KUALA LUMPUR: Malaysia dilihat berada di landasan yang betul dalam pelaksanaan agenda Ekonomi MADANI, namun masih belum mencapai tahap yang benar-benar kukuh dan selesa untuk berdepan ketidaktentuan ekonomi global.
Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Umi Hamidaton Mohd Soffian Lee, ekonomi negara kini berada di landasan yang betul namun sedang melalui fasa peralihan dan penstrukturan ke arah model pembangunan yang lebih mampan.
“Kita masih melalui pelbagai proses penstrukturan ekonomi menerusi Kerangka Ekonomi MADANI dan inisiatif yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13),” jelasnya.
Beliau berkata, cabaran utama adalah memastikan pertumbuhan ekonomi tidak hanya dinikmati oleh kumpulan atau sektor tertentu, sebaliknya turut dirasai golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
"Kita perlu bergerak daripada pendekatan ‘growth-centric’ kepada ‘people-centric’.
“Sektor yang diberi keutamaan perlu terus berkembang, tetapi sektor domestik juga tidak boleh ditinggalkan terutama melibatkan sekotor PMKS,” tambah beliau.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata petunjuk ekonomi yang positif perlu diterjemahkan kepada manfaat yang boleh dirasai rakyat.
"Angka ekonomi itu penting, tetapi yang lebih penting adalah bagaimana denyut nadi rakyat dapat merasai nikmat pertumbuhan ekonomi,” katanya.
Beliau berkata, sebagai contoh, peningkatan pelaburan sebanyak 11.7 peratus pada separuh pertama tahun ini menunjukkan keyakinan pelabur terhadap hala tuju ekonomi negara di bawah kerangka Ekonomi MADANI.
"Ia merupakan satu bentuk undi percaya kepada ekonomi negara. Kita berada dalam trajektori yang baik dan momentum ini perlu diteruskan,” ujarnya.
Namun, beliau mengakui isu kos sara hidup dan persaingan perniagaan masih menjadi antara cabaran utama.
"Rakyat masih bercakap tentang kenaikan harga barang dan tekanan kos sara hidup. Pada masa sama, perniagaan berdepan persaingan yang semakin sengit dan perkara ini perlu diurus dengan baik,” jelas beliau.
Menurutnya, cabaran seterusnya adalah memastikan dasar yang diperkenalkan tidak mewujudkan geseran kepada perniagaan sehingga menggalakkan majikan terus bergantung kepada tenaga kerja asing berkemahiran rendah.
"Perjuangan untuk menjadikan ekonomi lebih bermakna dan berpaksikan manusia masih berterusan. Kita berada di landasan yang betul, keyakinan pasaran juga tinggi,” tegasnya.
Beliau menegaskan kejayaan sebenar Ekonomi MADANI bukan sekadar diukur melalui pertumbuhan ekonomi, tetapi sejauh mana manfaatnya dapat meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Kedua-dua Dr Mohd Afzanizam dan Dr Umi Hamidaton mengutarakan pandangan demikian ketika ditemubual dalam program Niaga AWANI pada Jumaat.