SYARIKAT konsesi lebuh raya terbesar negara, PLUS Malaysia komited untuk memastikan penggunanya sentiasa di dalam keadaan selamat dan selesa.

Dengan purata trafik harian yang mencecah sehingga 1.7 juta kenderaan, matlamat tersebut mampu dicapai berdasarkan rangka kerja berkonsepkan 3E iaitu ‘Engineering’ (Kejuruteraan), ‘Education’ (Pendidikan), dan ‘Enforcement’ (Penguatkuasaan).

PLUS memanfaatkan teknologi dron dalam meramal keadaan cerun buatan manusia dan paras air sungai di sepanjang lebuh raya PLUS dengan pengumpulan data, analisis dan laporan, mengesan serta memudahkan pengenalpastian kerosakan turapan jalan raya.

PLUS turut menaik taraf infrastrukturnya mengikut teknologi terkini seperti pemasangan lampu jalan LED, penanda jalan yang lebih jelas, penghadang jalan lebih kukuh, sistem kamera litar tertutup (CCTV) dengan keupayaan kecerdasan buatan (AI) untuk pemantauan, serta kenderaan keselamatan dipasang TMA (Truck-Mounted Attenuator).

Teknologi aplikasi mudah alih terbina dipasang di semua kenderaan PLUSRonda bagi membolehkan PLUSRonda siap siaga dan sedia 24 jam, tujuh hari seminggu untuk membantu mereka yang memerlukan dalam apa jua keadaan di sepanjang jajaran lebuh raya PLUS.

PLUSRonda sedia siaga 24 sehari, 7 hari seminggu.

Bagi aspek Pendidikan, adalah penting untuk melahirkan masyarakat yang berpengetahuan dan waspada tentang keselamatan kendiri apabila berada di jalan raya.

‘Respek Had Anda’ merupakan antara kempen keselamatan yang dianjurkan, bersama pelbagai program berteraskan komuniti, ceramah keselamatan jalan raya serta sebaran maklumat serta peringatan menerusi media sosial.

Untuk melengkapkan Rangka Kerja 3E, PLUS bekerjasama dan memberi sokongan penuh kepada pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ), dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) serta agensi-agensi lain berkaitan.

Mereka terlibat secara bersepadu dalam pelbagai operasi seperti Ops Rempit, Ops Bersepadu, Ops Emergency Lane, Ops Lejang, dan Ops Halangan untuk memastikan kelancaran serta kejayaannya.

Rangka kerja keselamatan jalan raya 3E PLUS ini diselaraskan dengan Pelan Keselamatan Jalan Raya 2022-2030 (MRSP 2022-2030) yang berhasrat memacu inisiatif keselamatan jalan raya di semua peringkat masyarakat bagi mencapai pengurangan kemalangan maut sebanyak 50 peratus menjelang 2030.

Sebagai syarikat konsesi lebuh raya yang terbesar di Malaysia, misi utama PLUS adalah menghubungkan komuniti untuk membentuk masa depan yang selamat dan lestari.

Untuk maklumat lanjut, layari https://www.plus.com.my.