KUALA LUMPUR: Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Berhad (Koperasi Tentera) hari ini mengumumkan pulangan dividen tujuh peratus kepada 156,156 anggotanya membabitkan pembayaran sebanyak RM130.4 juta bagi tahun 2022.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata pembayaran dividen tersebut lebih tinggi berbanding RM89 juta pada 2021.

"Kita akan dapatkan kelulusan daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk pembayaran dividen kepada ahli dan memang hasrat kita untuk salurkan sebelum Hari Raya Aidiladha," katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Tentera ke-57 di Wisma Perwira di sini, hari ini.

Beliau berkata prestasi kewangan Koperasi Tentera turut merekodkan pendapatan bersih sebanyak RM256 juta bagi 2022 dengan keuntungan selepas cukai dan zakat berjumlah RM154 juta.

Katanya, peningkatan yang memberangsangkan itu merupakan hasil daripada pembiayaan yang ditawarkan kepada perusahaan kecil dan sederhana yang semakin meningkat.

Sementara itu Adly berkata dalam tempoh 10 tahun ini, Koperasi Tentera telah menyalurkan sumbangan sebanyak RM17.7 juta atau purata RM1.7 juta setahun kepada anggotanya.

"Ini telah berjaya memberi manfaat kepada seramai 42,706 anggota meliputi aspek pendidikan, perubatan dan derma am selain sumbangan khairat kematian sebanyak RM572,000 turut disalurkan kepada waris anggota pada tahun 2022.

"Ini adalah sumbangan terus yang dibayar bagi menjaga kebajikan anggota dan ahli keluarga mereka," katanya.

Beliau berkata Koperasi Tentera turut melakar kejayaan apabila menerima pengiktirafan sebagai loperasi premier daripada SKM pada 2022 untuk tiga tahun berturut-turut.

-- BERNAMA