KUALA LUMPUR: KPJ Healthcare Bhd (KPJ Healthcare) melakar kejayaan penting dalam pembedahan ortopedik menerusi Hospital Pakar KPJ Kuching (KPJ Kuching) apabila baru-baru ini melaksanakan pembedahan penggantian sendi lutut artroplasti (TKA) secara robotik yang ke-206 dalam tempoh tujuh bulan.

KPJ Healthcare dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan pencapaian itu menunjukkan komitmen kumpulan itu dalam melaksanakan sistem perubatan berteknologi tinggi dan penjagaan kesihatan mengutamakan pesakit.

Menurut kenyataan itu pencapaian tersebut juga membuktikan komitmen KPJ Healthcare dalam mengadaptasi penggunaan teknologi inovatif yang mampu meningkatkan kadar kesembuhan pesakit dan kecekapan operasi dalam rangkaian hospitalnya, selain mencipta sejarah penting dalam sektor penjagaan kesihatan di Kepulauan Borneo.

"Dengan mengintegrasikan teknologi robotik ke dalam perkhidmatan kesihatan di KPJ Kuching, ia membuktikan komitmen kami terhadap penjagaan kesihatan yang mengutamakan pesakit

"Inisiatif yang julung kali di rantau ini bukan sahaja meletakkan piawaian baharu untuk kecemerlangan dalam pembedahan TKA, tetapi juga mengukuhkan komitmen kami dalam meningkatkan standard penjagaan kesihatan yang luar biasa untuk pesakit," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, kejayaan program berteknologi tinggi yang dipacu oleh bantuan robotik itu telah diraikan pada majlis "200 Leaps, A Million Smiles: KPJ Kuching's Remarkable Journey with ROSA", yang disempurnakan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof Dr. Sim Kui Hian yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Turut hadir Naib Presiden Zimmer Biomet, Asia Tenggara dan Asia Selatan Ng Tze Mau serta Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Chin Keat Chyuan.

Menurut kenyataan itu perlaksanaan teknologi robotik di KPJ Kuching telah mengubah pembedahan TKA apabila ia yang berupaya mempercepatkan tempoh pemulihan sekali gus meningkatkan kadar kesembuhan pesakit.

"Sejak perlaksanaannya pada Ogos 2023 hingga Februari 2024, pembedahan TKA telah mencatatkan peningkatan ketara iaitu sebanyak 28.7 peratus berbanding tempoh masa sama pada tahun sebelumnya, dengan keseluruhan sebanyak 360 prosedur.

"Peningkatan yang memberangsangkan ini membuktikan keberkesanan teknologi robotik ini, selain komitmen KPJ Healthcare dalam melaksanakan sistem penjagaan kesihatan pesakit terkini yang bukan sahaja dapat meningkatkan ketepatan dalam pembedahan, malah meningkatkan pengalaman pemulihan bagi pesakit seterusnya meningkatkan keyakinan serta kepuasan mereka," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan usaha KPJ Healthcare menerajui penggunaan sistem teknologi perubatan canggih berkenaan merupakan hasil kerjasama strategik antara kumpulan itu dan Zimmer Biomet, penyedia peranti perubatan dan teknologi global.

Menurut kenyataan itu kerjasama tersebut membolehkan KPJ Kuching menggunakan teknologi robotik yang merupakan inovasi terkemuka dalam pembedahan TKA.

-- BERNAMA