KOTA BHARU: Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) mencatat nilai rampasan barangan kawalan dan aset berjumlah RM3.38 juta daripada 12,873 pemeriksaan yang dilakukan ke atas premis dan kenderaan.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan Hanif Yusabra Yusuf berkata sebanyak 67,077 kilogram (kg) minyak masak dirampas dalam 54 kes menerusi operasi itu di Kelantan dari 16 Mac hingga 31 Ogos lepas, dengan nilai rampasan berjumlah RM183,571.40.
Beliau berkata jumlah itu merupakan kuantiti rampasan tertinggi bagi barangan kawalan sepanjang operasi itu manakala rampasan kedua tertinggi melibatkan diesel sebanyak 47,494.40 liter bernilai RM230,704.67 dalam 46 kes manakala petrol sebanyak 9,874.63 liter benilai RM36,788.96 dalam 96 kes.
“Selain itu, sebanyak 5,228 kg gas petroleum cecair bernilai RM10,133.20; 1,663 kg gula bernilai RM4,738.75 dan 30 kg tepung bernilai RM105 turut dirampas.
“Operasi ini membuktikan komitmen KPDN Kelantan dalam membanteras ketirisan dan penyalahgunaan barang kawalan serta memastikan bekalan bersubsidi tidak diselewengkan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Hanif Yusabra berkata operasi itu turut membawa kepada 222 kes dan 90 tangkapan di samping 193 kenderaan disita selepas dikesan terlibat dalam kegiatan penyeludupan.
“Daripada jumlah keseluruhan itu, KPDN merekodkan 91 kes dengan 30 tangkapan serta nilai rampasan RM2.8 juta.
“Pasukan Gerakan Am pula merekodkan 103 kes dan 58 tangkapan dengan nilai rampasan RM352,829.50, manakala Polis Diraja Malaysia mencatat lapan kes, dua tangkapan serta nilai rampasan RM193,419.23,” katanya.
Beliau berkata Pasukan Polis Marin merekodkan 19 kes tanpa tangkapan dengan nilai rampasan RM9,732.90, manakala Angkatan Tentera Malaysia satu kes tanpa tangkapan bernilai RM339.30.
Hanif Yusabra berkata KPDN Kelantan akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan secara bersepadu bersama-sama agensi strategik bagi membanteras kegiatan penyelewengan barang kawalan di negeri itu.
Beliau turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan atau penyalahgunaan barang kawalan kepada KPDN untuk tindakan lanjut.
-- BERNAMA