Skip to main content

Malaysia

Kontraktor, syarikat utiliti wajib dapat permit JKR sebelum gali jalan - Exco Perak

Mohammad Nizar (kanan) menerima cenderahati daripada Zamri selepas merasmikan Program Sesi Town Hall JKR Perak Bersama KUDR dan syarikat utiliti di sebuah hotel di sini pada Selasa. -- SINAR HARIAN
Mohammad Nizar (kanan) menerima cenderahati daripada Zamri selepas merasmikan Program Sesi Town Hall JKR Perak Bersama KUDR dan syarikat utiliti di sebuah hotel pada Selasa. - Gambar Sinar Harian
Advertisement

IPOH: Semua syarikat utiliti dan kontraktor di Perak wajib mendapatkan permit Jabatan Kerja Raya (JKR) sebelum sebarang kerja penggalian di rizab jalan raya, kata Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin. 

Beliau berkata syarat itu terpakai bagi semua kerja pemasangan atau pembaikan saluran paip air dan gas, kabel elektrik serta telekomunikasi bertujuan memastikan kerja tersebut tidak menjejaskan infrastruktur bawah tanah serta untuk keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya.

“Tanpa permit ini, Koridor Utiliti Darul Ridzuan (KUDR) dan JKR akan menghentikan kerja serta-merta.  Rizab jalan di bawah seliaan JKR dan jika tiada kebenaran, kawasan itu tidak boleh disentuh langsung. Ini kita tetapkan,” katanya. 

Mohammad Nizar berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan sesi dialog awam JKR Perak bersama-sama KUDR dan syarikat utiliti di sini hari ini.

Beliau berkata prosedur permohonan permit itu kini diperkemas menerusi kerjasama antara JKR dan KUDR termasuk pelaksanaan pemetaan bawah tanah bagi mengenal pasti kedudukan utiliti sedia ada.

Langkah itu penting terutama di kawasan yang mempunyai pelbagai utiliti bawah tanah kerana kerja pengorekan tanpa maklumat tepat boleh menyebabkan kerosakan kepada kabel elektrik dan paip air serta berisiko menjejaskan saluran gas.

“Dahulu, isu timbul apabila kelulusan diberikan tanpa pemetaan menyeluruh sehingga menyebabkan kerosakan pada kabel Tenaga Nasional Bhd (TNB) atau paip Lembaga Air Perak (LAP).

“Sekarang, menerusi koordinasi permit JKR dan KUDR, kita dapat mengenal pasti risiko pertembungan dengan paip berisiko tinggi seperti paip gas serta mengelak kerosakan bertindih,” katanya.

Mohammad Nizar berkata permit JKR turut menetapkan piawaian berkaitan kerja penurapan dan pemulihan jalan selepas kerja penggalian selesai. 

Beliau berkata kegagalan kontraktor mematuhi spesifikasi ditetapkan termasuk proses pemadatan lapisan asas jalan yang tidak sempurna, boleh menyebabkan permukaan jalan mendap, berlubang dan bergelombang.

-- BERNAMA 

Must Watch Video

Advertisement