SERENDAH: UMW Holdings Bhd memperoleh kontrak kedua bernilai RM1 bilion daripada syarikat aeroangkasa Rolls-Royce Holdings selepas kontrak pertama diperoleh pada lapan tahun lepas.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kontrak terbaharu itu adalah bagi mengeluarkan selongsong kipas bagi enjin pesawat Trent 1000 dan Trent 7000 milik syarikat British itu.

Menurutnya, UMW Aerospace Sdn Bhd akan melabur sehingga RM65 juta untuk membina kilang baharu yang akan digunakan untuk menghasilkan komponen berkenaan.

Tambah beliau, penganugerahan kontrak itu adalah bukti syarikat global menganggap landskap perindustrian Malaysia adalah stabil dan kondusif untuk rantaian bekalan global mereka.

“Kita kini menyedari betapa pentingnya industri ini. Impak berganda jauh lebih besar daripada industri lain. Kita juga mempunyai kelebihan daya saing dalam sektor ini dan itulah sebabnya kita dapat melihat pertumbuhan dalam industri ini.

“Sudah tentu kita adalah sebahagian daripada rantaian bekalan yang penting pada hari ini tetapi ini tidak mungkin dicapai jika tidak kerana kerja keras antara kerajaan dan sektor swasta dalam merealisasikan peluang ini.

“Saya rasa apa yang penting ialah kita memahami keseluruhan ekosistem dalam industri aeroangkasa kerana keseluruhan rantaian bekalan, semasa kita membina satu komponen rantaian bekalan, (kontrak) komponen lain akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Membuat Lawatan Kerja Ke UMW Aerospace Sdn Bhd di sini pada Isnin.

Tambah Tengku Zafrul, kontrak baharu itu juga selaras dengan aspirasi pelaburan nasional kerajaan yang mengenal pasti aeroangkasa sebagai satu daripada lima sektor sasaran utama untuk meningkatkan profil perindustrian Malaysia.

Jelasnya, ia juga memudahkan proses pemindahan teknologi dan pengetahuan, menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan serta mewujudkan lebih banyak pekerjaan bergaji tinggi untuk rakyat Malaysia.

“Saya mengucapkan tahniah kepada UMW Aerospace kerana memperoleh kontrak utama kedua daripada Rolls-Royce dalam tempoh lapan tahun.

“Wajar juga untuk ambil perhatian bahawa UMW Aerospace akan menjadi syarikat pertama di Asia Tenggara yang membangunkan keupayaan pengilangan kimia untuk industri aeroangkasa, sekali gus mengukuhkan ekosistem aeroangkasa Malaysia,” katanya.