SEREMBAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan menumpaskan kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi berjumlah 14,000 liter bernilai RM30,100 dalam serbuan di sebuah stor haram di Persiaran Mutiara Galla, di sini, pada Sabtu.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Negeri Sembilan Abd Muis Samsudin berkata serbuan pada pukul 1 tengah hari itu turut merampas sebuah lori satu tan, tangki petak dan peralatan untuk kerja pemindahan diesel dengan keseluruhan rampasan bernilai RM55,300.

Beliau berkata semasa serbuan empat lelaki tempatan berusia lingkungan 25 hingga 44 tahun sedang memindahkan minyak diesel daripada sebuah lori tangki satu tan yang dipercayai diubah suai ke tangki petak di stor berkenaan.

"Pemeriksaan lanjut turut menemukan 13 unit tangki petak yang berisi minyak diesel dan 18 unit tangki petak kosong.

"Hasil siasatan juga mendapati premis dan suspek tidak mempunyai sebarang lesen, permit, permit khas atau surat kebenaran daripada pengawal bekalan bagi berurusan dengan barangan kawalan berjadual," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Abd Muis berkata susulan itu kesemua lelaki tersebut ditahan untuk siasatan lanjut.

Menurutnya modus operandi sindiket tersebut adalah menggunakan lori yang diubah suai dengan tangki tambahan untuk pembelian diesel daripada stesen minyak di sekitar Seremban sebelum dihantar untuk penyimpanan di lokasi serbuan.

Beliau berkata mereka disyaki menjadikan kawasan itu sebagai tempat penyelewengan minyak diesel bersubsidi sejak dua bulan lepas dengan stor terbabit dipercayai disewa daripada individu lain yang sebelumnya merupakan tempat penternakan haiwan.

Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 20 (1) dan Seksyen 21 Akta Bekalan 1961 kerana menyimpan apa-apa barang kawalan di mana-mana premis selain daripada premis yang dilesenkan atau premis yang dibenarkan oleh pengawal bekalan.

"KPDNHEP negeri akan terus menjalankan pemantauan dan pengguna di negeri ini boleh menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan peniaga yang tidak mematuhi undang-undang menerusi portal e-aduan.kpdnhep (https://eaduan.kpdnhep.gov.my) dan WhatsApp di talian 019-279 4317," katanya.

-- BERNAMA