Seluruh masjid di Negeri Sembilan akan menganjurkan solat hajat serentak bagi memohon agar Malaysia dilindungi oleh Allah SWT, daripada penularan penyakit 2019 Novel Koronavirus.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata perkara itu sedang diselaraskan dan menunggu tarikh yang sesuai untuk ia diadakan.

"Kita nak buat solat hajat bukan sahaja mengenai masalah virus ini, bahkan juga memohon supaya diturunkan hujan kerana negeri ini sudah lama tidak hujan dan keadaan agak kering," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Dewan Perhimpunan China Negeri Sembilan (DPCNS) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi DPCNS Tan Eng Beng serta Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia Dan Sukan negeri Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga Dan Kebajikan Nicole Tan Lee Koon dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perpaduan, Penerangan dan Integrasi Nasional Choo Ken Hwa.

Sementara itu, Tan dalam ucapannya menasihati semua ahli DPCNS agar menangguhkan lawatan ke Wuhan, China berikutan wabak Koronavirus di sana.

[LAPOR LANGSUNG] Hati-hati dengan wabak koronavirus!

-- BERNAMA