Konstabel polis mengaku tidak bersalah tipu wanita selesai saman PDRM

Awang Azizan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini atas pertuduhan menipu seorang wanita berkaitan urusan penyelesaian saman PDRM pada 2024. - Foto Astro AWANI
BUTTERWORTH: Seorang anggota polis berpangkat konstabel didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menipu seorang wanita berkaitan urusan penyelesaian saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) dua tahun lepas.
Tertuduh, Awang Azizan Awang Jana, 44 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Zulhasmi Abdullah.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menipu seorang wanita berusia 53 tahun, kononnya dia boleh menyelesaikan empat saman PDRM berjumlah RM850 milik adiknya berusia 49 tahun dengan bayaran RM620.
Perbuatan itu mendorong wanita berkenaan membuat pindahan wang berjumlah RM620 ke akaun Bank Islam milik tertuduh sedangkan perkara itu diketahui tidak benar.
Kesalahan itu didakwa di lakukan di Maybank Cawangan Nibong Tebal, di Seberang Perai Selatan pada 12 Jun 2024.
Awang Azizan didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Noor Azura Zulkiflee manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Semasa prosiding, Noor Azura menawarkan jaminan sebanyak RM4,000 serta syarat tambahan namun tertuduh memohon agar rayuan terhadapnya dikurangkan dengan alasan perlu menyara isteri, tiga orang anak dan adik yang menghidap kanser.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin serta perlu melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Kes akan disebut semula pada 9 Feb depan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


