awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
Lain-Lain
  • Teknologi
  • Podcast
Najib sedar akaun bank, guna untuk pengeluaran cek - Saksi
'Kedegilan' pemimpin enggan berundur cetus krisis kepercayaan parti - Syed Ali
HKI 2026 platform didik masyarakat guna internet secara selamat, beretika
  • POLISI PRIVASI
  • TERMA PENGGUNAAN
  • IKLAN BERSAMA KAMI
  • PELABUR

© 2025 Astro AWANI Network Sdn. Bhd. 200001032668(535275-D) All Rights Reserved.

Korea Selatan sedia perluas kerjasama bidang pembangunan dengan Malaysia

Bernama
Bernama
29/05/2025
07:32 MYT
Korea Selatan sedia perluas kerjasama bidang pembangunan dengan Malaysia
Nanta berkata usaha berkenaan selari dengan Pelan Hala Tuju ITS Malaysia 2030 yang memberi tumpuan kepada mobiliti masa hadapan pintar, inklusif dan berdaya tahan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Korea Selatan menzahirkan keterbukaan untuk terus memperluaskan ruang kerjasama dua hala bersama Malaysia, khususnya dalam bidang pembangunan jalan raya, teknologi pembinaan dan sistem pengangkutan pintar.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata perkara itu dimaklumkan kepadanya ketika mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan Korea Selatan Park Sang-Woo bersempena penyertaan Malaysia pada Forum Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) Asia Pasifik 2025 di negara berkenaan.
Beliau berkata pertemuan susulan daripada mesyuarat dua hala di ibu negara pada November lepas itu turut menyentuh mengenai kemajuan rundingan memorandum persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Korea Selatan dalam bidang berkenaan, dengan perbincangan kali pertama diadakan di Kuala Lumpur pada 16 April.
"Adalah menjadi harapan kedua-dua pihak agar MoU ini dapat dimuktamadkan dan ditandatangani sempena Sidang Kemuncak ASEAN-Korea Selatan yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur pada Oktober 2025.
"Saya percaya kerjasama strategik ini akan membuka peluang yang luas dalam aspek pemindahan teknologi, peningkatan keupayaan dan pembangunan infrastruktur yang lebih cekap, selamat dan mampan di Malaysia," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Nanta berkata usaha berkenaan selari dengan Pelan Hala Tuju ITS Malaysia 2030 yang memberi tumpuan kepada mobiliti masa hadapan pintar, inklusif dan berdaya tahan.
Menerusi hantaran sama, Nanta turut berkongsi mengenai kejayaan penganjuran Seminar Kerjasama Teknologi Jalan dan Pembinaan yang melibatkan penyertaan lebih 130 peserta termasuk agensi kerajaan dan pihak industri dari Malaysia dan Korea Selatan.
Beliau menyifatkan kejayaan itu sebagai gambaran komitmen bersama terhadap inovasi dan pembangunan infrastruktur yang berdaya saing dan bersedia untuk masa hadapan.
"Saya turut merakamkan penghargaan kepada Duta Besar Korea Selatan ke Malaysia Yeo Seung-Bae, serta seluruh warga Kedutaan Korea Selatan di Malaysia atas sokongan padu dalam menjayakan pelbagai inisiatif kerjasama yang sedang dirintis.
"Malaysia amat menghargai hubungan erat dengan Korea Selatan dan akan terus komited dalam menjalin kerjasama yang membawa manfaat bersama untuk rakyat dan negara kedua-dua pihak," katanya.
-- BERNAMA
Topic Berkaitan
#Alexander Nanta Linggi
#Korea Selatan
#lebuh raya
#teknologi pintar
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami