Skip to main content

Bisnes

Bursa Malaysia ditutup rendah menjelang keputusan kadar FOMC

61757402235_BursaMalaysia.jpg
Pada 5 petang, FBM KLCI susut 18.80 mata turun 1.11 peratus kepada 1,679.21 mata berbanding paras 1,698.01 mata pada Isnin. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini berikutan sentimen lemah apabila para pelabur masih mengambil pendekatan berhati-hati menjelang keputusan kadar faedah Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) esok serta lonjakan harga minyak.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 18.80 mata turun 1.11 peratus kepada  1,679.21 mata berbanding paras 1,698.01 mata pada Isnin.

Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah turun 3.10 mata kepada 1,694.91 dan bergerak antara paras 1,678.06 dan 1,694.91 sepanjang sesi dagangan.

Suasana pasaran agak suram dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 780 berbanding 355, 551 kaunter tidak berubah, 1,157 kaunter tidak diniagakan dan 13 kaunter digantung. 

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.34 bilion unit bernilai RM3.25 bilion daripada 3.18 bilion unit bernilai RM2.79 bilion pada Isnin.

Naib presiden penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata pasaran tempatan bergerak seiring dengan prestasi pasaran serantau dan global yang lemah, memandangkan pelabur turut mengambil pendekatan berhati-hati terhadap saham berkaitan kecerdasan buatan (AI) di tengah-tengah perkembangan luaran yang tidak menentu.

Di dalam negara, tumpuan terarah kepada saham berkaitan tenaga.

Dari sudut teknikal, Thong berkata indeks petunjuk pasaran itu sedang menghampiri zon terlebih jual.

Katanya, tekanan jualan yang berterusan dalam tempoh terdekat boleh mendorong aktiviti pembelian saham pada harga rendah, terutamanya bagi saham mewah terpilih yang mana penilaian dan hasil dividennya  menjadi lebih menarik susulan penurunan baru-baru ini.

"Memandangkan keadaan luaran yang tidak menentu yang menyebabkan pelabur mengambil pendekatan defensif, kami menjangkakan FBM KLCI kekal dalam fasa penstabilan dalam tempoh terdekat.

“Justeru, kami menjangkakan indeks petunjuk pasaran bergerak dalam jajaran 1,670-1,700 bagi tempoh berbaki minggu ini,” katanya kepada Bernama.

Ketua Penyelidikan Berjaya Research Sdn Bhd, Kenneth Leong, memberitahu Bernama dari sudut teknikal, bursa tempatan mencatatkan penurunan ketara dan dijangka terus susut daripada paras psikologi 1,700 mata.

“Paras rintangan terdekat kini beralih ke paras 1,700 mata, diikuti  1,714 mata. Sementara itu, paras sokongan pula berada pada 1,676 mata dan 1,670 mata,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut empat sen kepada RM10.42, Public Bank dan IHH Healthcare turun lima sen masing-masing kepada RM4.80 dan RM7.71, CIMB naik tiga sen kepada RM7.80, manakala Tenaga Nasional berkurangan 32 sen kepada RM13.32.

Dalam kalangan kaunter aktif, Zetrix AI naik satu sen kepada 25.5 sen, Butterfield yang memulakan dagangan sulung di Pasaran ACE dan Top Glove susut dua sen masing-masing kepada 46 sen dan 81 sen, Ni Hsin menambah 2.5 sen kepada 31.5 sen, manakala MQ Technology meningkat setengah sen kepada enam sen.

Dalam kalangan kaunter paling untung, United Plantations melonjak 50 sen kepada RM33.60, MISC menambah 14 sen kepada RM7.95, Yinson naik 13 sen kepada RM2.13, manakala Panasonic Manufacturing Asia dan Gas Malaysia mengukuh 12 sen masing-masing kepada RM5.89 dan RM5.05.

Dalam kalangan kuanter paling rugi, Nestle susut RM1.12 kepada RM90.18, Malaysian Pacific Industries turun 30 sen kepada RM39.70, Eurospan berkurangan 25 sen kepada RM3.00, Press Metal Aluminium merosot 24 sen kepada RM7.52 dan Petronas Gas menyusut 20 sen kepada RM17.20.

Di papan indeks, Indeks FBM Mid 70 susut sedikit sebanyak 74.44 mata kepada 17,615.65 dan Indeks FBM ACE turun 45.68 mata kepada 5,169.95.

Indeks FBM Emas berkurangan 115.98 mata kepada 12,443.93, Indeks FBM Top 100 susut 115.54 mata kepada 12,244.80 dan Indeks FBM Emas Shariah turun 110.35 mata kepada 12,302.42.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut sedikit sebanyak 2.80 mata kepada 186.40, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 144.17 mata kepada 19,647.40, Indeks Perladangan berkurangan 10.09 mata kepada 9,526.20 manakala Indeks Tenaga meningkat 6.46 mata kepada 821.38.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.86 bilion unit bernilai RM2.93 bilion, daripada 1.84 bilion unit bernilai RM2.50 bilion pada Isnin.

Jumlah dagangan waran melonjak kepada 914.50 juta unit bernilai RM131.79 juta daripada 909.17 juta unit bernilai RM125.97 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 564.82 juta unit bernilai RM196.93 juta daripada 429.68 juta unit bernilai RM164.42 juta.

Sementara itu, kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 288.14 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, diikuti produk dan perkhidmatan perindustrian (241.63 juta), pembinaan (134.36 juta), teknologi (575.83 juta), perkhidmatan kewangan (78.01 juta), hartanah (97.49 juta), perladangan (69.19 juta), amanah pelaburan hartanah (21.56 juta), dana tertutup (29,300), tenaga (87.00 juta), penjagaan kesihatan (142.73 juta), telekomunikasi dan media (26.40 juta), pengangkutan dan logistik (38.19 juta), utiliti (51.34 juta), serta amanah perniagaan (627,800).

Bursa tempatan ditutup esok 16 Sept sempena cuti umum Hari Malaysia dan akan menyambung semula dagangan pada Khamis.

-- BERNAMA 

Must Watch Video

Advertisement