stres juga memberikan kesan tertentu pada sistem badan individu seperti sistem endokrina, sistem saraf, imun, dan kardiovaskular.

Sistem endokrina merupakan rangkaian kelenjar yang merembeskan hormon seperti kortisol dan ‘catecholamines’ yang bertindak balas terhadap stres.

Tahap ‘catecholamine’yang tinggi dan kronik dikaitkan dengan perubahan patologi dalam kardiovaskular serta sel-sel imun.

Seterusnya, pengaktifan sistem endokrin yang berlebihan dan kronik telah dikaitkan dengan pelbagai masalah kesihatan, termasuk obesiti, diabetes, dyslipidemia, dan tekanan darah tinggi dan masalah usus.

Selain memberikan kesan langsung kepada kesihatan fizikal, tindakbalas secara fisiologi dan psikologi terhadap kewujudan konflik juga boleh mempengaruhi tingkah laku yang mempengaruhi kesihatan seseorang.

Berdasarkan ‘scarcity approach’, kesibukan seseorang dalam memenuhi tuntutan kerja dan keperluan keluarga merupakan kekangan utama untuk memilih gaya hidup yang lebih sihat disebabkan oleh faktor kekurangan masa dan keletihan.

Konflik yang tinggi dan kronik boleh meningkatkan kecenderungan seseorang untuk mengambil diet yang kurang sihat, kurang melakukan aktiviti fizikal, tabiat merokok serta pengambilan alkohol yang berlebihan.

Secara tidak langsung, perubahan gaya hidup yang tidak sihat ini boleh menyumbang kepada pelbagai penyakit kronik dan masalah kesihatan lain seperti berat badan berlebihan dan obesiti.

Ringkasnya, isu berkaitan dengan konflik ini tidak boleh dipandang ringan oleh semua pihak kerana indikator kepada kesihatan mental dalam kajian kerja-keluarga menjelaskan bahawa kesihatan mental adalah sangat sensitif kepada perubahan dalam pengalaman berkaitan dengan kerja-keluarga walaupun dalam jumlah yang minima.

Ianya boleh menjadi satu aspek etiologi multi-faktorial kepada gangguan mental.

Beringat dan berpadalah di dalam menjalani kehidupan seharian di tempat kerja dan di rumah. Sentiasa sayangi orang yang kita sayang termasuk diri kita. 

Carilah  ruang dan kemudahan bagi menjalani gaya hidup yang lebih sihat.



* Prof Madya Dr Madihah Mohamad Syukri merupakan penysarah kanan di Jabatan Psikologi dan Kaunseling, Universiti Malaysia Terengganu.

** Artikel ini adalah daripada pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.