PUTRAJAYA: Kementerian Luar melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, memantau rapat perkembangan berikutan beberapa serangan kebakaran yang berlaku di Pattani, Yala dan Narathiwat, pada awal pagi Jumaat.

Kementerian itu dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata berdasarkan laporan terkini, tiada rakyat Malaysia dilaporkan terlibat atau terjejas kerana insiden berkenaan.

"Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla sedang giat menyelaras usaha dengan pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan maklumat lanjut," menurut kenyataan itu.

Ia juga mengingatkan rakyat Malaysia di kawasan terjejas agar berwaspada dan berhati-hati dan mengikuti perkembangan terkini serta nasihat yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular atau mempunyai sebarang pertanyaan lanjut dinasihatkan untuk menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla di No 4, Sukhum Road, Tambon Boryang Muang District Songkhla 90000 Thailand, atau hubungi talian +(6674) 316 274 / +(6693) 6570707 atau e-mel, [email protected].

Bernama pada 22 Mac melaporkan Komander Wilayah Tentera Darat Keempat, Lt Jen Santi Sakuntanark berkata sekurang-kurangnya 30 serangan kebakaran dilaporkan di tiga wilayah itu menyasarkan kedai serbaneka 7-Eleven, kedai, menara sel, kamera litar tertutup (CCTV) dan kenderaan.

-- BERNAMA