Sebanyak 2,200 pek perlindungan yang mengandungi penutup mulut dan hidung (face mask) dan bahan pencuci tangan (hand sanitiser) diedarkan secara percuma kepada orang ramai di 11 lokasi di sekitar Lembah Klang.

Inisiatif tersebut dilakukan oleh Astro Radio dengan kerjasama Prudential dalam usaha mencegah penularan jangkitan Novel Koronavirus 2019 (2019-nCoV) dan akan berlangsung bermula 10 hingga 21 Februari ini.

Pengacara stesen radio SINAR, Elizad dan Li Qiang dari MELODY tampil untuk mengedarkan Pek Perlindungan Kami Care di lokasi pertama, Pasar Pagi Sri Kembangan pada jam 8 pagi tadi.

Penyampai stesen radio SINAR, Elizad berkata tujuan kempen tersebut diadakan adalah untuk menimbulkan kesedaran dalam kalangan masyarakat untuk sentiasa mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi.

“Kami ingin memberikan kesedaran kepada orang ramai. Sekiranya di tempat awam, mereka perlu menggunakan topeng muka ini.

“Andaikan anda tidak sihat, jangan keluar rumah kerana anda mungkin akan menjangkiti orang lain.

“Baik terapkan dalam diri kami nilai mencegah lebih baik daripada merawat,” kata Elizad.

Elizad turut berharap peniaga tidak mengambil kesempatan dengan menjual penutup mulut dan hidung dan bahan pencuci tangan pada harga yang tidak munasabah.

Rata-rata orang ramai yang ditemui gembira dan menyambut baik inisiatif daripada Astro Radio itu.

[LAPOR LANGSUNG] Koronavirus Angka korban terus meningkat, lebih 900 maut

Orang ramai yang bersatu untuk mendapatkan Pek Perlindungan Kami Care. - Instagram/@sinar_my

“Penutup mulut dan hidung ini adalah melindungi kami supaya tidak dijangkiti sebarang penyakit berjangkit dan juga melindungi kesihatan kami.

“Kempen ini juga mengingatkan kami supaya sentiasa membasuh tangan dan menjaga kebersihan diri,” kata jurujual, Mary Teng yang ditemui selepas menerima pek perlindungan itu.

Sementara itu, penyelaras acara syarikat swasta, Muhammad Syahhidan Redzuan turut memuji inisiatif yang diambil Astro Radio kerana prihatin dengan kesejahteraan orang ramai.

“Sekarang memang susah untuk mendapatkan penutup mulut dan hidung,

“Macam Astro Radio ini, mereka memberi bahan pencuci tangan dan lain-lain untuk mendidik orang ramai untuk berwaspada dan menjaga kebersihan diri. Memang bagus kempen ini!” kata Muhammad Syahhidan.


Bagi anda yang ingin mendapatkan Pek Perlindungan Kami Care tersebut, nantikan kemas kini lokasi-lokasi yang lain di semua laman media sosial Astro Radio.