MELAKA: Kos membaik pulih lebih enam blok bangunan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munshi Abdullah yang mengalami kerosakan teruk termasuk bumbung diterbangkan angin dalam kejadian ribut pada Sabtu, dijangka mencecah RM3 juta.

Ketua Menteri Melaka Datuk Ab Rauf Yusoh berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri telah memaklumkan bahawa kerja-kerja pembaikan mengambil masa kira-kira enam bulan dan pihak sekolah sedang mengambil beberapa langkah berkaitan penjadualan sesi pembelajaran yang menjejaskan lebih 2,000 pelajar sepanjang tempoh itu.

"Setakat ini, Kementerian Pendidikan (KPM) menyalurkan peruntukan segera berjumlah RM100,000 kepada pihak sekolah untuk kerja-kerja pembaikan awal oleh kontraktor yang telah dilantik.

"Di peringkat kerajaan negeri, kita akan memberi sokongan kepada guru dan pelajar sekolah berkenaan dan melihat bentuk bantuan yang boleh disalurkan kepada mereka agar sesi persekolahan dapat berjalan dengan baik," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan ke SMK Munshi Abdullah bagi melihat kesan kejadian ribut yang berlaku di sekolah berkenaan dan turut dihadiri Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman.

Ab Rauf berkata SMK Munshi Abdullah merupakan sekolah yang mempunyai jumlah pelajar terbanyak di negeri itu dan kerajaan negeri akan memastikan proses baik pulih bangunan terjejas berjalan lancar.

Sementara itu, Rahmad berkata kerja-kerja pembersihan antaranya mengalihkan bumbung dan serpihan struktur bangunan yang diterbangkan ribut mula dilakukan hari ini oleh sukarelawan Jabatan Pendidikan Negeri.

Beliau berkata selain itu, kerja-kerja pembaikan bangunan yang rosak juga mula dilaksanakan secara berperingkat oleh kontraktor dilantik KPM.

"Sesi pembelajaran berjalan seperti biasa iaitu secara bersemuka melibatkan pelajar Tingkatan Lima dan Enam manakala bagi pelajar Tingkatan Satu hingga Empat, sesi pembelajaran secara bersemuka akan dilakukan secara bergilir selain mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

"Sebagai contoh, sepanjang minggu ini, sesi pembelajaran secara bersemuka adalah melibatkan pelajar Tingkatan Empat hingga Enam manakala Tingkatan Satu hingga Tiga adalah secara PdPR," katanya.

Pada Sabtu, beberapa blok bangunan sekolah berkenaan mengalami keroskan selepas bumbungnya diterbangkan angin dalam kejadian ribut sehingga menampakkan rangka kayu bahagian dalam siling.

Antara kerosakan dilaporkan ialah melibatkan lapan kelas, satu bilik guru dan makmal serta pejabat yang terdapat di Blok C sekolah terbabit, bagaimanapun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku membabitkan pelajar atau guru di sekolah itu.

-- BERNAMA