Kementerian Pengangkutan telah mengarahkan kesemua operator pengangkutan awam untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan meningkatkan tahap kebersihan bagi mencegah penularan Novel Koronavirus 2019 (2019-nCoV), kata menterinya Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata dalam mesyuarat pasca Kabinet semalam, semua agensi di bawah kementeriannya telah diarahkan untuk menyediakan cecair pembasmi kuman tangan selain memastikan kebersihan tempat pengangkutan awam sentiasa terjaga.

"Semua pihak ada tanggungjawab dalam mencegah koronavirus. Setakat ini Kementerian Pengangkutan mendapat kerjasama yang baik dari semua pihak," katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra Tahun Baharu Cina dan perhimpunan bulanan kementerian di sini hari ini.

BACA: Koronavirus: Dua lagi kes dikesan, libatkan kes jangkitan tempatan pertama - Dr Dzulkefly

Jelas Loke, terminal pengangkutan awam yang dikendalikan pihak swasta juga disarankan mengambil langkah yang sama sementara di lapangan terbang langkah meningkatkan kebersihan sudah diambil.

Sehingga Khamis, jumlah keseluruhan kes positif koronavirus di Malaysia ialah 14 kes melibatkan 10 warganegara China dan empat rakyat tempatan.

-- BERNAMA