SEOUL: Korea Utara buat kali pertama melancarkan ujian peluru berpandu "Pulhwasal-3-31" yang dilihat sebagai usaha untuk mengukuhkan lagi keupayaan senjata nuklear negara ini.

Menurut Biro Peluru Berpandu Utara, ujian itu merupakan proses berterusan untuk mengemas kini sistem peluru berpandu, lapor agensi berita Yonhap memetik Agensi Berita Pusat Korea (KCNA).

Namun laporan itu tidak memberikan butiran lanjut.

Pelancaran "Pulhwasal-3-31" sekali gus menandakan pelancaran peluru berpandu krus (cruise missile) strategik terbaharu oleh Korea Utara sejak September tahun lalu.

Sebelum ini, Korea Utara telah menguji dua peluru berpandu krus strategik jarak jauh dengan kepala peledak nuklear tiruan ke arah Laut Kuning dan ketika itu Pyongyang berkata, ia mampu terang sehingga 1,500 kilometer.

Peluru berpandu krus dikatakan mampu untuk mengelak sistem pertahanan peluru berpandu.

Pada Rabu, tentera Korea Selatan berkata ia mengesan pelancaran beberapa peluru berpandu jelajah Korea Utara ke arah Laut Kuning pada sekitar pukul 7 pagi.

Pelancaran peluru berpandu jelajah bukanlah satu pelanggaran langsung terhadap beberapa resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tetapi boleh menimbulkan ancaman serius kepada keselamatan negara kerana hulu peledak nuklear boleh dipasang pada peluru berpandu berkenaan.

Provokasi terbaharu itu berlaku selepas Korea Utara melancarkan peluru berpandu hipersonik bahan api pepejal ke Laut Timur pada 14 Januari, ujian peluru berpandu pertama pada tahun ini. - BERNAMA