PANGKOR: Kotoran minyak hitam dikesan di sepanjang pantai Teluk Nipah, di sini yang mana ia mengotorkan kawasan pulau peranginan yang terkenal dengan aktiviti pelancongan itu.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Norhaslinda Zakaria, kesan kotoran itu dipercayai dibawa ombak dan boleh dilihat di sepanjang pantai tersebut.

Jelasnya, beliau sendiri datang turun padang bagi meninjau situasi sebenar memandangkan terdapat aduan daripada orang ramai berhubung kotoran minyak berkenaan.

Bukan itu sahaja, para pengunjung yang hadir melakukan aktiviti air di situ turut menerima tempias apabila kotoran tersebut melekat pada baju dan badan.

“Pihak saya menerima aduan dari orang ramai mengenai kekotoran minyak hitam sepanjang Pantai Teluk Nipah.

“Ramai pengunjung luar yang terkena kotoran minyak ini.

“Semasa saya di lokasi pun, ramai yang merungut, kaki, tangan dan ada yang sedang mandi pun melekat kotoran minyak pada baju,” katanya.


Norhaslinda menegaskan, keadaan itu bukan sahaja menjejaskan keindahan pantai, malah dibimbangi boleh mendatangkan kesan mudarat kepada pengunjung sekiranya tumpahan itu mengandungi bahan kimia.


Sehubungan itu kata Norhaslinda, beliau telah memanjangkan perkara berkenaan kepada agensi berkaitan supaya tindakan sewajarnya dilakukan segera.