KUALA LUMPUR: Kesiapsiagaan sepatutnya sudah ada sebagai persediaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan bencana dengan mengambil kira semua faktor yang wujud.

Kata pakar perubatan kesihatan awam, Dr Farhan Rusli, ia merangkumi koordinasi gerak kerja antara semua pihak, daripada agensi kerajaan sehinggalah komuniti rakyat di akar umbi.

Jelasnya, selain daripada maklumat tentang kesihatan awam yang perlu diketahui dan diamalkan ketika COVID-19, masih ada di sekitar kita, rakyat juga perlu diberdayakan dengan maklumat tentang tindakan yang perlu diambil apabila bencana menimpa.

“Bermakna mungkin dua atau tiga minggu sebelum dijangka berlakunya banjir, kita sudah laksanakan kempen-kempen kesihatan, kita sudah pergi ke kawasan-kawasan yang mungkin boleh banjir dan beritahu mereka jika berlaku banjir apa yang perlu dilakukan.

“Misalnya kita ingatkan mereka simpan dokumen-dokumen penting dalam satu tempat, kita ingatkan mereka untuk letakkan kereta di tempat tinggi dan sebagainya,” katanya.

Pada masa sama, perlu ditetapkan satu bentuk jaringan gerak kerja yang sistematik supaya usaha pemberian bantuan bekalan barangan keperluan dan tenaga dapat dilaksanakan dengan teratur dan cekap.

“Kita tidak mahu situasi seperti kita hantar 1,000 selimut kepada mangsa-mangsa banjir tetapi tiada bantal. Benda ini akan berlaku jika tiada koordinasi dan semua ini harus diperincikan sebelum sesuatu (bencana) itu berlaku.

“Bukan apabila bencana sudah jadi, kita cerita yang kita akan buat sesuatu tetapi pada penghujungnya apa pun tidak terlaksana dan sudahnya yang terus menerima kesan teruk adalah rakyat,” katanya.

Tonton temu bual penuh beliau dalam program Agenda AWANI bersama hos Essan Yahya, di sini:


Agenda AWANI: Banjir | 'Air tenang jangan disangka tiada buaya'