Skip to main content

Malaysia

KPKT lulus 941 pinjaman SPPRNT bernilai RM18.8 juta

KUALA TERENGGANU, 27 Jun -- Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Dr M Noor Azman Taib (dua, kanan) bertukar dokumen perjanjian dengan Setiausaha Kerajaan Terengganu, Datuk Mohd Azmi Mohamad Daham (dua, kiri) pada Majlis Simbolik Penyerahan Skim Pinjaman Perumahan Rakyat Negeri Terengganu (SPPRNT) di Wisma Darul Iman hari ini.  KPKT telah meluluskan sebanyak 941 permohonan pinjaman dengan kos pembiayaan bernilai RM18.8 juta di bawah SPPRNT bagi tempoh 2002 hingga Februar
Noor Azman (dua, kanan) bertukar dokumen perjanjian dengan Mohd Azmi (dua, kiri) pada Majlis Simbolik Penyerahan SPPRNT di Wisma Darul Iman hari ini. - Gambar Bernama
Advertisement

KUALA TERENGGANU: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meluluskan sebanyak 941 permohonan pinjaman melibatkan pembiayaan bernilai RM18.8 juta di bawah Skim Pinjaman Perumahan Rakyat Negeri Terengganu (SPPRNT) bagi tempoh 2002 hingga Februari lepas.

Ketua Setiausaha KPKT Datuk Dr M Noor Azman Taib berkata daripada jumlah itu, sebanyak 776 peminjam telah melangsaikan sepenuhnya pinjaman masing-masing manakala baki 165 lagi masih merupakan peminjam aktif.

Beliau berkata SPPRNT diwujudkan pada 2002 melalui Akaun Amanah di bawah Akta Tatacara Kewangan 1957 bagi membantu golongan berpendapatan rendah di Terengganu mendapatkan kemudahan pembiayaan perumahan.

"Skim ini ditubuhkan dengan tujuan memberi kemudahan pinjaman perumahan kepada golongan rakyat berpendapatan rendah di Terengganu atau pasangan rakyat Terengganu atau pemastautin untuk membina rumah baharu, membeli rumah kos rendah yang telah siap atau masih dalam pembinaan dan membaik pulih rumah.

"Skim ini telah diuruskan oleh KPKT dengan menggunakan peruntukan Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) sebanyak RM20 juta yang dikhaskan untuk rakyat negeri Terengganu sahaja," katanya selepas Majlis Simbolik Penyerahan SPPRNT di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Majlis itu turut menyaksikan pemeteraian Surat Ikatan Penyerahan SPPRNT antara KPKT dan Kerajaan Negeri Terengganu yang disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Azmi Mohamad Daham bagi mewakili kerajaan negeri.

M Noor Azman berkata cadangan pengambilalihan skim itu oleh kerajaan negeri sebenarnya telah dibincangkan sejak 2011 dan melibatkan pelbagai pihak serta peringkat pentadbiran.

"Penyerahan skim ini merangkumi keseluruhan program SPPRNT termasuk liabiliti dan baki terkumpul dalam akaun amanah SPPRNT berjumlah kira-kira RM23.81 juta.

"Dalam hal ini, KPKT telah menyalurkan keseluruhan dana tersebut berkuat kuasa pada 11 Mac 2026 ke akaun perbendaharaan amanah SPPRNT yang telah diwujudkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu selepas dokumen-dokumen berkaitan dimeterai," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata KPKT telah menyempurnakan penyerahan kesemua 165 fail fizikal peminjam aktif SPPRNT bersama 151 dokumen geran hak milik yang digadaikan kepada Kerajaan Persekutuan pada 29 April 2026.

"Saya yakin tanggungjawab mengurus SPPRNT ini kepada Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu akan dilaksanakan dengan penuh hikmah untuk manfaat rakyat Terengganu keseluruhannya," katanya.

Majlis Simbolik Penyerahan SPPRNT menandakan pengambilalihan rasmi pengurusan, dana, tanggungan dan liabiliti skim tersebut daripada Kerajaan Persekutuan melalui KPKT kepada Kerajaan Negeri Terengganu.

Pengambilalihan yang melalui proses penyelarasan sejak 2012 itu melibatkan dana kira-kira RM23.8 juta dan bakal memperkukuh pelaksanaan inisiatif pembiayaan perumahan rakyat negeri menerusi Skim Pembiayaan Perumahan Terengganu (i-RAHMAN).

Skim i-RAHMAN memberi fokus kepada penyediaan pembiayaan bagi pembinaan rumah atas tanah sendiri melalui dua program, iaitu Rumah Mesra Rakyat Darul Iman (RMR RAHMAN) dan Rumah Mampu Milik Atas Tanah Sendiri atau Rancangan Tanah Berkelompok.

RMR RAHMAN merupakan program usaha sama dengan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) khusus untuk golongan B40, manakala RAHMAT merupakan program penuh kerajaan negeri yang menyediakan pembiayaan bagi golongan B40 dan M40, dengan kedua-dua pembiayaan itu dikhususkan kepada rakyat Terengganu yang mempunyai tanah sendiri tetapi masih belum memiliki kediaman.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement