Skip to main content

Malaysia

TFC mahu teruskan momentum kemenangan berdepan Star City - Nafuzi

61732500055_Nafuzi.jpg
Nafuzi berkata TFC dijangka turun tanpa dua tonggak utama, Gervane Kastaneer dan Victor Ruiz, yang masih dibelenggu kecederaan. - Gambar fail
Advertisement

KUALA NERUS: Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC) Mohd Nafuzi Zain mahu anak buahnya meneruskan momentum kemenangan apabila berdepan Star City FC dalam aksi Liga Super di Stadium Tunku Syed Putra, Perlis, malam esok.

Pengendali berusia 48 tahun itu berkata kemenangan ke atas DPMM FC pada aksi pertama pusingan 16 Piala FA Rabu lepas, memberi suntikan semangat kepada pemain untuk memburu tiga mata di tempat lawan.

Bagaimanapun, Nafuzi mengingatkan anak buahnya agar tidak terlalu selesa dan memandang mudah cabaran skuad bimbingan Mehmet Durokovic itu yang turut berada dalam momentum positif selepas mengesahkan tempat ke suku akhir Piala FA, Rabu lepas.

"Kemenangan ke atas DPMM FC sedikit sebanyak memberi suntikan moral kepada pemain, tetapi kita tidak boleh leka dan perlu kekal fokus menghadapi perlawanan esok.

"Setiap perlawanan berbeza. Star City juga pasti berada dalam keadaan moral tinggi selepas layak ke suku akhir Piala FA tempoh hari. Paling penting pemain perlu kekal fokus dan bekerja keras untuk mendapatkan keputusan positif. Tambahan pula kali terakhir kita beraksi di stadium Perlis pada 2017," katanya ketika dihubungi hari ini.

Bekas jurulatih skuad bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan itu berkata TFC dijangka turun tanpa dua tonggak utama, Gervane Kastaneer dan Victor Ruiz, yang masih dibelenggu kecederaan.

Selain itu, beliau mengakui jadual perlawanan yang padat serta perjalanan jauh turut menimbulkan kebimbangan terhadap tahap kecergasan pemain.

"Tiga perlawanan dalam tempoh lapan hari. Dua di tempat lawan iaitu di Brunei dan Perlis. Sudah pasti saya agak risau kerana pemain nampak kepenatan setelah melalui perjalanan jauh dan panjang.

"Tetapi saya tidak mahu menjadikan itu sebagai alasan. Pemain perlu kekal positif dan berusaha membawa pulang kemenangan untuk penyokong," katanya.

TFC kini menduduki tangga ketujuh liga selepas mengumpul empat mata manakala Star City di kedudukan ke-11 dengan satu mata.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement