Skip to main content

Malaysia

Malaysia kongsi pengalaman dengan Namibia bina sistem kesihatan mampan - Dzulkefly

Petang tadi, saya menerima kunjungan hormat PYT Selma Ashipala-Musavyi, Menteri Hubungan Antarabangsa dan Perdagangan Republik Namibia di IPKKM. Kunjungan ini merupakan satu platform penting dalam usaha kita melebarkan jaringan diplomasi kesihatan dan memperkukuh persahabatan antara kedua-dua negara.
Dzulkefly menerima kunjungan hormat Menteri Hubungan Antarabangsa dan Perdagangan Republik Namibia Selma Ashipala-Musavyi ke Ibu Pejabat Kementerian Kesihatan Malaysia (IPKKM) pada Selasa. - Foto FB Dr Dzulkefly Ahmad

KUALA LUMPUR: Malaysia berkongsi pengalaman dengan Namibia dalam membina sistem kesihatan yang mampan, khususnya dalam mencapai sasaran Liputan Kesihatan Sejagat (UHC) untuk rakyat.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata pengalaman itu dikongsi semasa menerima kunjungan hormat Menteri Hubungan Antarabangsa dan Perdagangan Republik Namibia Selma Ashipala-Musavyi ke Ibu Pejabat Kementerian Kesihatan Malaysia (IPKKM) semalam. 

Advertisement

“Alhamdulillah, pencapaian penjagaan kesihatan awam kita sering diiktiraf dan dijadikan penanda aras oleh negara-negara berpendapatan sederhana rendah, dan pengalaman ini sedia kita kongsikan bersama rakan dari Namibia,” katanya menerusi hantaran di Facebook. 

Beliau berkata kunjungan itu menjadi platform penting dalam memperkukuh diplomasi kesihatan antara kedua-dua negara sekali gus membuka ruang untuk melebarkan jaringan kerjasama strategik khususnya dalam bidang kesihatan awam dan perdagangan berkaitan.

“Ini termasuklah komitmen untuk memperkasakan industri farmaseutikal, di mana Malaysia menzahirkan kesediaan untuk membantu Namibia menangani isu kekurangan bekalan ubat-ubatan melalui pengukuhan perdagangan dan perkhidmatan kesihatan,” katanya.

Dzulkefly berkata kedua-dua pihak pada masa sama turut meneroka peluang kerjasama dalam pembangunan kapasiti bagi memperkukuh sistem penjagaan kesihatan negara itu.

Selain itu, beliau berkata Malaysia berhasrat mempromosikan negara ini sebagai destinasi pelancongan kesihatan memandangkan perkhidmatan kesihatan tempatan yang berkualiti tinggi dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Saya percaya pertukaran pandangan ini mencerminkan dedikasi kedua-dua negara dalam menyelaraskan inisiatif nasional dengan rakan strategik global,” katanya.

Dzulkefly turut berharap hubungan erat Malaysia dan Namibia terus diperkukuh demi kesejahteraan rakyat kedua-dua negara selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video