Skip to main content

Malaysia

KPDN teliti syor PAC pengurusan kawalan harga, subsidi minyak masak

81705910348_minyakmasak.jpg
Pelaksanaan Sistem eCOSS secara menyeluruh akan membolehkan penjualan secara bersasar sekali gus menghalang sepenuhnya pembelian oleh warga asing. - Gambar hiasan
Advertisement

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan meneliti dan mengambil perhatian serius terhadap syor Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai pengurusan kawalan harga dan subsidi minyak masak, termasuk mempercepat pelaksanaan Sistem Skim Penstabilan Minyak Masak (eCOSS) ke arah subsidi bersasar bagi mengekang ketirisan.

Menteri berkenaan Datuk Armizan Mohd Ali berkata pembangunan dan pelaksanaan eCOSS yang bermula pada 2023 kini melalui dua fasa, iaitu penguatkuasaan penggunaan sistem secara berperingkat di sepanjang rantaian bekalan dan peluasan melalui Aplikasi Mobile eCOSS yang dilaksanakan secara rintis sejak Mei 2025.

"Pelaksanaan Sistem eCOSS secara menyeluruh adalah penambahbaikan penting yang merupakan strategi pengurusan risiko ketirisan yang boleh mengekang manipulasi rekod manual dan penyelewengan bekalan.

"Penggunaan sistem ini akan diperkukuh dengan pengenalan versi baharu kad pengenalan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kelak yang memberikan pilihan kepada pengguna untuk membuat pembelian menggunakan imbasan kod QR sebagai pengesahan identiti," katanya dalam kenyataan hari ini.

Armizan berkata ia akan membolehkan penjualan secara bersasar sekali gus menghalang sepenuhnya pembelian oleh warga asing.

Beliau berkata KPDN turut menyambut baik syor PAC berhubung Pengurusan Kawalan Harga dan Subsidi Minyak Masak di bawah KPDN sebagaimana yang dibentangkan dalam Penyata PAC di Dewan Rakyat, 16 Julai lepas.

Selain itu, KPDN turut mengambil perhatian berkenaan syor PAC agar dikaji kemungkinan agihan semula kuota penapisan minyak masak dengan memberi keutamaan kepada syarikat milikan tempatan yang berdaya  saing untuk mengurangkan dominasi syarikat milikan asing. 

"Sejak pelaksanaan Skim Penstabilan Minyak Masak (COSS), kuota kilang penapisan tidak ditetapkan oleh kerajaan, iaitu penentuan bekalan dan kilang penapis adalah atas ketetapan syarikat pembungkus dengan mengambil kira pertimbangan seperti kos logistik, terma kredit, harga dan kemampanan kapasiti bekalan serta lokasi kilang penapis dan premis syarikat pembungkus.

"Namun begitu, sebagai sebahagian daripada penambahbaikan COSS, KPDN sedang melaksanakan langkah intervensi secara berperingkat untuk menggalakkan syarikat pembungkus mendapatkan bekalan daripada kilang penapis milikan tempatan, termasuk penetapan syarat penggantian kuota dan mekanisme padanan perniagaan di antara syarikat penapisan milikan tempatan dan syarikat pembungkus," katanya.

Antara langkah dan strategi penambahbaikan lain yang dilaksanakan termasuk larangan penjualan minyak masak peket satu kilogram kepada bukan warganegara, integrasi Sistem eCOSS dengan sistem Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan penyelarasan aktiviti penguatkuasaan.

Armizan berkata KPDN komited melaksanakan penambahbaikan dengan mengambil kira laporan naziran dalaman, laporan audit oleh Jabatan Audit Negara pada Julai 2025 dan Laporan Penyata PAC.

"Adalah diharapkan PAC dan semua pihak akan terus menyokong langkah dan strategi penambahbaikan yang diambil.

"Ini termasuk ketegasan penguatkuasaan terhadap syarikat kilang penapis, syarikat pembungkus, pemborong, peruncit dan mana-mana pihak yang didapati bertindak bertentangan dengan undang-undang yang berkuat kuasa," katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement