SHAH ALAM: Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) menyambut baik kesediaan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary melalui syarikat Padiberas Nasional Berhad (Bernas) yang memperuntukkan sejumlah RM60 juta kepada pesawah kurang berkemampuan dan dikategorikan sebagai pesawah miskin.

Timbalan Ketuanya, Razak Ridzuan berkata, tindakan itu wajar dicontohi oleh konglomerat lain.

"Pemuda Amanah Nasional sangat mengalu-alukan pemuafakatan antara Kerajaan Perpaduan dan Bernas dalam suasana yang harmoni demi kesejahteraan semua pihak.

"Kami juga ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih atas teladan yang baik ditunjukkan Tan Sri Syed Mokhtar dan langkah ini wajar dicontohi oleh konglomerat besar lain," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Kerajaan Persekutuan mengarahkan Bernas menyalurkan peruntukan RM10 juta kepada pesawah miskin bulan ini dan RM50 juta tahun hadapan.

Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hasil rundingan bersama Syed Mokhtar susulan teguran beliau berhubung permasalahan monopoli import beras di negara ini.

Anwar juga menegaskan rundingan berkenaan bukan bertujuan merobohkan empayar perniagaan Syed Mokhtar seperti yang didakwa sesetengah pihak, sebaliknya ia dilakukan untuk kepentingan rakyat dan pesawah miskin termasuk di Kedah. - Sinar Harian