Semua syarikat perkhidmatan kontraktor kawalan keselamatan sekolah telah mendapat bayaran sehingga Jun melainkan syarikat yang mempunyai masalah dokumentasi dan yang belum membuat tuntutan.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Pendidikan menjelaskan bahawa sebahagian syarikat juga telah dibayar tuntutan bulan Ogos lalu berdasarkan kesempurnaan tuntutan yang dibuat.

Ia berkata bayaran juga telah dibuat bagi kontraktor pembekal bekalan makanan bermasak serta kontraktor kebersihan bangunan dan kawasan iaitu sehingga bulan Ogos, bagi yang membuat tuntutan dengan dokumentasi yang lengkap.

"Perbincangan lanjut akan diadakan dengan Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM) mengenai isu pembayaran ini dan juga dari aspek kualiti perkhidmatan syarikat keselamatan, isu ketiadaan Sijil Lulus Tapisan Keselamatan dan keperluan kursus Certified Security Guard (CSG).

"Perbincangan tersebut juga perlu diadakan untuk mengesahkan sejauh mana benarnya syarikat-syarikat yang dikatakan tidak mendapat bayaran sejak enam bulan yang lalu dan sebab-sebabnya," katanya.

Kenyataan itu berkata Kementerian Pendidikan bersama-sama Kementerian Kewangan (MoF) akan memastikan bayaran dibuat ke atas tuntutan-tuntutan yang dikemukakan oleh kontraktor yang telah membekalkan perkhidmatan masing-masing.

Pada 14 September, Dewan Perniagaan Usahawan Kecil Malaysia (DPUKM) mendakwa kerajaan tidak membayar kos perkhidmatan kontraktor kawalan keselamatan sekolah seluruh negara bagi tempoh enam bulan lalu, yang dianggarkan berjumlah melebihi RM100 juta.

Kementerian Pendidikan berkata pihak kementerian dan MoF telah pun mengadakan perbincangan dengan PPKKM pada 6 September lalu.

"Justeru, tindakan susulan sedang diambil oleh Kerajaan dalam menangani isu-isu berbangkit.

"Di samping itu, isu-isu yang perlu melibatkan perbincangan lanjut dengan agensi-agensi lain yang berkaitan juga dalam tindakan Kementerian Pendidikan. Ini termasuklah mengadakan pertemuan susulan dengan PPKKM," katanya.

Kini terdapat 300 syarikat pembekal kawalan keselamatan bagi sekolah-sekolah di seluruh negara.

-- BERNAMA