KUALA LUMPUR:Kontraktor yang didapati ingkar prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mencegah penularan COVID-19 boleh diambil tindakan termasuk dibatalkan pendaftaran.

Demikian tegas Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Datuk Ir Ahmad Asri Abdul Hamid dalam satu kenyataan pada Selasa.

"Jika projek pembinaan didapati tidak mematuhi SOP, kontraktor berkenaan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 34B(1)(c) dan Seksyen 34C (a) Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia 1994 (Akta 520), yang mewajib pihak kontraktor memastikan keselamatan bangunan dan kerja pembinaan samada semasa atau selepas pembinaan.

"Antara tindakan yang boleh diambil oleh CIDB sekiranya pihak kontraktor gagal mematuhi SOP yang ditetapkan adalah mengeluarkan arahan berhenti kerja terhadap tapak bina tersebut," jelas kenyataan itu.

Kontraktor juga jelas CIDB boleh diambil tindakan tataterbit yang membawa kepada penalti dan pendaftaran mereka boleh digantung atau dibatalkan.

Sehingga kini, sebanyak 4,000 kes positif dikesan melibatkan pekerja di tapak pembinaan di negara ini.

Justeru, penggiat industri pembinaan jelas CIDB, digesa agar mematuhi arahan semasa dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mencegah penularan kes COVID-19 di tapak pembinaan.

"CIDB memandang berat situasi ini kerana ia satu perkara yang amat membimbangkan.

"Justeru itu, kami ingin menekankan bahawa semua kontraktor mempunyai tanggungjawab untuk memastikan tapak pembinaan dan penempatan mereka mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)," jelasnya lagi dalam kenyataan itu.

Sehingga 17 Disember, penguatkuasa CIDB telah menjalankan 13,977 pemeriksaan melibatkan 7,996 tapak pembinaan di sleuruh negara.

Daripada jumlah itu, sebanyak 7,840 bersamaan 98 peratus telah mula beroperasi, manakala 158 bersamaan dua peratus tidak beroperasi.

"Daripada jumlah tapak yang telah beroperasi, sebanyak 7,522 bersaman 96 peratus didapati mematuhi SOP, manakala 318 bersamaan empat peratus tidak mematuhi SOP," katanya lagi.

Selain SOP ditetapkan MKN, kontraktor juga digesa mematuhi Akta Standard Minimun Perumahan dan Kemudahan Pekerja (Pindaan) 2019 (Akta 446) dalam menyediakan tempat tinggal dan kemudahan kepada pekerja.

Ia bagi memastikan langkah mencegah penularan wabak COVID-19 dapat diamalkan, sekali gus mengelakkan kerugian kepada kontraktor dalam jangka masa panjang.