Konvensyen Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Wilayah Utara berlangsung di Miri hari ini. Konvensyen sehari itu membabitkan 17 cawangan PBB. Delegasi terdiri daripada AJK PBB termasuk sayap Bapa, Pergerakan Pemuda dan Wanita, dan semua wakil rakyat.

Tidak dapat tidak konvensyen khas ini dikaitkan dengan persiapan PBB selaku empat parti teraju Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi berdepan Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12.

Timbalan Presiden PBB, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dalam dalam wawancara bersama media di pejabatnya di sini baru-baru ini berkongsi harapannya.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak mahu perwakilan yang hadir dalam konvensyen itu untuk bantu pucuk pimpinan untuk menyebarkan maklumat dan fakta sebenar perjuangan parti kepada ahli akar umbi.

"Mereka diharap akan menjadi satu tunggak untuk, menyebarkan apa-apa juga dasar kita, program-program kita termasuklah isu-isu politik apa di peringkat nasional dan Sarawak.

"Kenapa kita keluar dari Barisan Nasional dan membentuk GPS," ujar Awang Tengah.

Tambahnya konvensyen khas ini ibarat satu jawapan kepada setiap persoalan hala tuju parti dan masa depan Sarawak di bawah kepimpinan GPS.

"Kita memberi sokongan kepada kepimpinan Yang Amat Berhormat Ketua Menteri kita bagi memperkukuhkan landasan ke arah yang lebih baik.

"Pembangunan dan kesejahteraan hidup kita akan dapat dipertingkatkan, keselamatan kita dapat dipertingkatkan, hak dan kepentingan kita dapat dipelihara dan diperjuangkan," tambahnya.

Bertemakan Hak Sarawak Diutamakan, Pembangunan Diperkasakan, antara pengisian konvensyen termasuk taklimat kepada petugas pilihan raya PBB merangkumi struktur urus tadbir dan peranan serta tanggungjawab ejen parti ke arah kemenangan pilihan raya akan datang.

Selain itu, taklimat mengenai pentadbiran tanah dan hak-hak rakyat Sarawak akan disampaikan termasuk pembentangan kertas kerja mengenai masa depan industri minyak dan gas di negeri itu.